Air garam bukan sekadar petua lama yang diwarisi dari nenek moyang. Sebenarnya, kaedah mudah ini telah terbukti secara saintifik mampu membantu melegakan selesema, sakit tekak dan hidung tersumbat dengan cara semula jadi dan selamat.
Menurut Public Health Malaysia, larutan garam ini bertindak membantu tubuh melawan jangkitan melalui mekanisme biologi yang menarik.
Baca juga: Sekarang Musim Influenza, Buat 6 Cara Ini Bantu Legakan Badan & Cepat Pulih Selain Makan Ubat!
AIR GARAM BUKAN SEKADAR PETUA OMONG KOSONG
Di dalam badan, ion klorida daripada garam digunakan oleh sel imun untuk menghasilkan hypochlorous acid, sejenis bahan semula jadi yang juga dihasilkan oleh sel darah putih bagi membunuh virus dan bakteria.
Ini bermakna, berkumur atau menitis air garam bukan sekadar mitos tradisional, tetapi disokong oleh asas sains sebenar.
Bagi mereka yang mengalami selesema, larutan air garam boleh dititis ke dalam hidung bagi mencairkan mukus yang pekat dan menyumbat saluran pernafasan. Ia juga membantu mengurangkan pembengkakan dalam rongga hidung sekaligus menjadikan pernafasan lebih selesa.
Manakala untuk sakit tekak atau batuk, amalan berkumur dengan air garam suam dua hingga tiga kali sehari dapat membantu mengurangkan keradangan, melegakan rasa gatal dan sakit tekak, serta menurunkan jumlah kuman di kawasan mulut dan tekak.
Baca juga: Kerana Kurap Badan Merenyam Tak Boleh Kawal, Sapu 5 Bahan Semula Jadi Ini Pada Kulit Terus Baik!

Menurut hasil kajian klinikal, penggunaan air garam sebagai rawatan tambahan mampu mempercepatkan proses sembuh demam selesema satu hingga dua hari lebih cepat, mengurangkan risiko jangkitan kepada orang sekeliling dan dalam masa sama mengelakkan penggunaan antibiotik yang tidak perlu.
Antara manfaat lain termasuk:
- Sembuh lebih cepat
- Kurang risiko sebarkan jangkitan
- Jimat kos rawatan
- Kurang kebergantungan ubat
Secara purata, seseorang boleh mengalami selesema tiga kali setahun. Walaupun kelihatan ringan, keadaan ini boleh membawa kepada komplikasi serius seperti pneumonia, terutamanya bagi kanak-kanak kecil, warga emas dan pesakit kronik.
Jadi, sebelum bergegas ke farmasi mencari ubat, cubalah dulu rawatan semula jadi paling mudah yang ada di rumah iaitu air garam. Namun, jika gejala masih berlarutan atau semakin teruk, dapatkan pemeriksaan lanjut di klinik untuk rawatan susulan yang bersesuaian.
Baca juga: Buah Oren Mujarab Rawat Batuk Berpanjangan, Minum 2 Kali Sehari Bangun Esoknya Rasa Lega Tekak!
Sumber: Public Health Malaysia
FT Image: Google

