Di sebalik kehidupan glamor seorang selebriti, pelakon Rita Rudaini sentiasa meletakkan peranan sebagai ibu di tempat teratas. Malah, pencapaian anak Rita Rudaini juga sering mendapat pujian dalam kalangan netizen kerana cemerlang.
Terbaharu, perkongsian beliau tentang dua anak lelakinya, terutama si sulung, Airit Rayyan Rizqin, bukan saja mencuri perhatian netizen, malah membuka mata ramai tentang kepelbagaian teknik pembelajaran anak-anak masa kini. Siapa sangka, gaya belajar Rayyan yang santai dan bersahaja rupa-rupanya selari dengan kajian psikologi moden?
Baca juga: Ini Senarai Ranking Sekolah Yang ‘Top’ SPM 2024 Untuk SBP & MRSM, Tahniah Buat Semua!
GAYA BELAJAR ANAK RITA RUDAINI CURI PERHATIAN, GUNA TEKNIK PAKAR

Kecemerlangan akademik dan sahsiah anak-anak lelaki kepada Rita Rudaini iaitu Airit Rayyan Rizqin, 15, dan Airit Qaqa Arjuna, 13, sering mengundang pujian warganet. Dalam satu hantaran terbaharu, Rita menceritakan gelagat Rayyan ketika belajar kerana agak unik.
“Kisah malam tadi. Macam-macam gaya belajar, bercakap sendiri pun ya juga. Tak sampai setengah jam, dia mula bermain dengan kucing. Lepas tu tinggal buku atas meja,” tulis Rita bersahaja.
Hantaran tersebut menarik perhatian Coach Azizul, seorang kaunselor terkenal, yang berkongsi pandangannya melalui satu thread di akaun @coachazizulofficial. Beliau menjelaskan bahawa gaya belajar Rayyan sebenarnya selari dengan satu teknik psikologi yang terbukti berkesan.
“Rayyan sebenarnya menggunakan Teknik Jeda yang diperkenalkan oleh Dr Marthy Lobdel, pakar psikologi. Teknik ini menyarankan pelajar untuk belajar selama 30 minit dan berhenti selama lima minit untuk rehat singkat. Tujuannya adalah untuk ‘mengecas’ semula minda,” terang Coach Azizul.
Menurutnya, waktu rehat itu boleh diisi dengan aktiviti ringan yang menyeronokkan seperti bermain dengan haiwan peliharaan. Selepas itu, pelajar boleh menyambung semula sesi pembelajaran dengan lebih segar.
Beliau turut menjelaskan perbezaan antara Teknik Jeda dan Teknik Pomodoro, satu kaedah pengurusan masa popular dalam kalangan pelajar.
“Teknik Pomodoro diperkenalkan oleh Francesco Cirillo pada 1980-an, manakala Teknik Jeda berasal daripada Dr Marthy Lobdel, profesor psikologi dari Pierce College, Washington. Konsep Dr Marty lebih kepada belajar dengan bijak, bukan belajar lebih lama,” tambahnya lagi.
TERTIDUR SEBELUM UJIAN HAFAZAN, LEPAS BANGUN MASIH INGAT SEPERTI BIASA!
View this post on Instagram
Rita turut menghargai penerangan tersebut dan berkongsi satu lagi kisah menarik tentang Rayyan. Menurutnya, seorang guru pernah menceritakan pengalaman melihat Rayyan tertidur sewaktu menunggu giliran dalam ujian hafazan al-Quran. Namun selepas dikejutkan, dia dapat menyambung hafazannya dengan lancar.
Rita berkata Rayyan sering memberitahunya bahawa tidur dan ulang kaji saat akhir adalah cara paling berkesan untuknya mengingati pelajaran.
“Saya selalu tanya dia, ‘Bila nak belajar? Mommy tak nampak pun Rayyan study. Dah nak exam ni.’ Tapi dia jawab, ‘Rayyan kena tidur dulu, baru boleh ingat. Study last minute baru lekat.’”
Untuk makluman, Rayyan kini menuntut di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dalam program Ulul Albab dan sering menerima Anugerah Pengetua atas pencapaiannya yang cemerlang. Selain akademik, Rayyan juga aktif dalam bidang sukan seperti bola sepak dan olahraga. Baru-baru ini, dia berjaya memecahkan beberapa rekod kejohanan Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Sabak Bernam, termasuk rekod yang telah bertahan selama dua dekad.
*Tahniah Rita Rudaini dan anak-anaknya!
Baca juga: Rita Rudaini Terima Anugerah IKON IBU 2024/2025, ‘Hadiah’ Manis Jaga Anak Kerana Allah SWT
Sumber: Instagram @ritrud727, Threads @coachazizulofficial
