Selama ini, anak-anak lebih banyak melihat ibu mereka menangis ketika berdepan kesusahan hidup. Namun sempena kejutan hari lahir yang dirancang khas untuk ulang tahun ke-50, mereka akhirnya dapat melihat air mata yang mengalir itu hadir kerana terlalu gembira.
KEJUTAN HARI LAHIR 5 ANAK BUAT AMMA TERCINTA

Gambar tangkap layar: Facebook The Chindian Diaries
Amma tak sedar anak-anak sudah berada di belakang
Itulah detik yang dikongsikan oleh L Bharathi, 34, apabila ibunya M Kavita, 50, yang bekerja sebagai tukang sapu di Seremban, Negeri Sembilan, terkejut dengan kehadiran anak-anak ketika sedang menjalankan tugas seperti biasa.
Video kejutan berdurasi hampir tiga minit itu tular di media sosial dan menyentuh hati ramai.
Dalam rakaman tersebut, Kavita sedang ditemu bual oleh seseorang di lokasi kerjanya tanpa menyedari kelima-lima anaknya sudah berada di belakang sambil memakai seragam kerja masing-masing.
Apabila diminta menoleh ke belakang, wanita itu terus terkejut sebelum tersenyum dan sebak menerima pelukan serta ucapan hari lahir daripada anak-anak tersayang.
Reaksi spontan ibu kepada lima cahaya mata itu membuatkan ramai warga maya turut mengalirkan air mata, malah ruangan komen dipenuhi pujian terhadap usaha anak-anak menghargai jasa ibu mereka.
Baca juga: Usia 66 Tahun Bukan Halangan, Wanita Ini Tular Angkat Berat 107.5kg Buat Ramai Ternganga!

Gambar tangkap layar: Facebook The Chindian Diaries
Tiada hadiah yang mampu balas pengorbanan Amma
Menurut Bharathi, idea kejutan itu sebenarnya dicetuskan oleh adik ketiganya, Santhia, 29, selepas mereka berbincang tentang hadiah paling sesuai untuk ibu.
“Saya bersama adik-beradik lain (Hema, Santhia, Yumal Raj dan Priya Darsni) sedar tiada hadiah yang mampu membalas segala pengorbanan Amma. Jadi kami mahu memberikan sesuatu yang nilainya bukan pada harga, tetapi pada kegembiraan yang boleh dirasainya.
“Kemudian, kami teringat Amma pernah berkongsi impian melihat adik bongsu datang mengejutkannya ketika bekerja dengan memakai uniform juruterbang. Syukur, impian kecil itu akhirnya dapat direalisasikan pada hari lahirnya yang ke-50,” katanya kepada Harian Metro.
Bharathi berkata, kejutan itu bukan dilakukan secara spontan, sebaliknya dirancang selama sebulan dengan setiap adik-beradik memainkan peranan masing-masing.
Antara cabaran terbesar ialah mencari tarikh yang sesuai kerana ada dalam kalangan mereka tinggal di Singapura dan Langkawi, selain memastikan ibu tetap keluar bekerja pada hari kejadian tanpa menghidu perancangan tersebut.
Mereka juga mendapatkan juruvideo bagi merakam momen istimewa itu sebagai kenangan keluarga.
Baca juga: Anak Didakwa Kes Bunuh, Ibu Tiada SPM Belajar Undang-Undang Demi Keadilan, Kini Bergelar Peguam
12 tahun bekerja sebagai tukang sapu demi anak-anak
Anak sulung itu turut berkongsi bagaimana ibunya sanggup bekerja keras selama lebih 12 tahun sebagai tukang sapu untuk membantu bapanya yang bekerja sebagai tukang cat.
Menurutnya, sejak kecil mereka menyaksikan sendiri ibunya bekerja di bawah panas terik dan hujan demi memastikan setiap anak mendapat pendidikan dan kehidupan yang lebih baik.
“Sejak kecil, kami menyaksikan sendiri kesusahan Amma yang sanggup bekerja di bawah panas terik dan hujan demi menyara keluarga tanpa pernah mengeluh.
“Pengorbanan Amma itu menjadi sumber inspirasi kepada kami untuk belajar bersungguh-sungguh, bekerja keras dan mengubah kehidupan keluarga,” katanya.
Walaupun anak-anak kini sudah bekerja dan mampu membantu keluarga, Kavita masih memilih untuk terus bekerja kerana tidak mahu bergantung kepada mereka.
“Amma memang seorang yang sangat berdikari dan sudah terbiasa bekerja, selagi masih sihat dan mampu, dia akan terus bekerja kerana enggan membebankan anak-anak,” katanya.
“Saya bersyukur kerana segala penat lelah dan pengorbanan sepanjang membesarkan anak-anak terubat pada hari berkenaan. Bagi saya, ia adalah antara kenangan paling berharga dalam hidup,” katanya.
Sumber: Harian Metro
FT Image: Harian Metro
