Usaha gigih dan semangat untuk berjaya akhirnya membuahkan hasil apabila seorang anak pemandu lori dari Jitra, Kedah dinobatkan sebagai Pelajar STPM terbaik tahun 2025 bagi kategori Aliran Sains Sosial.
Baca juga: Universiti Malaya Kini Di Tangga Ke-56 Dunia QS 2027, Pencapaian Terbaik Dalam Sejarah UM!
ANAK PEMANDU LORI DINOBAT PELAJAR STPM TERBAIK KEBANGSAAN

Foto: Sinar Harian
Kejayaan membanggakan itu diraih oleh Nurul Danish Farhana Mohd Fauzi, 20, yang merupakan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jitra.
Pengiktirafan berprestij tersebut disampaikan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) sempena majlis pengumuman keputusan STPM 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Khamis.
Bukti Latar Belakang Bukan Penghalang Untuk Berjaya

Foto: Harian Metro
Nurul Danish yang merupakan anak kepada seorang pemandu lori dari Kampung Tanjung Sena, Mukim Tunjang, Jitra membuktikan bahawa kesungguhan dan disiplin mampu membawa seseorang mencapai kejayaan luar biasa.
Kejayaannya bukan sahaja menjadi kebanggaan keluarga, malah turut mengharumkan nama Kedah di peringkat kebangsaan.
Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Ishak Awang berkata, pemilihan Nurul Danish sebagai penerima anugerah tersebut merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan buat negeri itu.
“Seorang calon iaitu Nurul Danish Farhana Mohd Fauzi dari SMK Jitra telah dipilih untuk menerima Anugerah Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 bagi kategori Aliran Sains Sosial,” katanya.
Prestasi Pelajar STPM Kedah Turut Catat Peningkatan
Dalam masa sama, keputusan STPM 2025 menunjukkan prestasi keseluruhan Kedah turut mencatat peningkatan yang memberangsangkan.
Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) negeri meningkat kepada 2.97 berbanding 2.89 pada tahun sebelumnya, sekali gus menjadi pencapaian terbaik Kedah sejak peperiksaan STPM dilaksanakan.
Lebih membanggakan, seramai 97 calon atau 3.97 peratus berjaya memperoleh PNGK 4.00, manakala sebanyak 40 daripada 52 pusat peperiksaan di negeri itu mencatatkan lulus penuh 100 peratus.
Daripada 2,442 calon yang hadir menduduki peperiksaan bagi ketiga-tiga semester, sebanyak 2,425 calon berjaya memperoleh lulus penuh.
Empat Institusi Pendidikan Kedah Turut Terima Pengiktirafan Kebangsaan
Selain kejayaan individu pelajar, empat institusi pendidikan di Kedah turut menerima pengiktirafan daripada MPM menerusi Anugerah Pusat Tingkatan Enam Terbaik Kebangsaan STPM 2025.
Institusi yang menerima anugerah tersebut ialah:
- Kolej Tingkatan Enam Sultan Sallehuddin, Alor Setar
- Kolej Tingkatan Enam Kulim
- SMK Kubor Panjang, Alor Setar
- SMK Chio Min (CF), Kulim
Kejayaan yang dicapai Nurul Danish dan institusi pendidikan terbabit membuktikan bahawa kecemerlangan akademik mampu dicapai melalui usaha berterusan, tanpa mengira latar belakang keluarga.
Kisah ini juga menjadi inspirasi kepada pelajar lain bahawa kekangan hidup bukan alasan untuk berhenti mengejar impian dan mencipta kejayaan di peringkat tertinggi.
Sumber: Sinar Harian
FT Images: Sinar Harian dan Harian Metro
