Sijil kelahiran merupakan dokumen rasmi penting yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi merekodkan setiap kelahiran di Malaysia, namun masih ramai yang keliru bahawa ia tidak bermaksud seseorang itu secara automatik menjadi warganegara Malaysia.
Menerusi satu perkongsian di media sosial, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menjelaskan bahawa proses pendaftaran kelahiran dan status kewarganegaraan adalah dua perkara yang berbeza serta tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Baca juga: “Bukan Sekadar Cepat Marah”– AADK Jelaskan Maksud Sebenar Keadaan ‘Kacip’ Yang Ramai Salah Faham
SIJIL KELAHIRAN WARNA MERAH JAMBU & HIJAU, ADA PERBEZAANNYA

Menurut JPN, setiap bayi yang dilahirkan di Malaysia perlu didaftarkan tanpa mengira status kewarganegaraan ibu bapanya. Atas sebab itu, orang ramai mungkin pernah melihat pasangan bukan warganegara hadir ke pejabat JPN untuk mendaftarkan kelahiran anak mereka.
Walau bagaimanapun, pendaftaran kelahiran tersebut tidak bermaksud anak berkenaan secara automatik layak menerima kewarganegaraan Malaysia.
Secara ringkasnya:
Pendaftaran kelahiran – merupakan rekod rasmi mengenai kelahiran seseorang individu.
Kewarganegaraan – ditentukan berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
JPN turut menjelaskan bahawa terdapat perbezaan antara sijil kelahiran yang dikeluarkan kepada warganegara dan bukan warganegara.

Sijil Kelahiran Warganegara (Berwarna hijau)
Sijil kelahiran berwarna hijau diberikan kepada individu yang diiktiraf sebagai warganegara Malaysia di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Dokumen ini menjadi bukti rasmi bahawa individu tersebut memiliki status kewarganegaraan Malaysia mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Sijil Kelahiran Bukan Warganegara (Berwarna merah jambu)
Bagi individu yang tidak memenuhi syarat untuk memperoleh kewarganegaraan Malaysia, JPN akan mengeluarkan Sijil Kelahiran Bukan Warganegara yang berwarna merah jambu.
Sijil ini menunjukkan bahawa kelahiran individu tersebut telah didaftarkan secara sah dengan JPN, namun ia bukan bukti bahawa individu berkenaan merupakan warganegara Malaysia.
Walaupun berbeza dari segi warna dan status kewarganegaraan, kedua-dua sijil kelahiran tersebut merupakan dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara sebagai pengesahan bahawa sesuatu kelahiran telah direkodkan secara sah.
Sehubungan itu, orang ramai disaran memahami perbezaan antara pendaftaran kelahiran dan kewarganegaraan bagi mengelakkan kekeliruan mengenai status seseorang individu di sisi undang-undang.
Perkongsian JPN ini diharap dapat memberi pemahaman yang lebih jelas kepada masyarakat bahawa kelahiran yang didaftarkan di Malaysia tidak semestinya membawa kepada pemberian kewarganegaraan secara automatik, sebaliknya tertakluk kepada syarat dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sumber: Facebook JPN
