Tular baru-baru ini kisah seorang wanita yang mendakwa menerima tekanan daripada bekas majikannya ketika sedang menjalani cuti bersalin apabila dipaksa menghantar pelbagai bukti, termasuk gambar swafoto bersama bayi yang baru dilahirkan, bagi membuktikan dia benar-benar dimasukkan ke hospital.
Baca juga: Tak Perlu Sentuh Kad Apa-Apa! Kini Bayar Tol Guna Nombor Plat Kereta, Ini Cara Guna JustGo Malaysia
STAF CUTI BERSALIN, MAJIKAN PAKSA HANTAR SELFIE DENGAN BAYI

Foto: Threads @alya_daeng
Menerusi perkongsian wanita berkenaan, dia mendakwa tekanan tersebut berlaku ketika dirinya masih dirawat di wad selepas selamat melahirkan anak sulung.
Menurutnya, suaminya terlebih dahulu telah menghantar gambar kad maklumat bayi yang memaparkan nama ibu dan tarikh kelahiran sebagai bukti dia benar-benar bersalin.
Namun, dakwanya, bukti itu masih belum mencukupi di mata majikan.
Bekas majikannya kemudian meminta dia menghantar gambar swafoto bersama bayi, selain mengarahkan supaya mengambil gambar fail doktor sebagai pengesahan bahawa dia dimasukkan ke wad.
“Bos menekan-nekan suruh bagi gambar selfie aku dengan baby. Lepas tu suruh aku buka fail doktor dan ambil gambar sebagai pengesahan aku masuk wad.
“Tak boleh ke dia tunggu aku keluar wad dulu?” luah wanita itu.
Sudah Hantar Gambar Pakai Baju Wad, Masih Diminta Selfie Dengan Bayi
Wanita berkenaan berkata, bagi memenuhi permintaan tersebut, dia turut menghantar gambar dirinya memakai pakaian pesakit hospital berwarna merah jambu bercorak polka dot.
Walaupun begitu, majikannya didakwa masih tidak berpuas hati dan tetap meminta gambar swafoto bersama bayi yang baru dilahirkan.
Situasi itu menyebabkan dia berasa tertekan ketika sedang melalui tempoh pemulihan selepas bersalin.
Warga Maya Berang Dengan Tindakan Majikan
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai di media sosial dengan rata-rata netizen menyifatkan tindakan majikan berkenaan sebagai keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan.
Ramai berpandangan bahawa majikan sepatutnya menunjukkan empati dan kepercayaan terhadap pekerja, khususnya ibu yang baru melahirkan anak.
Tempoh berpantang bukan sahaja penting untuk proses pemulihan fizikal, malah memberi ruang kepada ibu menyesuaikan diri dengan perubahan emosi serta menjaga bayi yang baru lahir.
Hubungan yang sihat antara majikan dan pekerja seharusnya dibina atas dasar saling menghormati dan percaya, bukannya memberi tekanan pada saat pekerja sedang melalui antara fasa paling mencabar dalam kehidupan mereka.
Sumber: Threads @alya_daeng
