Suasana pilu menyelubungi sebuah keluarga di Kampung Baru, Sungai Sumun apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang, ditemui meninggal dunia di sebuah kebun kelapa sawit.
Di mana, kanak-kanak yang merupakan orang kurang upaya (OKU) itu ditemui berhampiran rumahnya selepas beberapa jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Baca juga: Hospital Queen Elizabeth Ulas Isu Tular, Orang Tidur Di Lobi Bukan Pesakit Menunggu Rawatan
KANAK-KANAK OKU DITEMUI DI KEBUN KELAPA SAWIT

Muhammad Faith Fatih Abdul Fattah merupakan orang kurang upaya (OKU) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa, Muhammad Faith Fatih Abdul Fattah, 6, ditemui lemas di dalam parit di kawasan kebun kelapa sawit pada malam Selasa, kira-kira 330 meter dari rumahnya di Kampung Baru, Sungai Sumun.
Difahamkan, Muhammad Faith Fatih disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
BAPA SEDAR ANAK HILANG SELEPAS PINTU RUMAH TERBUKA
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis berhubung kehilangan kanak-kanak itu pada jam 6.24 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang tiba di lokasi tujuh minit kemudian bagi menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
“Siasatan awal mendapati bapa mangsa menyedari kehilangan anaknya selepas mendapati kanak-kanak itu tiada di dalam rumah manakala pintu hadapan rumah berada dalam keadaan terbuka.
“Bapa mangsa kemudian melakukan pencarian di sekitar rumah dan kawasan kebun kelapa sawit berhampiran, namun gagal menemui anaknya sebelum membuat laporan polis pada jam 3.30 petang,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Sabarodzi berkata, operasi SAR membabitkan anggota bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta bantuan orang awam.
Katanya, pihak polis turut menggunakan seekor anjing pengesan K9 bagi membantu pencarian di kawasan kebun kelapa sawit di belakang rumah mangsa.
“Kanak-kanak itu kemudiannya ditemui meninggal oleh orang awam sekitar jam 10.08 malam di dalam kawasan kebun kelapa sawit berkenaan.
“Pasukan bomba kemudian mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat itu melibatkan seramai 10 anggota BBP Hutan Melintang bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan utiliti Kembara.
Operasi di kawasan kebun kelapa sawit berkenaan ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.11 malam selepas mangsa berjaya ditemui.
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Sinar Harian
