Euforia Bola 2026
Famili

[VIDEO] Terkini! Jaslinda Saludin Akhirnya Ditemui Selamat Di Perkampungan Orang Asli

Jaslinda Saludin

Selepas lebih dua minggu mencetuskan kebimbangan ramai, berita mengenai Jaslinda Saludin akhirnya mengundang rasa lega apabila pendaki wanita itu dilaporkan ditemui selamat petang tadi, selepas hilang ketika aktiviti pendakian di kawasan Gunung Batu Putih, Ipoh, Perak.

Baca juga: “Sanggup Teman Peserta Sakit” Ini Kronologi Kehilangan Pendaki Berpengalaman, Jaslinda Saludin Di Gunung Batu Putih

Memetik laporan berita tempatan, Jaslinda, 49, ditemukan selepas 14 hari dilaporkan hilang sejak 24 Mei lalu ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman.

Perkembangan menggembirakan itu disahkan Penyelaras sukarelawan Orang Asli, Chew Ho Beng yang memaklumkan mangsa ditemui oleh penduduk kampung di kawasan perkampungan Orang Asli Lubuk Gaharu.

Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai keadaan sebenar mangsa masih belum diperoleh setakat ini.

Baca juga: “Jangan Masuk Hutan Kosong” Warga Maya Titip Doa, Adab & Tip Keselamatan Penting Cegah Tragedi Hilang

Ditemui di kawasan kampung Orang Asli

Berdasarkan foto yang dikongsikan, Jaslinda dilihat berada dalam keadaan baik dan sihat sambil menikmati mi segera di sebuah pondok milik penduduk Orang Asli.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon turut mengesahkan penemuan mangsa sekitar jam 3 petang berhampiran Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu, Pos Musoh.

Menurut beliau, Jaslinda ditemukan oleh seorang lelaki sebelum maklumat itu disampaikan kepada anak saudara mangsa yang berada di Johor bagi memaklumkan kepada pihak berkuasa.

“Orang Hilang sekarang berada di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu,” katanya.

Difahamkan, pihak media masih mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan kesihatan mangsa serta kronologi penuh penemuan tersebut.

Baca juga: [TERKINI] Selepas Beberapa Hari Hilang Di Bukit Changkat Asa, Nur Izzati Ditemukan Meninggal Dunia Tengah Hari Tadi

Jaslinda Saludin

Gambar JBPM Perak: Pasukan penyelamat di lokasi cerun, tebing dan lokasi sukar di Gunung Batu Putih, Tapah.

Hilang sejak pendakian Trans Spencer Chapman

Untuk rekod, Jaslinda sebelum ini dilaporkan menyertai pendakian bersama 13 individu lain dan dua mountain guide (MGP) pada jam 2 pagi, 23 Mei lalu melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Ketika pendakian, Jaslinda dan seorang lagi peserta, Mohd Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki.

Namun begitu, wanita yang bekerja sebagai eksekutif rantaian bekalan di sebuah syarikat swasta itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung sebelum kali terakhir dilihat pada 24 Mei.

Terdahulu, kehilangan Jaslinda mendapat perhatian ramai dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan melibatkan pelbagai agensi termasuk bantuan komuniti Orang Asli dan sukarelawan.

Syukur, penantian penuh debaran keluarga akhirnya berakhir dengan khabar yang paling dinanti, Jaslinda ditemui dalam keadaan selamat.

Sumber: Berita Harian

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×