Satu perkongsian seorang ibu di Threads mengenai caranya didik anak lelakinya menjadi anak yang ringan tulang dan suka membantu kerja rumah mencuri perhatian ramai netizen.
DIDIK ANAK LELAKI JADI GENTLEMAN, PERKONGSIAN IBU RAIH PUJIAN

Foto: Threads @asyiqin_af
Menerusi video yang dimuat naik, ibu tersebut berkongsi rutin hariannya bersama anak-anak. Kedua-dua anak lelakinya dilihat menemaninya ke pasar, membantu membawa barang-barang yang dibeli sebelum sama-sama menyiapkan kerja di dapur seperti memotong cili dan bawang.
Lebih mencuit hati, wanita itu berseloroh menerusi kapsyen videonya:
“Greenflag man masih dalam training!! Jangan ada girlfriend selagi belum tamat latihan dari mummy!”
Menurutnya lagi, pujian menjadi antara ‘senjata’ untuk membuatkan anak-anaknya lebih bersemangat membantu.
“Makin dipuji, makin laju kerja dia.”
Ayah Jadi Contoh Terbaik Di Rumah

Foto: Threads @asyiqin_af
Dalam perkongsian sama, dia menjelaskan bahawa suaminya memainkan peranan besar dalam membentuk sikap anak-anak mereka.
Menurutnya, suaminya sendiri banyak mengambil alih kerja rumah, manakala tugasnya lebih tertumpu kepada memasak.
“Ayah diorang pun sangat membantu didik diorang berdua. Kerja rumah memang 100% ayah diorang yang take over. Tugas mak hanya masak sahaja. Mungkin ikut perangai ayahnya juga ni.”
Perkongsian itu membuatkan ramai netizen bersetuju bahawa anak-anak lazimnya akan mencontohi apa yang mereka lihat setiap hari di rumah.
Netizen Kongsi Cara Didik Anak Lelaki
Di ruangan komen, ramai ibu bapa turut berkongsi pengalaman mereka mendidik anak lelaki supaya mahir menguruskan diri dan tidak bergantung sepenuhnya kepada orang lain apabila dewasa nanti.
Seorang netizen berkata dia turut melatih anak lelakinya melakukan kerja rumah dan memasak sejak kecil.
“Saya pun train anak jadi lelaki qawwam. Ayahnya begitu, anaknya juga perlu ikut jejak ayahnya. Alhamdulillah dah 11 tahun, pandai dah buat pizza roti Gardenia, nasi goreng, Milo sambil tolong buat kerja rumah.”
Dia turut berkongsi pesanan yang sering diberikan kepada anaknya.
“Maknya selalu pesan, nanti masuk universiti boleh masak. Bila isteri bersalin nanti, dah pandai buat kerja rumah dan memasak. Tak perlu bergantung pada orang lain.”
Seorang lagi netizen pula berkongsi bahawa dia sendiri membesar dalam keluarga yang mana bapanya banyak membantu melakukan kerja rumah.
“I was surrounded with hands on men. My dad pick up most of the housework. I nampak my father in law did the same. Mostly MIL masak je. Now my husband follow his dad footsteps.”
Didikan Bermula Dari Rumah
Ramai netizen berpendapat anak lelaki juga wajar dididik melakukan kerja rumah tanpa mengira jantina kerana kemahiran menguruskan diri merupakan kemahiran hidup yang penting.
Malah, mereka berpandangan sikap saling membantu antara suami dan isteri dalam menguruskan rumah tangga akan mewujudkan hubungan yang lebih harmoni.
Perkongsian ini turut mengundang pelbagai reaksi positif, dengan rata-rata netizen bersetuju bahawa didikan melalui teladan ibu bapa merupakan antara faktor penting dalam membentuk anak yang bertanggungjawab, berdikari dan menghargai usaha ahli keluarga.
View on Threads
Sumber: Threads @asyiqin_af
