Euforia Bola 2026
Dapur

Tak Sedap Peria Goreng Jadi Lembik Lepas Sejuk, 6 Tips Ini Berbaloi Cuba Confirm ‘Kriukkk’ Berbulan

peria goreng

Kalau anda gemar makan peria goreng, pasti pernah mengalami situasi apabila hasil gorengan yang pada mulanya garing bertukar lembik selepas sejuk. Walaupun rasanya masih sedap dimakan bersama nasi, teksturnya sudah tidak lagi rangup jika dijadikan kudapan.

Baca juga: Betul Ke Ikan Keli Makan ‘Taik’ Sebab Itu Tak Selamat Dimakan? Tunggu..Ini Penjelasan Ahli Zoologi

TIP PERIA GORENG KEKAL RANGUP SELEPAS SEJUK

peria goreng

Gambar hiasan: Gemini AI

Baru-baru ini, perkongsian seorang pengguna Facebook mengenai masalah tersebut mengundang pelbagai tip daripada warga maya.

Menariknya, beberapa petua yang dikongsikan itu turut selari dengan teknik memasak yang sering digunakan dalam resipi kulinari untuk menghasilkan peria goreng yang lebih rangup dan tahan lama.

1. Hiris peria senipis mungkin

Gunakan peria katak jika ada kerana saiznya lebih kecil dan mudah menjadi rangup. Hiris secara nipis dan sekata supaya setiap kepingan masak serentak ketika digoreng.

Hirisan yang terlalu tebal akan mengambil masa lebih lama untuk garing dan mudah menjadi lembik selepas sejuk.

2. Gaul dengan garam untuk kurangkan kelembapan

Selepas dihiris, gaulkan peria dengan sedikit garam dan biarkan selama kira-kira 10 hingga 15 minit.

Langkah ini bukan sahaja membantu mengurangkan rasa pahit, malah menarik keluar lebihan air daripada peria. Semakin kurang kandungan air, semakin rangup hasil gorengannya.

Selepas itu, bilas dengan air bersih dan perah sehingga benar-benar kering.

3. Gunakan tepung beras dalam campuran

Salah satu petua yang sering dikongsikan ialah mencampurkan tepung beras bersama tepung goreng segera pada nisbah 1:1.

Tepung beras membantu menghasilkan salutan yang lebih nipis, garing dan tahan rangup lebih lama berbanding menggunakan tepung biasa sahaja.

Untuk salutan yang lebih sekata, masukkan sedikit peria ke dalam bekas bertutup bersama tepung, kemudian goncang sehingga setiap hirisan bersalut rata.

Baca juga: Tips Simpan Daun Herba Masakan Pakai Plastik Aiskrim, Segar & Tahan Berbulan!

peria goreng

4. Pastikan minyak betul-betul panas

Suhu minyak memainkan peranan penting dalam menentukan tekstur akhir peria goreng.

Jika minyak belum cukup panas, peria akan menyerap lebih banyak minyak dan menyebabkan salutan menjadi lembik dengan cepat.

Gunakan kaedah deep fry supaya peria tenggelam sepenuhnya dalam minyak dan masak secara sekata.

5. Jangan goreng terlalu banyak sekali gus

Elakkan memasukkan terlalu banyak peria dalam satu masa.

Apabila terlalu banyak dimasukkan, suhu minyak akan menurun dan menyebabkan peria mengambil masa lebih lama untuk masak. Akibatnya, tekstur menjadi kurang garing.

Lebih baik goreng dalam beberapa kelompok kecil bagi memastikan setiap hirisan mendapat haba yang mencukupi.

6. Toskan di atas rak sebelum disimpan

Selepas diangkat, toskan peria di atas rak penyejuk atau penapis besi supaya lebihan minyak dan wap panas dapat keluar.

Jika terus diletakkan di dalam bekas atau ditutup ketika masih panas, wap yang terperangkap akan menyebabkan salutan menjadi lembik.

Pastikan peria benar-benar sejuk sebelum disimpan di dalam bekas kedap udara jika ingin menikmatinya kemudian.

Baca juga: Cara Buat Kuih Ketayap Bebas ‘Gluten’, Sama Sedap Persis Yang Warna Hijau Itu!

PETUA MUDAH, HASIL LEBIH RANGUP

Walaupun petua ini kelihatan ringkas, gabungan beberapa teknik seperti mengurangkan kelembapan pada peria, menggunakan tepung beras dan menggoreng dalam minyak yang cukup panas boleh memberikan perbezaan yang ketara.

Jadi, jika sebelum ini anda sering kecewa kerana peria goreng cepat lembik selepas sejuk, boleh cuba enam petua ini. Siapa tahu, selepas ini peria goreng buatan sendiri pula menjadi kegemaran seisi keluarga.

Sumber: Cooking From Heart / Edible Garden / Chhaya’s Food

FT Image: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×