Euforia Bola 2026
Famili

Tular Video Budak Keluar Kepala Melalui Sunroof Kereta, Ramai Baru Tahu Ia Berbahaya!

sunroof kereta

“Lah, baru tahu tak boleh?” Itulah antara komen yang paling banyak memenuhi ruangan media sosial selepas tular video dua kanak-kanak mengeluarkan kepala melalui sunroof kereta ketika sebuah SUV sedang bergerak di Lebuhraya Grand Saga, Cheras.

Menariknya, perhatian warga maya bukan hanya tertumpu kepada tindakan ibu kanak-kanak terbabit yang disiasat polis, sebaliknya ramai mengaku mereka baru mengetahui perbuatan itu sebenarnya boleh mengundang risiko keselamatan dan tindakan undang-undang.

Baca juga: Ingatkan Percuma Tapi Kena Infak Lepas Urus Jenazah Kanak-Kanak, Van Jenazah Melaka Henti Operasi

ISU RAKAMAN 2 ANAK KELUAR KEPALA MELALUI SUNROOF KERETA

sunroof kereta

Gambar tular: Tangkap layar video tular memaparkan dua kanak-kanak mengeluarkan kepala melalui sunroof sebuah SUV di Lebuhraya Grand Saga Cheras berhampiran Kampung Batu 10, Cheras, Kajang.

Perkongsian tersebut sekali gus mencetuskan perdebatan hangat apabila ada yang menganggap perkara itu sudah menjadi pengetahuan umum, manakala sebahagian lagi mengakui mereka selama ini menyangka ia sekadar satu pengalaman menyeronokkan untuk kanak-kanak.

Ramai mengaku baru faham ‘fungsi sunroof’ kereta

Di ruangan komen media sosial, ramai warga maya mengakui mereka selama ini menyangka sunroof kereta memang boleh digunakan untuk membolehkan kanak-kanak menjenguk ke luar ketika kenderaan bergerak.

“Baru saya tahu. Selama ini anak-anak pun teruja buka sunroof nak tengok luar.”

“Saya pun baru pertama kali tahu tak boleh keluar kepala.”

“Kalau tak boleh, jadi apa gunanya sunroof?”

Pengakuan seperti ini menunjukkan masih ramai pengguna jalan raya yang kurang memahami fungsi sebenar sunroof dan risiko keselamatan jika ia digunakan secara tidak betul.

Ada yang persoalkan ‘common sense’

Dalam masa sama, ramai juga warga maya berpendapat perkara itu sepatutnya sudah boleh dinilai menggunakan akal fikiran tanpa perlu menunggu undang-undang atau tindakan polis.

Menurut mereka, membenarkan kanak-kanak mengeluarkan kepala melalui sunroof kereta ketika berada di lebuh raya jelas mengundang risiko besar.

“Kalau tiada undang-undang sekalipun, kita sendiri boleh fikir benda itu sangat berbahaya.”

Seorang lagi pula menyindir fungsi sebenar sunroof.

“Namanya sunroof, bukannya tempat untuk keluarkan kepala. Ia direka supaya cahaya matahari dan udara masuk ke dalam kabin.”

sunroof kereta

Gambar hiasan: Gemini AI

CHILD SEAT DAN TALI PINGGANG KELEDAR DIPERSOALKAN

Perbincangan kemudian berkembang kepada soal pemakaian tali pinggang keledar dan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak atau child seat.

Menurut sebahagian warga maya, jika seorang kanak-kanak mampu berdiri sehingga mengeluarkan kepala melalui sunroof ketika kereta bergerak, besar kemungkinan mereka tidak dipasang dengan sistem keselamatan yang sepatutnya.

Ada yang mengingatkan bahawa pemakaian tali pinggang keledar dan penggunaan child seat bukan sekadar mematuhi undang-undang, malah mampu mengurangkan risiko kecederaan sekiranya berlaku kemalangan atau brek mengejut.

“Ramai buat, cuma belum jadi apa-apa”

Seorang lagi warga maya berpandangan situasi seperti ini sebenarnya sering berlaku di jalan raya.

Menurutnya, ramai ibu bapa membenarkan anak-anak berdiri melalui sunroof kereta kerana beranggapan ia tidak mendatangkan bahaya selagi tiada kemalangan berlaku.

Namun hakikatnya, risiko boleh berlaku pada bila-bila masa sama ada disebabkan brek mengejut, objek yang terjatuh, dahan pokok ataupun tindakan pemandu lain yang sukar dijangka.

Baca juga: Mata Murid 7 Tahun Lebam, Guru Di Batu Pahat Didakwa Baling Pemadam Papan Putih

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang wanita berusia 30 tahun ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang berhubung video tular memaparkan dua kanak-kanak mengeluarkan kepala melalui sunroof kereta di Lebuhraya Grand Saga berhampiran Kampung Batu 10, Cheras.

Ketua Polis Daerah Kajang berkata wanita berkenaan, yang juga ibu kepada kanak-kanak terbabit, kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas proses rakaman percakapan selesai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana mengabaikan kanak-kanak serta Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain.

Polis turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan mengutamakan aspek keselamatan, terutama apabila melibatkan kanak-kanak.

Sumber: Berita Harian / Threads

FT Image: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×