Euforia Bola 2026
Famili

“Sanggup Teman Peserta Sakit” Ini Kronologi Kehilangan Pendaki Berpengalaman, Jaslinda Saludin Di Gunung Batu Putih

Jaslinda Saludin

Kehilangan Jaslinda Saludin ketika menyertai ekspedisi pendakian di Gunung Batu Putih, Perak terus menjadi perhatian ramai.

Di sebalik kehilangan pendaki wanita berusia 49 tahun itu, ramai turut tersentuh apabila difahamkan Jaslinda dipercayai sempat menemani seorang peserta lain yang mengalami masalah kesihatan sebelum meneruskan perjalanan.

Baca juga: [TERKINI] Selepas Beberapa Hari Hilang Di Bukit Changkat Asa, Nur Izzati Ditemukan Meninggal Dunia Tengah Hari Tadi

KRONOLOGI KEHILANGAN JASLINDA SALUDIN SEHINGGA 28 MEI

pendaki wanita Jaslinda Saludin

Gambar: BERNAMA

Jaslinda bukan pendaki baharu. Menurut suaminya, Haszman Othman, 61, isterinya mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam aktiviti mendaki dan memang meminati cabaran lasak.

Dia yang bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta dilaporkan bertolak dari kediaman mereka di Damansara, Selangor bersama dua rakannya bagi menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman yang melalui Pos Gedung, Gunung Bah Gading, Gunung Batu Putih sebelum dijangka keluar melalui Kuala Woh.

Gunung Batu Putih yang berketinggian kira-kira 2,132 meter pula bukanlah laluan santai biasa, sebaliknya trek mencabar yang memerlukan stamina, pengalaman serta disiplin berkumpulan yang tinggi.

23 Mei 2026

Sekitar jam 2 pagi, Jaslinda bersama 13 pendaki lain serta dua Malim Gunung Perhutanan memulakan ekspedisi melalui laluan Pos Gedung, Gunung Bah Gading, Gunung Batu Putih dan Kuala Woh.

Bagaimanapun pada malam sama, seorang peserta lelaki dikenali sebagai Mohd Hanafi Neikmad, 41, dilaporkan mengalami masalah kesihatan selepas sesak nafas ketika pendakian.

Mohd Hanafi kemudian berehat di Kem Batu Core bersama seorang malim gunung dan Jaslinda.

Di sinilah kisah kehilangan ini mula menyentuh hati ramai. Ketika seorang peserta berdepan masalah kesihatan di tengah hutan, Jaslinda dipercayai memilih untuk berada bersama peserta tersebut.

Dalam situasi pendakian mencabar, keputusan untuk berhenti menemani peserta yang tidak sihat bukan perkara kecil kerana ia boleh mengubah rentak perjalanan dan pergerakan kumpulan.

Kadang-kadang kekuatan seseorang bukan hanya diukur ketika berjaya sampai ke puncak, tetapi juga apabila sanggup berhenti demi memastikan orang lain tidak ditinggalkan sendirian ketika memerlukan bantuan.

24 Mei 2026

Pada pagi Ahad, Jaslinda dipercayai meneruskan pendakian menuju ke puncak Gunung Batu Putih.

Dia dilaporkan kali terakhir berhubung dengan malim gunung sekitar jam 7.30 pagi sebelum kedudukan terakhirnya dipercayai berada di kawasan puncak sekitar jam 9 pagi.

Selepas itu, hubungan dipercayai terputus.

Laluan turun asal sepatutnya menghala ke Kuala Woh. Namun berdasarkan maklumat awal pasukan penyelamat, Jaslinda dipercayai mungkin telah tersasar daripada laluan asal ke arah Gunung Rayu atau Pos Musoh.

Sementara itu, seramai 12 pendaki lain berjaya keluar dengan selamat sekitar jam 1 tengah hari.

Pada ketika itu, tumpuan operasi terbahagi kepada dua perkara utama iaitu usaha menyelamatkan peserta lelaki yang sakit serta pencarian Jaslinda yang masih belum dikesan.

Baca juga: Tragedi Selam Skuba Maldives: Pernah Gagal, Ini Kronologi Misi Kedua Berisiko Tinggi Berjaya Bawa Keluar 4 Mayat Penyelam Itali

Jaslinda Saludin

Gambar BERNAMA: Suami kepada Jaslinda Saludin (baju warna kelabu).

25 Mei 2026

Mohd Hanafi berjaya diselamatkan sebelum dihantar ke Hospital Tapah bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Ini bermakna peserta yang mengalami masalah kesihatan berjaya dibawa keluar dengan selamat, manakala fokus utama operasi selepas itu diteruskan sepenuhnya kepada usaha mencari Jaslinda.

Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bukan sesuatu yang mudah.

Pasukan penyelamat berdepan pelbagai cabaran termasuk cuaca hujan, trek licin, laluan curam, awan tebal, komunikasi terhad serta bentuk muka bumi pergunungan yang sukar.

Petunjuk baharu ditemui dalam operasi pencarian.

26 Mei 2026

Pada hari berikutnya, pasukan SAR menemui beberapa petunjuk baharu di laluan menuju Gunung Rayu.

Antara barangan yang dilaporkan ditemui ialah botol air, bungkusan suplemen, bekas suplemen, bungkusan gula-gula serta kesan tapak kaki yang dipercayai milik Jaslinda.

Penemuan itu memberi petunjuk bahawa pendaki wanita tersebut mungkin telah bergerak keluar daripada laluan asal dan menuju ke arah Gunung Rayu.

Susulan itu, operasi pencarian difokuskan di beberapa kawasan termasuk Kem Sukaneka, Gunung Rayu, Bukit Berapit serta arah Pos Musoh.

Operasi turut diperkukuhkan dengan bantuan helikopter AW139, pertambahan anggota penyelamat, pasukan yang bermalam di kawasan puncak serta penambahbaikan sistem komunikasi GIRN di pos kawalan Kuala Woh.

Baca juga: Tular Dakwaan Guru Lelaki Bujang Buat Gangguan Seksual Pada Murid Tahun 6, Kini Direman 6 Hari

Jaslinda Saludin

Gambar: Buletin TV3

27 Mei 2026

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jaslinda diteruskan dengan penghantaran pasukan operasi baharu membabitkan lapan anggota ke kawasan Bukit Berapit 2.

Pasukan berkenaan dihantar sekitar jam 9.15 pagi menggunakan pesawat AW139 bagi meneruskan pencarian di lokasi dipercayai menjadi laluan mangsa selepas tersasar.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, keseluruhan lapan anggota STORM bersama seorang Malim Gunung Perhutanan daripada pasukan penyelamat pertama yang masuk ke Gunung Batu Putih pada 25 Mei berjaya keluar dengan selamat pada pagi itu.

Namun, operasi pencarian turut berdepan cabaran cuaca selepas pasukan terdahulu dilaporkan menghadapi hujan lebat dan angin kuat di kawasan Berapit 2 pada waktu malam.

Fokus operasi ketika itu masih tertumpu di sekitar kawasan Gunung Rayu berdasarkan penemuan petunjuk sebelum ini termasuk botol air dan bungkusan suplemen yang dipercayai milik Jaslinda.

28 Mei 2026

Memasuki 28 Mei, keadaan Jaslinda dilaporkan dijangka memasuki fasa kritikal selepas tempoh kehilangan melebihi 72 jam.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dipergiatkan dengan pertambahan anggota serta peluasan kawasan pencarian, termasuk ke lokasi dipercayai berpotensi menjadi laluan mangsa mendapatkan sumber air.

Tumpuan ketika itu difokuskan sekitar jajaran Sungai Ayer Busok berhampiran Gunung Batu Putih, yang dipercayai mungkin menjadi laluan Jaslinda untuk terus bertahan.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon, pengalaman mendaki yang dimiliki Jaslinda memberi sedikit harapan bahawa mangsa mungkin cuba mencari sumber air.

“Kita boleh katakan pada ketika ini adalah ‘tempoh kritikal’ namun dengan pengalaman yang ada pada mangsa, dia akan terus bertahan sementara SAR dijalankan.

“Kita percaya dia akan cuba mencari sumber atau punca air untuk terus bertahan, dan berkemungkinan besar bergerak ke Sungai Ayer Busok iaitu lokasi berdekatan dengan Gunung Batu Putih,” katanya.

Pada hari sama, polis turut mengambil keterangan tujuh individu termasuk suami Jaslinda serta enam Malim Gunung Perhutanan bagi membantu memudahkan operasi pencarian.

Orang ramai pada masa sama diminta memberi ruang kepada keluarga mangsa serta tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan operasi yang sedang dijalankan.

Mari kita doakan agar Jaslinda ditemui dalam keadaan selamat.

Sumber: Public Health Malaysia / Buletin TV3 / Harian Metro (1) (2)

FT Image: Harian Metro / BERNAMA

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×