Euforia Bola 2026
Kerjaya

Lebih 4 Juta Pekerja Malaysia Didakwa Pura-Pura Sakit & Tipu MC, Jururawat Pun Antara Ditahan!

sijil cuti sakit

Sijil cuti sakit (MC) diwujudkan bagi membolehkan pekerja yang benar-benar tidak sihat mendapatkan rehat secukupnya sebelum kembali menjalankan tugas.

Namun, pendedahan terbaru oleh Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menunjukkan isu penyalahgunaan MC masih berlaku dalam kalangan segelintir pekerja, malah terdapat juga sindiket yang dipercayai menjual dokumen tersebut secara tidak sah.

Baca juga: Ramai Amal Minum Air Pangsa Durian Selepas Makan Isinya, Petua Orang Lama Ini Hanya Mitos Atau Fakta?

LEBIH 4 JUTA PEKERJA TIPU SIJIL CUTI SAKIT

sijil cuti sakit

Foto: Gemini AI

Menurut kajian yang didedahkan MEF, lebih 4 juta pekerja di Malaysia didakwa pernah berpura-pura sakit atau mendapatkan sijil cuti sakit secara tidak sah.

Jumlah itu mewakili kira-kira 26 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara yang kini mencecah sekitar 17.49 juta orang.

Lebih membimbangkan, sebanyak 57 peratus majikan dilaporkan pernah berdepan situasi pekerja mengambil cuti sakit tanpa alasan yang munasabah.

Sijil Cuti Sakit Bukan Sekadar Alasan Untuk Tidak Hadir Kerja

sijil cuti sakit

Foto: Gemini AI

Ramai mungkin menganggap MC hanya sekeping dokumen yang membolehkan seseorang bercuti atau berehat di rumah.

Hakikatnya, MC merupakan dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh pengamal perubatan berdaftar dan diiktiraf di bawah Akta Kerja 1955.

Ia berfungsi sebagai bukti bahawa seseorang pekerja benar-benar tidak sihat untuk menjalankan tugas, selain membolehkan mereka menikmati cuti sakit bergaji dan melindungi mereka daripada tindakan disiplin akibat ketidakhadiran.

Jururawat Antara Lima Direman Dalam Kes Jual Beli Sijil Cuti Sakit Palsu

Dalam perkembangan berkaitan, lima individu termasuk seorang jururawat direman antara tiga hingga empat hari bagi membantu siasatan berhubung kegiatan penjualan dan pembelian sijil cuti sakit palsu.

Perintah reman terhadap tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 30 hingga 55 tahun itu dibenarkan Majistret Melody Woon Sze Mun.

Kesemua suspek ditahan di beberapa lokasi berasingan antara jam 3 petang hingga 10 malam semalam.

Difahamkan, selain individu yang bertindak sebagai orang tengah dan jururawat terbabit, polis turut menahan seorang individu yang dipercayai membeli salah satu sijil cuti sakit palsu berkenaan.

Guna Nama, Cop Dan Tandatangan Doktor Kerajaan

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang membawa hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, polis dilaporkan menahan tiga individu yang disyaki menjual sijil cuti sakit palsu menggunakan nama seorang pegawai perubatan kerajaan.

Hasil siasatan mendapati sijil cuti sakit tersebut menggunakan nama, cop rasmi dan tandatangan seorang pegawai perubatan, namun doktor terbabit sebenarnya tidak lagi bertugas di fasiliti kerajaan berkenaan sejak tahun 2023.

Kes ini sekali lagi mengingatkan bahawa MC bukan sekadar hak pekerja apabila sakit, tetapi juga amanah yang perlu digunakan secara jujur dan bertanggungjawab demi menjaga kepercayaan serta integriti di tempat kerja.

Baca juga: Tragis! Kanak Kanak 11 Tahun Maut Terjatuh Dari Tingkat Tujuh Sebuah Pangsapuri Di Kajang

Sumber: Astro Awani dan Harian Metro

FT Images: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×