Abbott, syarikat global dalam bidang penjagaan kesihatan, bersama BIG CARiNG Group (BCG), rangkaian farmasi terkemuka di Malaysia, menjalin kerjasama strategik selama tiga tahun bagi melaksanakan Program Kesedaran Influenza di seluruh negara.
Inisiatif ini bertujuan memperkukuh tahap kesedaran rakyat terhadap penyakit influenza serta menggalakkan amalan penjagaan kesihatan secara menyeluruh.
Baca juga: Kit Self-Test Influenza Di Pasaran Belum Dapat Kelulusan MDA, Diagnosis Perlu Disahkan Doktor
ABBOTT & BIG CARING GROUP JALIN KERJSAMA UNTUK KESEDARAN INFLUENZA

Program yang akan berlangsung dari tahun 2025 hingga 2027 ini menekankan kepentingan intervensi awal dalam pencegahan influenza melalui pendidikan kesihatan, penyertaan komuniti dan penyebaran maklumat yang mudah difahami serta boleh diakses oleh semua lapisan masyarakat.
Antara aktiviti utama yang dirancang termasuk Hari Kesihatan Awam di lokasi terpilih dan platform digital, program kesihatan di tempat kerja bersama rakan korporat, pameran pelancongan yang menyediakan kaunter penerangan serta sesi konsultasi dan program kesedaran kesihatan di sekolah serta universiti.
Semua aktiviti ini dirancang bagi memastikan maklumat mengenai influenza disampaikan secara meluas, terutama kepada golongan berisiko tinggi.
Influenza kekal sebagai ancaman kesihatan awam yang sering diabaikan akibat simptomnya yang hampir sama dengan jangkitan pernafasan biasa. Namun, penyakit ini boleh menyebabkan komplikasi serius seperti pneumonia dan memperburuk keadaan pesakit kronik. Pada tahun 2024, lebih 30,000 kes influenza dilaporkan di Malaysia, termasuk 17 kematian yang berkaitan.
Golongan berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak bawah dua tahun, wanita hamil dan individu dengan penyakit kronik disarankan agar mengambil langkah pencegahan lebih awal. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menegaskan bahawa vaksinasi tahunan merupakan kaedah paling berkesan untuk mengurangkan risiko jangkitan serta kematian akibat influenza.
Bagi menyokong saranan tersebut, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperluas program vaksinasi kebangsaan dengan menawarkan vaksin influenza percuma kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas yang mempunyai penyakit kronik di fasiliti kerajaan terpilih.

Freepik
Pengurus Besar Bahagian Ubat-ubatan Abbott Malaysia, Encik Kwa Kheng Hoe, menjelaskan bahawa influenza bukan sekadar penyakit bermusim kerana ia boleh memberi kesan besar terhadap kehidupan dan kesejahteraan masyarakat. Melalui kerjasama dengan BCG, katanya, Abbott berhasrat membantu rakyat Malaysia memahami kepentingan pencegahan serta langkah perlindungan yang mudah diamalkan.
Sementara itu, Ketua Kelestarian BIG CARiNG Group, Encik Loo Jooi Leng, berkata kerjasama ini melambangkan komitmen bersama dalam memperkukuh kesihatan awam. Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sekadar usaha pendidikan, tetapi juga pendekatan mendekati masyarakat agar mereka lebih peka terhadap kesihatan diri dan keluarga.
Selain meningkatkan kesedaran, program ini turut menekankan kepentingan amalan kebersihan dan gaya hidup sihat sebagai langkah pencegahan. Antara saranan utama pakar kesihatan termasuk pengambilan vaksin tahunan, menjaga kebersihan tangan, menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin, memastikan pengudaraan rumah yang baik, serta mengamalkan pemakanan seimbang dan rehat mencukupi bagi menguatkan sistem imun.
Orang ramai digalakkan mendapatkan nasihat pakar kesihatan bagi memahami lebih lanjut mengenai influenza serta langkah perlindungan yang sesuai. Maklumat tambahan boleh diperoleh di farmasi BIG dan CARiNG seluruh negara atau melalui laman rasmi Abbott di medicines.abbott.com.
Baca juga: Doktor Cerita 3 Hal INI Sering Bermain Di Bibir Pesakit Sebelum Ajal Tiba, Mesti Ulang-Ulang Cakap
