Setiap kali musim peperiksaan tiba, ramai ibu bapa mula mengingatkan anak supaya belajar bersungguh-sungguh. Ada yang siap menyusun jadual ulang kaji, menghadkan penggunaan gajet dan memastikan anak cukup rehat.
Baca juga: Anak Sering Minta Jajan Selepas Makan Malam? Ini Cara Kawal Tanpa Perlu Tinggikan Suara
7 AYAT UNTUK DIUCAPKAN KEPADA ANAK SEMASA MUSIM PEPERIKSAAN

Foto: Gemini AI
Kata-kata yang diucapkan setiap hari juga memainkan peranan besar dalam membentuk semangat dan keyakinan anak, apatah lagi dalam musim ujian.
Kadang-kadang, ayat yang ringkas tetapi penuh sokongan lebih memberi kesan berbanding desakan supaya mereka terus belajar. Anak bukan sahaja memerlukan ilmu, tetapi juga kekuatan emosi untuk menghadapi tekanan sepanjang musim peperiksaan.
Berikut ialah beberapa ayat yang boleh ibu bapa gunakan untuk menaikkan semangat anak untuk menjawab peperiksaan dengan bersemangat.
1. “Mama dan ayah bangga sebab kamu dah berusaha.”
Anak perlu tahu bahawa usaha mereka dihargai, bukan sekadar keputusan peperiksaan.
Apabila ibu bapa menghargai usaha yang dilakukan, anak akan lebih yakin dan kurang berasa takut jika keputusan tidak seperti yang diharapkan.
2. “Tak apa kalau susah, kita belajar sama-sama.”
Tidak semua subjek mudah difahami. Ada masanya anak hanya perlukan seseorang untuk menemani mereka mengulang kaji.
Ayat ini menunjukkan bahawa mereka tidak bersendirian menghadapi cabaran tersebut.
3. “Jangan takut buat silap, daripada situ kita belajar.”
Ramai anak terlalu takut melakukan kesilapan sehingga hilang keyakinan diri.
Yakinkan mereka bahawa kesilapan ialah sebahagian daripada proses pembelajaran dan setiap orang pernah mengalaminya.
4. “Rehat sekejap pun tak mengapa.”
Belajar tanpa henti bukanlah cara paling berkesan.
Otak juga memerlukan masa untuk berehat supaya maklumat yang dipelajari lebih mudah diingati. Galakkan anak mengambil rehat seketika sebelum menyambung ulang kaji.
5. “Mama dan ayah percaya kamu boleh buat yang terbaik.”
Keyakinan ibu bapa mampu meningkatkan keyakinan anak terhadap diri sendiri.
Walaupun mereka mungkin masih gementar, kata-kata ini memberi kekuatan untuk terus mencuba.
6. “Keputusan peperiksaan bukan penentu nilai diri kamu.”
Peperiksaan hanyalah satu daripada banyak cara untuk menilai pembelajaran.
Anak perlu faham bahawa keputusan yang diperoleh tidak menentukan siapa diri mereka atau masa depan mereka secara keseluruhan.
7. “Apa pun keputusannya nanti, kami tetap sayang kamu.”
Inilah ayat yang paling ingin didengari oleh ramai anak.
Apabila mereka tahu kasih sayang ibu bapa tidak bergantung pada keputusan peperiksaan, tekanan yang dirasai akan menjadi lebih ringan dan mereka lebih berani memberikan yang terbaik.
Sokongan Emosi Sama Penting Dengan Ulang Kaji

Foto: Gemini AI
Musim peperiksaan memang penting, tetapi kesihatan mental dan emosi anak juga tidak boleh diabaikan.
Selain menyediakan keperluan belajar seperti buku, makanan berkhasiat dan ruang yang selesa, berikan juga kata-kata yang membina semangat.
Kadangkala, satu ayat yang penuh kasih sayang mampu menjadi sumber motivasi terbesar buat anak untuk terus berusaha tanpa berasa terbeban.
Sumber: Learners Cloud
