Satu video buli yang tular di media sosial mengundang perhatian ramai apabila memaparkan seorang remaja lelaki dipukul beramai-ramai sehingga dilaporkan mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan dalam otak dan keretakan tengkorak.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan yang juga ibu mangsa kira-kira jam 12.54 pagi pada 5 Julai lalu sebelum menahan empat suspek pada hari yang sama.
Baca juga: Padah ‘Ratah’ Anak Sendiri, Bapa & Juga Guru Dipenjara 270 Tahun 180 Sebatan!
VIDEO BULI RAKAN TULAR TERIMA KECAMAN RAMAI

Menurut beliau, kesemua suspek berusia 14 tahun dan dipercayai terbabit dalam kejadian membelasah mangsa serta merakam perbuatan itu menggunakan telefon bimbit.
Kejadian berlaku di bawah blok Residensi PRIMA Alam Damai
Mohd Rosdi berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa, namun beliau enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.
“Kejadian disahkan berlaku di kawasan bawah blok Residensi PRIMA Alam Damai, Cheras, di sini. Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Cheras menahan empat remaja lelaki tempatan berusia 14 tahun bagi membantu siasatan.
“Polis turut merampas telefon bimbit milik seorang daripada suspek yang digunakan untuk merakam kejadian itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya lagi, kesemua suspek direman dan sudah dibebaskan dengan jaminan polis sementara kertas siasatan dilengkapkan sebelum dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut.
Baca juga: Rakam Wajah Staf Tanpa Izin Buat Konten Konon Cuba Sport Bra, TikToker Lelaki Akhirnya Mohon Maaf

Ibu dakwa anak alami pendarahan dalam otak
Terdahulu, rakaman berdurasi 1 minit 13 saat itu menunjukkan seorang remaja berbaju hijau dipukul oleh dua suspek berbaju biru, manakala seorang lagi dipercayai merakam kejadian tersebut.
Video berkenaan dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial yang mendakwa dirinya ibu kepada mangsa. Dalam hantaran itu, wanita terbabit memaklumkan anaknya cedera parah termasuk mengalami pendarahan dalam otak dan keretakan pada tengkorak.
Wanita itu turut mendakwa kejadian berlaku pada 2 Julai lalu, namun dia hanya berkongsi rakaman tersebut baru-baru ini kerana masih trauma melihat keadaan anaknya diperlakukan sedemikian.
Kes video buli ini mencetuskan pelbagai reaksi warga maya yang berharap siasatan dijalankan secara menyeluruh dan tindakan tegas diambil bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang, terutama melibatkan pelajar sekolah dan remaja bawah umur.
Sumber: Harian Metro
FT Image: Facebook ibu mangsa
