Baru-baru ini, tular di media sosial rakaman yang memaparkan suasana pilu ketika urusan pengebumian jenazah seorang lelaki di Ampang didakwa tergendala walaupun jenazah telah dimasukkan ke dalam liang lahad.
Perkongsian tersebut mengundang perhatian ramai susulan dakwaan bahawa kelewatan itu berpunca daripada isu permit pengebumian serta tuntutan bayaran, namun perkara berkenaan masih belum menerima penjelasan rasmi daripada pihak yang terlibat.
Baca juga: Malaysia Terus Cemerlang! Berada Di Kedudukan Ke-12 Untuk Negara Paling Aman Di Dunia
PENGEBUMIAN JENAZAH TERTANGGUH SEJAM

Insiden tersebut menjadi perhatian ramai selepas timbul dakwaan bahawa proses pengebumian tidak dapat diteruskan selama kira-kira satu jam 20 minit berikutan isu berkaitan permit pengebumian serta tuntutan bayaran berjumlah RM1,400 yang didakwa melibatkan pihak pengurusan sebuah masjid di Kampung Pandan.
Menurut laporan Utusan Malaysia, kelewatan itu menyebabkan ahli keluarga dan individu yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir terpaksa menunggu sehingga perkara berkenaan dapat diselesaikan.
Perkara itu mula mendapat perhatian selepas beberapa video dimuat naik di Facebook oleh Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Wan Cai atau dikenali sebagai Mr Wan Cai Official.
Menerusi salah satu rakaman yang dikongsikan, dia meluahkan rasa hairan apabila urusan pengebumian masih belum diteruskan walaupun jenazah telah pun diturunkan ke dalam liang lahad.
Dalam satu lagi video yang dimuat naik selepas itu, Wan Cai mendakwa dia terdengar kenyataan bahawa permit kematian arwah dikatakan ditahan oleh pihak pengurusan masjid, sekali gus menyebabkan proses pengebumian tidak dapat disempurnakan seperti yang dirancang.
Di ruangan komen hantaran tersebut, seorang pengguna Facebook menggunakan nama ‘Panorama Berduri’ turut berkongsi dakwaan mengenai punca kelewatan yang berlaku.

Walau bagaimanapun, setakat ini dakwaan yang tersebar di media sosial itu masih belum disahkan oleh mana-mana pihak berkuasa dan belum ada kenyataan rasmi yang menjelaskan keadaan sebenar.
Minta laporan polis dibuat
Susulan insiden berkenaan, Wan Cai memaklumkan bahawa dia telah menghubungi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), BKS, bagi mendapatkan penjelasan berhubung kejadian tersebut.
Wan Chai turut menggesa pihak NGO bersama ahli keluarga arwah supaya membuat laporan polis agar siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh terhadap dakwaan yang timbul.
Menurutnya, sebarang isu berkaitan pentadbiran atau tuntutan sepatutnya tidak menghalang urusan pengebumian, lebih-lebih lagi apabila jenazah telah berada di dalam liang lahad dan sedang menunggu untuk disempurnakan proses pengkebumian.
Sehingga kini, pihak pengurusan masjid yang dikaitkan dengan kejadian itu masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan bahawa permit pengebumian ditahan serta tuntutan bayaran sebanyak RM1,400.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menjatuhkan hukuman terhadap mana-mana pihak sehingga siasatan selesai dan penjelasan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkaitan.
Baca juga: Zikir & Doa Popular Hari Asyura Dianjurkan Baca Selepas Solat Asar, Rebut Waktu Mustajab Ini!
Sumber: Utusan & Facebook Mr Wan Cai Official
