Prosiding inkues melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir terus menarik perhatian apabila seorang pakar pemeriksa tulisan tangan memberitahu Mahkamah Koroner bahawa sebahagian tulisan yang terdapat dalam dokumen diperiksa bukan ditulis oleh remaja tersebut.
Pendedahan itu dibuat oleh Dr Linthini Gannetion yang tampil sebagai saksi ke-74 dalam prosiding berkenaan pada Selasa.
Baca juga: BUDI Diesel & BUDI95 Digabung Mulai 1 Julai, Ini 5 Perkara Penting Yang Pasti Buat Rakyat Tersenyum!

Gambar Ersie Anjumin: Pakar pemeriksa tulisan tangan dan dokumen, Dr Linthini Gannetion.
Menurut beliau, hasil analisis saintifik terhadap beberapa dokumen yang dikaitkan dengan Zara Qairina menunjukkan terdapat petunjuk bahawa individu lain turut menulis pada sebahagian dokumen yang diperiksa.
Dokumen W2 didapati mengandungi tulisan individu lain
Ketika memberi keterangan, pakar pemeriksa tulisan tangan itu berkata analisis perbandingan telah dijalankan terhadap dokumen W1, W2, W3 dan Y1 hingga Y15.
Menurutnya, dokumen W2 tidak digunakan secara eksklusif sebagai jurnal peribadi Zara Qairina kerana beberapa halaman mengandungi tulisan individu lain bersama tulisan mangsa.
“Halaman-halaman dalam W2 yang mengandungi tulisan oleh individu lain bersama-sama tulisan Allahyarham Zara Qairina termasuk W2_PG45, W2_PG49 hingga W2_PG51, W2_PG58, W2_PG59, W2_PG61 dan W2_PG62.
“Penemuan ini menunjukkan bahawa individu lain mungkin mempunyai akses kepada W2 dan mungkin telah menulis di dalamnya,” katanya dalam kenyataan saksi bertulis di Mahkamah Koroner pada Selasa.
Lebih daripada satu corak tulisan dalam dokumen W3
Selain dokumen W2, pakar pemeriksa tulisan tangan tersebut turut menemui lebih daripada satu corak tulisan dalam dokumen W3. Beliau menjelaskan bahawa beberapa bahagian dalam dokumen berkenaan mempunyai ciri-ciri yang tidak konsisten dengan tulisan tangan diketahui milik Zara Qairina.
Antara halaman yang dikenal pasti bukan ditulis oleh mangsa ialah W3_2, W3_7 hingga W3_14, W3_25 hingga W3_37, W3_46, W3_58 hingga W3_64, W3_73 hingga W3_84 serta W3_86 hingga W3_89.
“Sebahagian tulisan dalam W3 menunjukkan ciri-ciri yang tidak konsisten dengan tulisan tangan diketahui Allahyarhamah Zara Qairina dan mengandungi perbezaan ketara yang tidak dapat dijelaskan berbanding sampel tulisan tangan diketahui yang tersedia,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, bagi beberapa halaman lain dalam W3, beliau tidak dapat mencapai kesimpulan muktamad berikutan ketiadaan sampel tulisan tangan diketahui yang sezaman bagi tempoh berkaitan.

Gambar: Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir
Analisis libatkan sampel beberapa individu
Dr Linthini berkata pemeriksaan tersebut dilakukan berdasarkan dokumen yang diserahkan kepada pihaknya termasuk W1, W2, W3 dan Y1 hingga Y15 bersama sampel tulisan tangan diketahui milik Zara Qairina dan beberapa individu lain yang dirujuk sebagai Penulis A hingga Penulis J.
Menurut pakar itu, tulisan tangan Zara Qairina menunjukkan perkembangan yang jelas dari tahun 2023 hingga 2025.
Perubahan tersebut melibatkan bentuk huruf, corak kecondongan tulisan, pembentukan angka dan cara pelaksanaan huruf tertentu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan turut mendapati tulisan tangan pada dokumen W1 dari halaman W1_PG1 hingga W1_PG28 mempunyai persamaan ketara dengan tulisan tangan Zara Qairina, manakala sebahagian besar kandungan dalam dokumen W2 juga konsisten dengan tulisan tangan mangsa bagi tempoh akhir April hingga Julai 2025.
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Ersie Anjumin (NST)
