Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim sekali lagi menyentuh hati rakyat apabila berkongsi kisah istimewa mengenai seorang kanak-kanak dari Pulau Banggi, Sabah yang dikenali sebagai adik Nanang.
Menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya, Anwar memaklumkan beliau telah menunaikan janji untuk membalas surat yang dikirimkan oleh adik tersebut sebelum ini. Malah, pasukannya turut turun sendiri mengunjungi Nanang dan keluarganya bagi menyampaikan surat berkenaan.
Baca juga: Ramai Stres Ayam Masih Berdarah Lepas Goreng, Rupanya Ini Teknik Viral & Mudah Warganet Kongsi!
ADIK NANANG TERIMA SURAT BALASAN DARIPADA PM ANWAR

Menurut beliau, walaupun surat itu kelihatan kecil dan ringkas, namun maknanya sangat besar kerana tersimpan harapan, keikhlasan dan impian seorang anak kecil tentang masa depan.
“Sepucuk surat kecil, namun cukup besar maknanya kerana di sebalik tulisan itu tersimpan harapan, keikhlasan dan impian seorang anak kecil tentang masa depan.
“Surat seperti inilah yang terus mengingatkan saya bahawa di pelosok mana sekali pun, anak-anak kita tetap menyimpan cita-cita yang besar untuk mengubah kehidupan mereka melalui ilmu dan pendidikan,” ujarnya.
Perkongsian tersebut turut menyentuh tentang kepentingan pendidikan sebagai jalan untuk membina masa depan yang lebih baik, khususnya buat anak-anak yang tinggal jauh di kawasan pedalaman.
Dalam masa sama, beliau menitipkan beberapa pesanan bermakna kepada Nanang agar terus mencintai ilmu, menjaga solat, menghormati ibu bapa dan tidak pernah berhenti belajar walau dalam apa jua keadaan.
Sebagai tanda sokongan dan penghargaan terhadap semangat belajar adik tersebut, Anwar turut menghadiahkan dua buah buku kepada Nanang.

Beliau berharap hadiah itu dapat menjadi teman perjalanan untuk terus membaca, berfikir dan membina impian demi keluarga, agama serta negara.
“Semoga dua buah buku yang saya hadiahkan menjadi teman perjalanan untuk terus membaca, berfikir dan membina impian demi keluarga, agama dan negara,” tulisnya.
Perkongsian itu turut mendapat perhatian ramai netizen yang tersentuh melihat keprihatinan seorang pemimpin terhadap anak kecil di kawasan pedalaman.
Mengakhiri perkongsiannya, Anwar meluahkan keyakinan bahawa masa depan Malaysia akan terus cerah selagi masih ada anak-anak seperti Nanang yang lembut hati, rajin menuntut ilmu dan mempunyai harapan besar untuk hari esok.
Kisah ini secara tidak langsung menjadi inspirasi buat masyarakat bahawa setiap anak kecil, walau di mana mereka berada, mempunyai potensi besar untuk berjaya apabila diberi perhatian, sokongan dan peluang pendidikan yang sewajarnya.
Sumber: Facebook Anwar Ibrahim
