Drama Netflix ‘Teach You A Lesson’ kini menjadi bualan ramai, malah ada warga maya siap ‘tag’ Pengerusi MARA, Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya menontonnya kerana dikatakan mempunyai persamaan dengan pendekatan disiplin di MRSM.
Menurut Dr Asyraf, beliau sempat menonton episod pertama drama tersebut dan mendapati memang terdapat persamaan ketara antara watak utama drama itu dengan sistem yang dilaksanakan di MRSM bagi menangani isu buli.
Baca juga: Jangan Tunggu Tahun 6! Dr Sheikh Dedah ‘Roadmap’ Ke MRSM & SBP, Kena Siapkan Anak Dari Tahun 4
KDRAMA ‘TEACH YOU A LESSON’ ADA PERSAMAAN MRSM TANGANI BULI

Gambar tangkap layar dari K-Drama ‘Teach You A Lesson’.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata watak Na Hwa-jin, bekas komando yang menjadi Pegawai Utama Biro Perlindungan Hak Pendidikan mempunyai fungsi hampir sama dengan bekas tentera yang kini dilantik sebagai Warden Sepenuh Masa di MRSM.
“Rupanya ada kesamaan watak Na Hwa-jin bekas Komando yang menjadi Pegawai utama Biro Perlindungan Hak Pendidikan dengan Bekas Tentera yang dilantik sebagai Warden Sepenuh Masa di MRSM.
“Keduanya punya fungsi yang sama untuk menangani isu BULI di sekolah,” katanya.
Dr Asyraf: Tiada kompromi dalam isu buli, ‘You Touch You Go’
Menurut beliau, drama tersebut turut memberi satu mesej penting bahawa isu buli bukan perkara kecil dan perlu ditangani dengan tegas tanpa sebarang kompromi.
“Pengajaran utama daripada drama ini jelas bahawa isu BULI adalah isu yang amat serius.
“Ketegasan menangani isu ini penting agar tiada sebarang kecenderungan untuk menutup kes-kes buli kerana takut imej Maktab terjejas ataupun tiada sebarang pilih kasih dalam menangani isu ini walaupun punya ‘cable’ atau anak orang berpengaruh,” katanya lagi.
Dalam ruangan komen hantaran sama, Dr Asyraf turut berkongsi pengalaman berdepan kes buli melibatkan seorang pelajar yang dikaitkan dengan individu berpengaruh ketika awal beliau dilantik sebagai Pengerusi MARA kira-kira dua tahun lalu.
Menurutnya, pihak pengurusan ketika itu dikatakan agak berhati-hati untuk mengambil tindakan disebabkan bapa pelaku mempunyai pengaruh.
“Apabila saya dapat tahu kes ini melalui mesej ibubapa di media sosial, saya terus hubungi pengurusan MARA dan MRSM dan nyatakan pendirian tegas untuk ambil tindakan tanpa kompromi ‘without fear or favour’ dalam isu Buli.
“‘You Touch You Go’,” tegas beliau.

Gambar oleh Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Bekas tentera di MRSM dikatakan bantu turunkan kes buli
Dr Asyraf turut memaklumkan pendekatan menempatkan bekas anggota tentera sebagai warden sepenuh masa di MRSM terbukti berkesan dalam mengurangkan kes disiplin dan buli.
Menurutnya, kajian empirikal oleh penyelidik bebas daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) menunjukkan penurunan mendadak kes disiplin di beberapa MRSM yang sebelum ini mempunyai rekod masalah buli.
Beliau berkata disiplin pelajar juga dilihat semakin baik selain membantu mengurangkan beban guru yang sebelum ini memegang tanggungjawab tambahan sebagai warden asrama.
Tambah beliau lagi, jika terdapat kes buli yang cuba disorok atau dikompromi atas apa juga sebab, tindakan tegas juga boleh dikenakan terhadap pihak pengurusan maktab.
“Bahkan saya tegaskan jika saya dapat tahu ada kes-kes buli disorokkan atau dikompromikan atas apa jua sebab, Pengetua Maktab yang akan saya minta diambil tindakan termasuk ditukarkan,” katanya.
Nampaknya, bukan saja drama ini buat ramai ‘melekat’ depan skrin, tapi turut membuka ruang perbincangan tentang bagaimana isu buli di sekolah boleh ditangani dengan lebih tegas dan berkesan.
Baca juga: KPM Umum 12 Inisiatif Sempena Hari Guru, Paling Menarik Anak Cikgu 10A SPM Boleh Dapat RM1K!
Sumber: Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki
FT Image: Dr Asyraf Wajdi Dusuki
