Hidangan tradisional ini yang sering menjadi kegemaran ramai, telah mencetuskan kebimbangan kesihatan selepas ribuan pelajar universiti didapati positif jangkitan cacing hati akibat pengambilan makanan yang dipercayai berkait dengan ikan air tawar mentah atau tidak dimasak sempurna.
Penemuan membabitkan ribuan pelajar di Thailand menyebabkan pihak berkuasa tempatan meningkatkan pemeriksaan keselamatan makanan, terutama terhadap premis yang menjual hidangan somtam menggunakan ikan peram (pla ra).
Baca juga: Netizen Kagum Rahsia Jemur Cendawan Sebelum Masuk Kuali, Rupanya Boleh ‘Caj’ Vitamin D Kulit!
RIBUAN PELAJAR THAILAND POSITIF CACING HATI

Gambar scops.org.uk: Cacing hati (Fasciola hepatica).
Lebih 4,000 pelajar dikesan positif
Menurut laporan Bangkok Post, saringan awal menggunakan kit ujian antigen air kencing (UAT) mendapati jumlah jangkitan dalam kalangan pelajar berada pada tahap membimbangkan.
Di Universiti Maha Sarakham, seramai 4,233 daripada 12,733 pelajar tahun pertama didapati positif, iaitu kira-kira 33 peratus.
Sementara itu, di Universiti Rajabhat Maha Sarakham pula, seramai 380 daripada 1,922 pelajar memperoleh keputusan positif, bersamaan kira-kira 19 peratus.
Angka tersebut lebih tinggi berbanding kadar purata jangkitan dalam kalangan penduduk wilayah berkenaan yang dianggarkan sekitar 11 peratus.
Somtam dan pla ra jadi perhatian pihak berkuasa
Susulan penemuan itu, kerajaan tempatan mengarahkan pemeriksaan dilakukan terhadap kedai somtam berhampiran kawasan universiti serta restoran yang menggunakan pla ra dalam menu mereka.
Premis yang memenuhi piawaian keselamatan makanan akan diberikan tanda pengiktirafan bagi menunjukkan hidangan pla ra yang disediakan telah melalui proses memasak dengan betul dan lebih selamat untuk dimakan.
Walaupun pla ra sering dikaitkan dengan isu ini, pakar menjelaskan makanan tersebut bukanlah satu-satunya penyebab.
Timbalan Pengarah Hospital Maharat Nakhon Ratchasima, Dr Jade Boonyawongvirot berkata, sumber jangkitan yang disahkan secara saintifik ialah pengambilan ikan air tawar mentah atau tidak dimasak sempurna yang mengandungi parasit.
Menurut beliau, sekiranya pla ra dihasilkan mengikut piawaian kebersihan, diperam dengan betul serta direbus sebelum dimakan, risiko jangkitan adalah sangat rendah.
Baca juga: Sakit Tekak Berhari-Hari Tak Hilang? Minuman Korea Ini Raih Perhatian, TokTi Pun Kata “My Fav”

Gambar wikipedia: Periuk pla ra di atas kereta sorong penjual som tam, Bangkok.
Cacing hati boleh beri kesan selepas bertahun-tahun
Menurut pakar, jangkitan parasit ini tidak semestinya menunjukkan simptom serius pada peringkat awal. Namun, tabiat pemakanan yang berterusan tanpa perubahan boleh membawa risiko kesihatan lebih besar pada masa hadapan.
Dr Jade memberi amaran bahawa jangkitan berulang boleh meningkatkan risiko kanser saluran hempedu (cholangiocarcinoma) selepas tempoh sekitar 15 hingga 20 tahun.
Penyakit tersebut disifatkan sukar dirawat dan mempunyai kadar kematian yang tinggi.
Apa itu cacing hati?
- Cacing hati merupakan sejenis parasit yang boleh menjangkiti manusia melalui pengambilan ikan air tawar mentah atau kurang masak.
- Parasit ini banyak ditemui di beberapa kawasan Asia Tenggara, khususnya Thailand, Laos dan Kemboja.
- Jangkitan yang dikenali sebagai opisthorchiasis berlaku apabila larva parasit memasuki tubuh manusia melalui makanan yang tercemar.
Baca juga: Disangka Kulat Tahun, Rupanya Kulat Beracun! Sebelum Jadi Mangsa…Ini Cara Nak Bezakan
Sumber: Bangkok Post
FT Image: scops.org.uk / Bangkok Post
