Perkongsian seorang pengguna di aplikasi Threads, Ms. Shidah, baru-baru ini mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan ibu bapa apabila dia mengajukan soalan mengenai tindakan guru yang memasukkan nama pelajar gagal UPSA ke dalam kumpulan WhatsApp kelas.
Baca juga: 11 Hari Ayah Hilang Selepas Keluar Cari Rumput, Mayat Ditemui Dalam Kebun Getah
GURU TULIS NAMA PELAJAR GAGAL UPSA, RITA RUDAINI TAK SETUJU
Menurutnya, tindakan tersebut dilakukan dengan niat baik iaitu untuk membantu pelajar tersebut memperbaiki prestasi. Namun, dia bertanya sama ada situasi itu dianggap memalukan ibu bapa atau sebaliknya, memandangkan ia dikongsi dalam kumpulan yang turut disertai pelbagai pihak termasuk ibu bapa lain.

Pelakon Rita Rudaini turut memberikan pandangannya mengenai isu berkenaan dengan menyatakan bahawa tindakan tersebut tidak wajar dilakukan secara terbuka dalam kumpulan WhatsApp yang melibatkan ramai pihak.
Menurutnya, walaupun niat guru adalah untuk membantu pelajar, kaedah tersebut boleh mengundang kesan negatif, termasuk membuka ruang kepada perbincangan yang tidak sihat dalam kalangan ibu bapa dan pelajar lain.
Dia menambah, situasi seperti itu boleh menyebabkan isu diperkatakan di luar konteks asal sehingga memberi kesan kepada emosi pelajar dan ibu bapa.
Menurut perkongsian itu lagi, tindakan memaparkan nama pelajar yang gagal secara terbuka dikhuatiri boleh menjejaskan maruah serta emosi pelajar terbabit.
“Tak perlu… kebaikan kat mana? Dalam WhatsApp group tu macam-macam jenis orang ada. Nanti mula lah bergosip. Guru yang buat mcm ini tak pikir panjang ke?
“Benda macam ini boleh je mesej parent dia. Gaya macam ini bukan sahaja menjatuhkan maruah ibu ayah tapi guru juga dah menjatuhkan maruah pelajar. Tak reti jaga air muka orang? Tak ada sikit pun kebaikan. Jaga sikit kesihatan mental budak,” pesan Rita.

Rita turut berpandangan bahawa pendekatan lebih sesuai adalah dengan berkomunikasi secara terus kepada ibu bapa pelajar berkenaan secara peribadi, bagi menjaga aib dan sensitiviti semua pihak.
Isu ini turut membuka perbincangan lebih luas mengenai kaedah komunikasi antara guru dan ibu bapa dalam era digital, khususnya melalui kumpulan WhatsApp kelas yang kini menjadi medium utama penyampaian maklumat.
Ada yang berpendapat ia membantu ibu bapa lebih cakna terhadap prestasi anak, namun ada juga yang beranggapan ia perlu dikendalikan dengan lebih berhati-hati agar tidak memalukan mana-mana pihak.
Sehingga kini, perkongsian tersebut terus mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, khususnya ibu bapa yang berkongsi pandangan berbeza mengenai isu privasi, sensitiviti dan pendekatan pendidikan yang sesuai dalam era moden.
Sumber: Threads Ms.Shidah
