Sebuah video tular tengking isteri di hadapan sebuah restoran makanan segera berhampiran Lapangan Terbang Senai baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi warga maya. Ada yang meluahkan simpati kepada wanita terbabit, malah tidak kurang juga yang menggesa pasangan itu untuk berpisah.
Bagaimanapun, pasangan suami isteri terbabit tampil memberikan penjelasan dan mendakwa kejadian yang dirakam itu telah disalah tafsir oleh orang ramai.
TULAR VIDEO TENGKING ISTERI, PASANGAN TAMPIL BERI PENJELASAN

Tangkap layar dari video yang tular di media sosial.
Menurut Mohd Hakeem Latif, 32, insiden berkenaan sebenarnya berlaku sekitar April lalu ketika dia datang mengambil isterinya, Nurul Ain Mohd Mokhtar, 37, selepas tamat waktu bekerja.
Katanya, ketika itu dia berada dalam keadaan tertekan kerana bekerja syif malam sebagai pengawal keselamatan, manakala isterinya pula terpaksa bekerja lebih masa walaupun sudah tiba waktu untuk pulang.
Situasi tersebut menyebabkan dia hilang sabar dan meninggikan suara terhadap isterinya.
Namun begitu, Hakeem menjelaskan bahawa kejadian tersebut bukanlah insiden baharu seperti yang disangka ramai selepas rakaman itu kembali tular di media sosial.
Dalam masa sama, dia turut menjelaskan bahawa anak mereka yang berusia dua tahun menangis dalam video berkenaan bukan kerana dimarahi atau dikasari, sebaliknya akibat terjatuh selepas tersadung di kawasan koridor premis tersebut.
Hakeem mengakui dirinya seorang yang mudah marah dan kadangkala gagal mengawal emosi. Walau bagaimanapun, dia menegaskan tidak pernah mengangkat tangan terhadap isteri mahupun anak tunggal mereka.
Menurutnya lagi, ramai warga maya menggesa isterinya memfailkan perceraian selepas video tersebut tular.
“Saya tidak pernah terfikir untuk bercerai. Kami sudah lima tahun berkahwin dan saya masih sayangkan keluarga saya. Meruntuhkan rumah tangga orang bukan perkara yang baik,” katanya.
Sementara itu, Nurul Ain memaklumkan bahawa penularan video tersebut menyebabkan mereka terpaksa menjawab pelbagai pertanyaan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan yang menyangka rumah tangga mereka sedang bermasalah.
“Ramai yang membuat kesimpulan sendiri sedangkan mereka tidak mengetahui perkara sebenar.
“Kami dalam baik-baik sahaja. Selepas suami tukar kerja baru di Kulai, urusan menjaga anak juga lebih teratur berbanding ketika suami bekerja sebagai pengawal keselamatan sebelum ini,” katanya.
Tambahnya lagi, dia yang hamil tiga bulan mengakui bimbang dengan keselamatan suaminya berikutan kecaman yang diterima di media sosial, selain nombor pendaftaran motosikal turut tular.
Nurul Ain berharap rakaman berkenaan diturunkan dan menasihati agar bertanya dahulu sebelum sebarkan tanpa usul periksa.

Gambar hiasan: Gemini AI
CARA KAWAL KEMARAHAN KETIKA BERADA DI TEMPAT AWAM
1. Berhenti bercakap untuk beberapa minit
Apabila emosi mula memuncak, elakkan terus membalas kata-kata pasangan. Ambil masa beberapa minit untuk menenangkan diri sebelum meneruskan perbincangan.
2. Tarik nafas dalam-dalam dan kawal nada suara
Teknik pernafasan yang mudah boleh membantu menurunkan tahap tekanan. Walaupun marah, cuba bercakap dengan nada yang lebih perlahan dan terkawal.
3. Tangguhkan perbincangan di tempat lebih sesuai
Tidak semua masalah perlu diselesaikan serta-merta. Jika berada di tempat awam, lebih baik tangguhkan perbincangan sehingga tiba di rumah atau lokasi yang lebih privasi.
4. Elakkan bertengkar di hadapan anak
Kanak-kanak sangat mudah terkesan dengan suasana tegang walaupun mereka tidak memahami isu sebenar. Pertengkaran yang kerap di hadapan anak boleh memberi kesan kepada emosi dan perkembangan mereka.
5. Fokus kepada masalah, bukan menyerang pasangan
Elakkan menggunakan kata-kata yang menghina atau menyakitkan hati. Sebaliknya, fokus kepada isu yang ingin diselesaikan dan bukan kelemahan pasangan.
6. Kenal pasti punca sebenar kemarahan
Kadangkala kemarahan bukan berpunca daripada pasangan semata-mata, tetapi akibat tekanan kerja, masalah kewangan, keletihan atau kurang rehat. Mengenal pasti punca sebenar boleh membantu mengelakkan konflik yang tidak perlu.
7. Dapatkan bantuan jika kemarahan sukar dikawal
Jika masalah kemarahan berlaku berulang kali sehingga menjejaskan hubungan rumah tangga, pasangan boleh mendapatkan bantuan kaunselor atau pakar bagi mempelajari teknik pengurusan emosi yang lebih berkesan.
Setiap rumah tangga pasti mempunyai cabaran tersendiri. Namun kemampuan untuk mengawal emosi dan berkomunikasi dengan baik adalah antara kunci penting dalam mengekalkan hubungan yang sihat dan harmoni.
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Sinar Harian
