Seorang suami meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa isterinya yang merupakan seorang cikgu terlalu sibuk dengan tugas guru sehingga menyebabkan anak sendiri seolah-olah kurang mendapat perhatian.
Luahan yang dikongsikan di media sosial itu mengundang pelbagai reaksi daripada orang ramai, khususnya dalam kalangan guru dan ibu bapa yang memahami cabaran kerjaya berkenaan.
Baca juga: Kentut Wanita Hamil Punyalah Busuk Sampai Boleh Undang ‘Maut’? Tak Sangka Berbau Sebab Ini….
TUGAS GURU TAK PERNAH HABIS, ANAK SENDIRI TERABAI

Sekadar gambar hiasan. Kredit: Kosmo
Menurut lelaki itu, sebelum ini dia menyangka kerjaya guru mempunyai waktu bekerja yang lebih teratur. Namun selepas berkahwin, dia mendakwa tugas isterinya seolah-olah tidak pernah selesai.
Katanya, selain menguruskan anak murid di sekolah, isterinya juga perlu menyambung kerja pada waktu malam sehingga masa bersama keluarga menjadi semakin terhad.
“Normal ke kalau isteri cikgu, kita rasa anak macam terabai sebab mak dia lebih utamakan kerja dan anak murid? Hal anak sendiri ni entah letak nombor berapa,” jelasnya.
Dalam perkongsian sama, lelaki itu turut mendakwa isterinya lebih mengutamakan menyelesaikan tugasan kerja sehingga kadang-kadang lewat mengambil anak.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan mereka terpaksa menanggung caj tambahan kerana kelewatan mengambil anak di pusat jagaan.
Walaupun dia mengakui sentiasa membantu menguruskan anak dan urusan rumah tangga, dia berharap isterinya dapat memberikan lebih perhatian terhadap anak sendiri.
Mahu ibu dan ayah mainkan peranan

Kredit: Gemini AI
Tambahnya lagi, mereka sebelum ini pernah bersetuju untuk bergilir-gilir mengajar anak mengaji dan membaca di rumah. Walau bagaimanapun, perkara itu tidak dapat diteruskan kerana isterinya sering memberi alasan terlalu banyak kerja.
“Memang ayah ajar. Tapi lebih berkesan kalau ada kerjasama daripada mak juga. Kena sama-sama ambil tahu pasal anak,” luahnya.
Luahan itu menerima pelbagai reaksi daripada warganet dan ada yang bersetuju bahawa beban tugas guru ketika ini semakin mencabar dengan pelbagai urusan pentadbiran yang perlu diselesaikan di luar waktu sekolah.
Pada masa sama, tidak kurang juga yang berpandangan bahawa walau sesibuk mana sekalipun pekerjaan seseorang, keseimbangan antara kerjaya dan keluarga tetap penting supaya anak-anak tidak berasa terpinggir.
Ada juga yang berpendapat isu tersebut bukan semata-mata berkaitan profesion guru, sebaliknya boleh berlaku dalam mana-mana pekerjaan apabila beban kerja menjadi terlalu tinggi dan komunikasi antara pasangan kurang berkesan.
Baca juga: Polis Mohon Bantuan Kesan Remaja Perempuan 13 Tahun Dilapor Hilang, Kali Terakhir Dikesan Di KLCC
Sumber: Threads Pantaiputih
