Insiden seorang pemain bola sepak maut selepas disambar petir ketika perlawanan baru-baru ini di Melaka menjadi peringatan bahawa fenomena alam itu tidak boleh dipandang ringan.
Namun, masih ramai yang mempunyai pelbagai salah faham tentang petir, termasuk dakwaan mangsa tidak boleh disentuh atau tiada apa yang boleh dilakukan selepas kejadian berlaku.
Baca juga: “Jangan Jerit Nama Kuat-Kuat”, Peguam Kongsi Cari Anak Hilang Di Tempat Awam
MITOS DISAMBAR PETIR & TINDAKAN SELAMAT BOLEH DIAMBIL

Gambar ihsan pembaca: Keadaan cemas apabila penjaga gol disambar petir ketika perlawanan bola sepak di Lendu.
Hakikatnya, tindakan pantas dan pengetahuan yang betul boleh memainkan peranan penting dalam membantu mangsa, terutama apabila berlaku situasi kecemasan di kawasan terbuka.
Berikut beberapa mitos serta fakta mengenai petir yang ramai masih keliru, selain langkah yang boleh dilakukan jika berdepan individu yang disambar petir.
10 MITOS DISAMBAR PETIR RAMAI MASIH PERCAYA
1. Mangsa tak boleh disentuh
Ramai percaya mangsa masih mempunyai cas elektrik selepas terkena petir. Sebenarnya, tubuh manusia tidak menyimpan elektrik selepas disambar petir.
Mangsa boleh disentuh dan diberikan bantuan dengan segera. Malah, tindakan pantas seperti pemeriksaan pernafasan serta CPR boleh meningkatkan peluang mangsa untuk diselamatkan.
2. Berlindung di bawah pokok adalah selamat
Pokok antara lokasi yang berisiko ketika ribut petir kerana objek tinggi lebih mudah menjadi laluan sambaran. Berlindung di bawah pokok juga boleh menyebabkan seseorang terkena arus elektrik yang merebak melalui tanah atau dahan pokok.
3. Petir tak menyambar tempat sama
Petir boleh menyambar lokasi yang sama berulang kali. Bangunan tinggi, menara dan struktur tertentu sering menjadi sasaran sambaran kerana kedudukannya yang lebih tinggi.
4. Tiada risiko disambar petir jika hujan belum turun
Petir boleh berlaku walaupun hujan belum sampai ke sesuatu kawasan. Seseorang masih boleh berisiko walaupun langit di tempat mereka kelihatan tidak begitu gelap.
5. Telefon bimbit menarik petir
Telefon bimbit bukan punca seseorang disambar petir kerana ia menggunakan gelombang radio, bukan aliran elektrik fizikal yang boleh menarik petir. Risiko utama berlaku apabila seseorang berada di kawasan terbuka ketika ribut petir.
6. Pakai kasut getah sebagai pelindung diri
Kasut getah biasa tidak memberikan perlindungan penuh daripada sambaran petir. Arus elektrik daripada petir sangat kuat dan boleh melalui pelbagai permukaan.
7. Pondok terbuka jadi tempat berlindung
Tempat seperti wakaf, gazebo atau pondok terbuka tanpa dinding bukan lokasi perlindungan yang selamat kerana tidak mempunyai sistem pembumi. Tempat paling selamat ialah bangunan tertutup atau kenderaan dengan bumbung keras.
8. Aktiviti luar diteruskan jika guruh sekali-sekala
Guruh adalah tanda terdapat aktiviti petir berhampiran. Jika sudah mendengar guruh, aktiviti luar seperti bermain bola, memancing atau beriadah perlu dihentikan.
9. Mangsa tak mungkin diselamatkan
Ramai mangsa boleh diselamatkan dengan bantuan segera. Masalah utama selepas sambaran petir biasanya melibatkan jantung dan pernafasan, jadi tindakan pantas amat penting.
10. Tunggu ambulans tanpa buat apa-apa
Setiap saat sangat berharga. Menunggu tanpa bertindak boleh menyebabkan kematian otak akibat kekurangan oksigen. CPR segera adalah kritikal.
Baca juga: Susulan Hujan Lebat Landa Phuket, Beberapa Jalan Raya Ditenggelami Air…Orang Ramai Diminta Bersedia

Gambar hiasan: Freepik
APA PERLU BUAT?
- Sebelum menghampiri mangsa, pastikan tiada lagi risiko sambaran petir. Jika ribut masih berlaku, pindahkan diri dan mangsa ke lokasi lebih selamat apabila keadaan mengizinkan.
- Dapatkan bantuan kecemasan secepat mungkin dengan beritahu lokasi kejadian dan keadaan mangsa kepada operator.
- Periksa sama ada mangsa sedar atau tidak, bernafas atau tidak dan memberi sebarang tindak balas.
- Jika mangsa tidak bernafas secara normal, lakukan CPR sekiranya mempunyai pengetahuan mengenainya untuk mengekalkan aliran darah sementara menunggu bantuan perubatan tiba.
- Jika alat AED tersedia, gunakan mengikut arahan yang diberikan kerana alat ini boleh membantu memulihkan rentak jantung dalam keadaan tertentu.
- Mangsa sambaran petir mungkin mengalami melecur, kecederaan akibat jatuh, masalah pendengaran dan kekeliruan. Pastikan mangsa berada dalam keadaan selesa sementara menunggu bantuan.
Sumber: Berita Harian / CDC / METMalaysia / NOAA
FT Image: muhammad.abdullah
