Euforia Bola 2026
Nur

Mak Ayah Nak Hati Lebih Tenang Hantar Anak Ke Sekolah? Amalkan 3 Doa Perlindungan Ini Setiap Pagi

doa perlindungan anak

Sejak kebelakangan ini, pelbagai berita mengenai kemalangan jalan raya dan kes buli di sekolah mengundang rasa bimbang dalam kalangan ibu bapa. Dalam situasi seperti ini, doa perlindungan anak menjadi antara amalan yang boleh dijadikan ikhtiar rohani sebelum anak melangkah keluar dari rumah.

Baca juga: 6 Amalan Harian Yang Ringkas… Tapi Bawa Nur Seri Pada Wajah, Hati & Jiwa!

doa perlindungan anak

Gambar hiasan: Gemini AI

Menerusi satu perkongsian di Facebook, pendakwah bebas Ustazah Asma’ Harun mengajak ibu bapa agar tidak hanya bergantung kepada usaha menjaga keselamatan fizikal anak-anak, malah membiasakan mereka dengan amalan doa yang diajarkan Rasulullah SAW.

Menurut Ustazah Asma’, sebagai manusia kita tidak mampu mengawasi anak-anak sepanjang masa. Namun, kita boleh menyerahkan urusan mereka kepada Allah SWT yang Maha Memelihara dengan mengamalkan doa-doa perlindungan setiap hari.

1. Doa keluar rumah

Latihlah anak-anak untuk membaca doa ini setiap kali melangkah keluar dari pintu rumah untuk ke sekolah.

بِسْمِ اللَّهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ

Maksudnya: Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah. Tiada daya dan tiada kekuatan melainkan dengan pertolongan Allah

Kelebihan doa ini

​Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda: ​

“Apabila seseorang keluar dari rumahnya lalu dia mengucapkan “(doa)” maka akan dikatakan kepadanya ketika itu: ‘Kamu telah diberi petunjuk’ (oleh Allah), kamu telah dicukupkan’ (keperluanmu), dan kamu telah dilindungi’ (daripada bahaya). ​Lalu syaitan-syaitan pun menjauhkan diri daripadanya.” (HR Abu Daud, no. 5095)

2. Doa pendinding daripada kemudaratan

Doa ini sangat luar biasa untuk melindungi anak-anak daripada sebarang bahaya fizikal, kemalangan, mahupun gangguan daripada manusia yang berniat jahat.

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Maksudnya: Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya tidak ada sesuatu pun yang boleh membawa mudarat di bumi mahupun di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Kelebihan doa ini

Daripada Uthman bin Affan RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

​”Sesiapa yang membaca “(doa)” sebanyak tiga kali, maka dia tidak akan ditimpa musibah (bencana) secara tiba-tiba sehingga waktu pagi. Dan sesiapa yang membacanya ketika subuh (pagi) sebanyak tiga kali, dia tidak akan ditimpa musibah secara tiba-tiba sehingga waktu petang.” (HR Abu Daud, no. 5088)

3. Doa mohon perlindungan di tempat baharu

Apabila anak-anak melangkah masuk ke kawasan sekolah, kelas, padang, atau di mana-mana sahaja mereka berada, ajarkan mereka untuk mengamalkan doa perlindungan ini agar dijauhkan daripada kejahatan makhluk seperti pembuli atau gangguan lain.

أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna daripada kejahatan makhluk yang diciptakan-Nya.

Kelebihan doa ini

Daripada Khaulah binti Hakim Al-Sulamiyyah RA, beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda:

​”Sesiapa yang singgah di suatu tempat, lalu dia membaca “(doa)” maka tidak ada sesuatu pun yang dapat membahayakannya sehinggalah dia beredar (pergi) dari tempat tersebut.” (HR Muslim, no. 2708)

Baca juga: Jualan Ada Cabutan Bertuah Makin Jadi Trend, Mufti Terengganu Minta Berhati-Hati Jika Ada 4 Perkara Ini!

doa perlindungan anak

Gambar hiasan: Gemini AI

JANGAN LUPA BINA BENTENG ROHANI ANAK-ANAK

Dalam perkongsiannya, Ustazah Asma’ Harun mengingatkan bahawa selain memastikan aspek keselamatan fizikal seperti pemantauan, komunikasi dan langkah berjaga-jaga, ibu bapa juga perlu membina benteng rohani anak-anak.

Amalan doa bukanlah pengganti kepada usaha, tetapi pelengkap kepada ikhtiar yang dilakukan. Dengan membiasakan anak-anak membaca doa sebelum keluar rumah dan ketika berada di tempat baharu, diharapkan mereka sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT.

Semoga Allah SWT melindungi setiap anak daripada segala bentuk kemudaratan, kemalangan, gejala buli dan kejahatan manusia, serta mengurniakan ketenangan kepada hati setiap ibu bapa yang melepaskan anak-anak mereka menuntut ilmu.

Sumber:  Facebook Ustazah Asma’ Harun

FT Image: Facebook Ustazah Asma’ Harun

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×