Pelajar sekolah ditikam dalam satu kejadian di sebuah sekolah menengah di Banting, Selangor, hari ini sehingga mencetuskan suasana cemas di kawasan sekolah. Insiden itu turut dirakam orang awam sebelum video berkenaan tular di media sosial.
Baca juga: Pelajar Lari Selamatkan Diri, Tular Video Individu Masuk Sekolah Bawa Senjata Tajam!
PELAJAR SEKOLAH DITIKAM BEBERAPA KALI

Menurut maklumat awal, mangsa dipercayai ditikam beberapa kali oleh seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun yang merupakan pelajar di sekolah sama.
Difahamkan, suspek tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu kerana sedang menjalani rawatan kesihatan.
Sumber memaklumkan mangsa mengalami kecederaan pada bahagian belakang badan dan bahu akibat serangan tersebut.
Sebelum kejadian, suspek dikatakan memasuki kawasan sekolah melalui pintu masuk utama dengan memakai baju-T berwarna hitam serta seluar berkotak merah.
Walau bagaimanapun, kronologi lengkap bagaimana insiden itu berlaku masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Selepas kejadian, suspek dilaporkan berjaya ditenangkan oleh beberapa guru berhampiran surau sekolah sementara menunggu ketibaan polis.
Pihak sekolah kemudiannya menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan sebelum suspek ditahan.
Difahamkan, polis turut merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan sebagai bahan bukti. Setakat ini, motif serangan masih belum dikenal pasti dan siasatan sedang dijalankan.
Polis sahkan kejadian viral itu

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Sementara itu, beberapa video yang tular di media sosial memaparkan seorang remaja perempuan berpakaian hitam berjalan di kawasan sekolah sambil memegang sebilah pisau.
Rakaman sama turut menunjukkan suasana panik apabila pelajar bertempiaran lari bagi menyelamatkan diri.
Pada masa sama, media sosial turut dipenuhi pelbagai dakwaan mengenai latar belakang suspek, termasuk dakwaan bahawa individu berkenaan merupakan bekas pelajar sekolah tersebut yang ingin membalas dendam.
Sehingga kini pihak polis belum mengesahkan dakwaan berhubung identiti suspek atau motif kejadian dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai.
Baca juga: Sultan Kedah Tegas Mahu Langkawi Kekal Dengan Identiti Sendiri, Jangan Samakan Dengan Phuket & Bali
Sumber: Berita Harian
