Majlis perkahwinan sepatutnya menjadi antara detik paling bermakna dalam hidup. Namun, tidak sedikit pasangan yang akhirnya pulang dengan rasa penat, tertekan dan kecewa kerana terlalu memikirkan pelbagai perkara yang sebenarnya di luar kawalan.
MAJLIS PERKAHWINAN LEBIH TENANG JIKA BUANG 5 PERKARA INI

Foto: Gemini AI
Ramai bakal pengantin menghabiskan masa berbulan-bulan merancang setiap perincian majlis. Tetapi hakikatnya, bukan semua perkara akan berjalan sempurna seperti yang dirancang.
Ada sahaja perkara kecil yang mungkin tidak menjadi, namun ia tidak sepatutnya merosakkan hari bahagia pengantin.
Jika ingin melangsungkan perkahwinan, mungkin sudah tiba masanya untuk “membuang” beberapa perkara ini supaya majlis berjalan lebih lancar dan benar-benar dapat menikmati momen indah bersama pasangan.
1. Buang Mindset Nak Puaskan Hati Semua Tetamu
Perkara pertama yang perlu dibuang ialah mentaliti mahu memastikan semua tetamu berpuas hati.
Walaupun anda menjemput ratusan atau ribuan orang, pasti akan ada segelintir tetamu yang tetap mencari kekurangan. Ada yang mengkritik makanan, pelamin, tempat letak kereta atau susunan majlis.
Hakikatnya, mustahil untuk memuaskan hati semua orang.
Daripada terlalu memikirkan pandangan orang lain, lebih baik fokus kepada kegembiraan diri sendiri, pasangan dan ahli keluarga terdekat. Hari itu adalah hari bermakna untuk pengantin, bukannya hari untuk memenuhi jangkaan semua orang.
2. Buang Tentatif Yang Terlalu Padat Dan Memenatkan
Tidak semua adat atau aktiviti dalam majlis perkahwinan wajib dilakukan.
Jika rasa tidak selesa menjadi perhatian atau mudah letih, ringkaskan sahaja perjalanan majlis. Tidak semestinya perlu ada sesi potong kek, persembahan khas atau pertukaran busana berkali-kali jika ia hanya menambah tekanan.
Tentatif yang lebih ringkas bukan sahaja menjimatkan masa, malah mengurangkan risiko majlis lewat atau kelam-kabut dan pengantin mempunyai lebih banyak masa untuk beramah mesra dengan tetamu dan menikmati hari istimewa bersama pasangan.
3. Buang Bridesmaid Atau Groomsmen Yang Suka Drama

Foto: Gemini AI
Pemilihan bridesmaid dan groomsmen bukan sekadar berdasarkan hubungan rapat, tetapi juga sikap mereka.
Pada hari majlis, pengantin memerlukan individu yang benar-benar membantu, bukannya yang perlu dilayan atau gemar mencetuskan drama.
Mereka sepatutnya menjadi orang yang membantu menguruskan pakaian, memastikan keperluan pengantin tersedia, mengingatkan jadual dan memberikan sokongan sepanjang hari.
Lebih baik mempunyai kumpulan kecil yang boleh diharap daripada ramai tetapi menambah beban emosi.
4. Tidak Pegang Telefon Pada Hari Majlis
Sehari sebelum majlis dan pada hari berlangsungnya perkahwinan, pertimbangkan untuk menyerahkan telefon kepada ahli keluarga atau rakan yang dipercayai.
Biarkan mereka menguruskan panggilan tetamu, menjawab mesej atau menyelesaikan sebarang pertanyaan.
Dengan cara ini, pengantin tidak perlu terganggu dengan notifikasi, panggilan atau urusan kecil ketika sedang bersiap ataupun menikmati majlis.
Pengantin juga dapat lebih menghargai setiap momen bersama pasangan tanpa gangguan media sosial atau urusan lain yang boleh diselesaikan oleh orang lain.
5. Buang Keinginan Mengawal Semua Perkara Saat Akhir
Apabila hari majlis tiba, pasti ada perkara kecil yang tidak menjadi seperti dirancang.
Mungkin ada bunga yang layu, muzik dimainkan sedikit lewat atau susunan kerusi berubah. Semua itu adalah perkara biasa dalam mana-mana majlis.
Daripada terlalu memikirkan setiap kekurangan, serahkan urusan kepada penyelaras majlis, ahli keluarga atau individu yang telah dipertanggungjawabkan.
Apa yang paling penting ialah pengantin telah selamat diijabkabulkan serta dapat meraikan hari bahagia bersama insan tersayang.
Yang Penting Bukan Majlis Sempurna, Tetapi Kenangan Yang Indah
Majlis perkahwinan hanyalah permulaan kepada kehidupan berumah tangga. Jangan biarkan keinginan mengejar kesempurnaan membuatkan anda terlupa menikmati hari yang sepatutnya menjadi antara ken angan paling manis dalam hidup.
Buang beban mental yang tidak perlu, percayakan orang di sekeliling dan nikmati setiap detik bersama pasangan.
Pada akhirnya, tetamu mungkin hanya mengingati suasana yang ceria dan layanan yang baik, tetapi pengantin akan mengingati bagaimana perasaan pada hari bersejarah itu.
Baca juga: Bayi Perempuan Ditemui Dalam Semak, Remaja Lepasan SPM Direman 4 Hari Bantu Siasatan
Sumber: Threads @emcee.redha
