Sempena sambutan Hari Pendaftaran Negara ke-71, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memperkenalkan inisiatif unik yang diberi nama Foto Kenangan Terindah JPN.
Program ini membolehkan orang ramai menempah koleksi gambar MyKad mereka dalam versi eksklusif untuk dijadikan kenangan atau hadiah sentimental buat keluarga. Katanya, ramai yang tertunggu-tunggu untuk hasilkan foto eksklusif ini!
Baca juga: Trend Daftar Nama Anak Tanpa ‘Bin’ Atau ‘Binti’ Katanya Urusan Lagi Mudah…Boleh Ke?
Apa Itu Foto Kenangan Terindah JPN? Macam Mana Nak Buat?

‘Foto Kenangan Terindah JPN’ bukanlah dokumen rasmi, sebaliknya merupakan keluaran khas yang menampilkan gambar MyKad pemohon pada tiga peringkat usia iaitu ketika 12 tahun, 18 tahun, dan terkini.
Inisiatif ini memberi peluang kepada warganegara Malaysia untuk menyimpan kenangan perjalanan hidup mereka dalam bentuk eksklusif. Bagi sesetengah orang, ia juga boleh dijadikan hadiah bermakna buat ibu bapa, anak-anak, atau pasangan.
JPN menawarkan dua kategori tempahan:
- Foto Siri Individu – RM75
- Foto Siri IC Keluarga – RM150
Bagi Foto Siri IC Keluarga, ia hanya boleh dikeluarkan untuk ahli keluarga yang telah memiliki kad pengenalan kali pertama, iaitu pada usia 12 tahun ke atas.
Cara Membuat Tempahan

Foto: Antara gambar yang siap.
Orang ramai yang berminat boleh membuat tempahan secara dalam talian melalui pautan rasmi JPN: https://fotoic.jpn.gov.my/
Setelah permohonan dibuat, koleksi foto akan dihantar atau boleh diambil dalam tempoh 1 hingga 6 bulan bergantung kepada proses carian rekod. Untuk pengetahuan anda, tempahan juga boleh dibuat sepanjang bulan Oktober 2025, iaitu 1 hingga 31 Oktober 2025.
Untuk maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 03-8880 7992 atau emel ke [email protected]. Laman web rasmi JPN di www.jpn.gov.my juga menyediakan maklumat lanjut mengenai inisiatif ini.
Sumber: Tiktok JPN
