Euforia Bola 2026
Rakyat

Ramai Terkejut Gaji Bulan Ini Berkurang, Rupanya Ada Potongan Baharu PERKESO Skim LINDUNG 24 Jam

skim lindung 24 jam

Ramai pekerja mula menyedari jumlah gaji bersih yang diterima bulan ini sedikit berkurang berbanding sebelum ini. Jika anda antara yang tertanya-tanya ke mana perginya sebahagian daripada gaji tersebut, kemungkinan besar ia berpunca daripada pelaksanaan Skim LINDUNG 24 Jam PERKESO yang mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026.

Baca juga: “Suka Ke Tak, Jangan Tarik Laporan Polis!”– Fadhlina Sidek Beri Amaran Tegas Untuk Ibu Bapa Jika Anak Hamil Bawah Umur

APA ITU SKIM LINDUNG 24 JAM?

skim lindung 24 jam

Foto: BERNAMA

Menerusi skim baharu ini, lebih 9 juta pekerja formal di Malaysia kini menikmati perlindungan keselamatan sosial yang lebih meluas, termasuk bagi kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja.

Skim LINDUNG 24 Jam atau Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) diperkenalkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi melindungi pekerja yang mengalami kemalangan yang tidak berkaitan secara langsung dengan pekerjaan mereka.

Sebelum ini, perlindungan PERKESO lebih tertumpu kepada kemalangan yang berlaku semasa bekerja atau ketika perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja.

Namun melalui skim baharu ini, pekerja turut dilindungi walaupun kemalangan berlaku ketika berada di rumah, melakukan aktiviti peribadi, beriadah atau menjalankan aktiviti sosial dalam negara.

Kenapa Gaji Berkurang?

Perkara yang menjadi perhatian ramai ialah caruman bagi skim ini ditanggung sepenuhnya oleh pekerja. Ini bermakna akan ada potongan tambahan pada slip gaji bulanan bagi membiayai perlindungan tersebut.

Walau bagaimanapun, kadar caruman akan dilaksanakan secara berperingkat dan tertakluk kepada had siling gaji RM6,000.

Kadar caruman yang ditetapkan adalah:

  • 0.75% daripada gaji bulanan bagi dua tahun pertama
  • 1.0% bagi tahun ketiga hingga tahun kelima
  • 1.25% bermula tahun keenam dan seterusnya

Majikan pula bertanggungjawab menguruskan potongan gaji dan membuat bayaran caruman kepada PERKESO setiap bulan.

Apa Yang Dilindungi Di Bawah Skim LINDUNG 24 Jam?

skim lindung 24 jam

Foto: Gemini AI

Antara situasi yang layak mendapat perlindungan di bawah Skim LINDUNG 24 Jam termasuk:

  • Kemalangan di rumah
  • Kemalangan jalan raya di luar urusan kerja
  • Kecederaan ketika aktiviti riadah
  • Kecederaan semasa aktiviti sosial
  • Kemalangan ketika melakukan urusan peribadi dalam negara

Sekiranya berlaku kemalangan yang memenuhi syarat perlindungan, pencarum boleh menikmati pelbagai bentuk bantuan dan faedah yang disediakan oleh PERKESO.

8 Faedah Yang Disediakan PERKESO

Menerusi skim ini, pencarum berpeluang menerima lapan faedah utama iaitu:

1. Faedah Perubatan

Kos rawatan dan perubatan berkaitan kemalangan yang dilindungi akan ditanggung mengikut syarat yang ditetapkan.

2. Faedah Hilang Upaya Sementara

Bantuan kewangan diberikan sekiranya pencarum tidak dapat bekerja buat sementara waktu akibat kecederaan.

3. Faedah Hilang Upaya Kekal

Perlindungan untuk pencarum yang mengalami kecacatan atau kehilangan keupayaan bekerja secara kekal.

4. Faedah Orang Tanggungan

Waris yang layak boleh menerima bantuan sekiranya pencarum meninggal dunia akibat kemalangan yang dilindungi.

5. Elaun Layanan Sentiasa

Diberikan kepada pencarum yang memerlukan penjagaan atau bantuan berterusan akibat kecederaan serius.

6. Faedah Pengurusan Mayat

Bantuan kewangan bagi menampung kos pengurusan pengebumian.

7. Program Pemulihan Dan Return To Work (RTW)

Pencarum boleh mendapatkan kemudahan pemulihan jasmani, vokasional serta sokongan untuk kembali bekerja.

8. Faedah Pendidikan

Bantuan pendidikan disediakan kepada tanggungan yang layak bagi menjamin masa depan mereka.

Tidak Semua Kemalangan Akan Dilindungi

Walaupun perlindungan skim ini agak menyeluruh, terdapat beberapa keadaan yang tidak termasuk dalam perlindungan.

Antaranya ialah:

  • Kemalangan yang berlaku di luar Malaysia
  • Kecederaan akibat penyalahgunaan permit atau pelanggaran undang-undang tertentu
  • Kecederaan yang disengajakan atau mencederakan diri sendiri
  • Kecederaan domestik tertentu yang tidak memenuhi syarat perlindungan
  • Penyakit sedia ada yang tidak berkaitan dengan kemalangan

Oleh itu, pekerja disarankan memahami syarat dan terma perlindungan sebelum membuat tuntutan.

Ramai Luah Rasa Tidak Puas Hati Dengan Potongan Baharu

Di media sosial, pelaksanaan Skim LINDUNG 24 Jam turut mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pekerja.

Walaupun ada yang menyambut baik perlindungan tambahan yang diberikan, tidak kurang juga yang mempersoalkan mengapa caruman tersebut diwajibkan kepada semua pekerja.

Seorang netizen berkata dia tidak bersetuju skim itu dijadikan mandatori kerana sudah mempunyai perlindungan insurans sendiri.

I don’t agree to make this compulsory. Tiap-tiap bulan bayar insurans dan jumlahnya bukan kecil.

Itu sepatutnya dah cukup cover. Sekarang nak potong lagi RM45, berapa sangat yang tinggal? Kerja penat-penat, macam-macam pula dipotong.

Kalau tak pernah claim, duit tu kira burn macam sedekah. Jangan paksa orang bersedekah dengan cara macam ni. Saya tak halalkan dan tak reda.

Seorang lagi netizen berpendapat kadar caruman yang dikenakan agak tinggi jika dibandingkan dengan pelan perlindungan kemalangan peribadi yang ditawarkan syarikat insurans dan takaful.

Dah lah banyak pula tu, cover semata-mata untuk incident tertentu. Kalau ambil insurans atau takaful personal accident pun tak sebanyak tu.

Sekurang-kurangnya semua jenis kemalangan cover dan boleh masuk hospital swasta. Kos fisioterapi pun ditanggung. Kerajaan sebenarnya nak tambah dana semata-mata.

Hospital kerajaan pun staf tak cukup, kalau kena fisioterapi nanti tunggu giliran sebulan sekali pula.

Malah ada juga yang mencadangkan supaya pekerja yang sudah memiliki kad perubatan atau perlindungan insurans sendiri diberikan pilihan untuk tidak menyertai skim tersebut.

Haritu pun terfikir, patutnya bagi option untuk yang dah ada medical card boleh opt out daripada Lindung 24 Jam. Banyak juga kena deduct setiap bulan.

Perbincangan mengenai skim tersebut dijangka terus hangat apabila lebih ramai pekerja mula melihat potongan baharu itu pada slip gaji masing-masing dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Walaupun ada yang terkejut melihat potongan tambahan pada slip gaji, skim ini diwujudkan bagi memastikan pekerja mempunyai perlindungan kewangan dan perubatan sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu bekerja yang boleh menjejaskan kehidupan serta sumber pendapatan mereka.

Baca juga: Jumlah Pasangan Malaysia Bernikah Di Selatan Thailand Meningkat 2 Kali Ganda Musim Cuti Panjang!

Sumber: Berita Harian, PERKESO, dan Threads @ansyzns

FT Images: Gemini AI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×