Seorang wanita hilang sejak 16 Jun lalu selepas keluar rumah untuk menghadiri sesi temu duga kerja sebelum ini gagal dikesan sehingga hari ini.
Baca juga: Ramai Tak Sedar, 7 Makanan Tak Manis Tapi Ini Rupanya Antara Punca Gula Darah Mudah Naik
WANITA HILANG SELEPAS TIDAK PULANG DARI TEMU DUGA KERJA

Foto: Sinar Harian
Mangsa, Norafiza Zainuddin, 41, kali terakhir dilihat keluar dari rumah keluarganya di Taiping dengan memaklumkan mahu menghadiri temu duga di sebuah hotel di Kuala Kangsar.
Menurut adiknya, kehilangan kakaknya mula disedari apabila mangsa tidak pulang ke rumah sehingga lewat malam pada hari sama.
Usaha keluarga untuk menghubungi Norafiza juga tidak berhasil apabila telefon bimbitnya didapati telah ditutup.
“Kami cuba hubungi banyak kali tetapi tidak berjaya. Sampai sekarang memang tiada khabar berita,” katanya
Keluarga Buat Dua Laporan Polis
Laporan polis pertama dibuat di Balai Polis Kamunting pada 18 Jun sebelum satu lagi laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping bagi mendapatkan tindakan lanjut.
Menurutnya, keluarga pada mulanya tidak menemui sebarang petunjuk sehinggalah kenderaan mangsa ditemui pada Ahad lalu.
Kereta Wanita Hilang Ditemui Dalam Keadaan Baik
Kereta milik Norafiza dilaporkan ditemui di kawasan Batu Hampar, Padang Rengas oleh penduduk kampung sebelum maklumat itu disalurkan kepada pihak polis.
Pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut masih berada dalam keadaan baik, malah kunci serta barangan peribadi mangsa juga masih berada di dalam kereta.
Bagaimanapun, Norafiza tidak ditemui di lokasi berkenaan.
Lokasi Temu Duga Didapati Tiada Sesi Pada Tarikh Tersebut
Dalam pada itu, keluarga turut menyemak lokasi temu duga yang dimaklumkan mangsa sebelum ini. Namun, mereka dimaklumkan bahawa tiada sesi temu duga diadakan di hotel berkenaan pada tarikh tersebut.
Perkembangan itu menambahkan lagi kebimbangan keluarga yang sehingga kini masih buntu dan tidak mengetahui keberadaan Norafiza.
Difahamkan, mangsa yang merupakan ibu kepada dua anak perempuan itu baru sahaja bercerai pada awal tahun ini dan sebelum ini tinggal bersama keluarga di Taiping.
“Kami sekeluarga buntu dan tidak tahu di mana lagi hendak mencari,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kehilangan Norafiza diminta tampil membantu dengan menghubungi balai polis berhampiran atau ahli keluarganya di talian 019-577 7782.
Semoga urusan pencarian dipermudahkan dan mangsa ditemui dalam keadaan selamat.
Sumber: Sinar Harian
