Hubungan intim suami isteri bukan sekadar memenuhi tuntutan fitrah, malah turut dianggap sebagai satu ibadah apabila dilakukan mengikut adab dan panduan yang dianjurkan dalam Islam.
Namun, ramai yang mungkin tidak mengetahui bahawa terdapat doa sebelum bersama suami isteri yang diajarkan oleh Rasulullah SAW sebagai amalan sebelum melakukan hubungan kelamin.
Baca juga: Tular Konten Suami Isteri Rakam Babak Ke Bilik Mandi Cetus Perdebatan, Di Mana Batas Privasi & Malu?
SEBELUM HUBUNGAN INTIM SUAMI ISTERI, BACA DOA INI

Kredit: Magnific
Doa ini bukan sahaja sebagai bentuk pergantungan kepada Allah SWT, malah mengandungi permohonan agar pasangan serta zuriat yang bakal dikurniakan dipelihara daripada gangguan syaitan.
Antara doa yang dianjurkan untuk dibaca ialah:
بِسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ، وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا
Maksudnya:
“Dengan nama Allah. Ya Allah, jauhkanlah kami daripada syaitan, dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau kurniakan kepada kami (iaitu zuriat yang bakal lahir).”
Doa ini diriwayatkan dalam hadis sahih, di mana Rasulullah SAW menyatakan bahawa jika pasangan suami isteri membaca doa tersebut sebelum bersama, kemudian dikurniakan anak hasil hubungan itu, maka syaitan tidak akan dapat memudaratkannya dengan izin Allah SWT.
Amalan membaca doa sebelum bersama suami isteri ini dilihat sebagai salah satu bentuk persediaan rohani yang boleh diamalkan oleh pasangan Muslim.

Kredit: Magnific
Ia juga mengingatkan bahawa dalam setiap urusan kehidupan, termasuk hubungan rumah tangga, Islam mengajar umatnya supaya sentiasa memulakan sesuatu dengan mengingati Allah SWT.
Selain mengeratkan hubungan pasangan, amalan ini turut menjadi tanda harapan dan doa agar rumah tangga yang dibina sentiasa berada dalam rahmat Allah serta dikurniakan zuriat yang baik dan soleh.
Walaupun ia mungkin dilihat sebagai amalan ringkas, namun penghayatan terhadap sunnah seperti ini mampu memberi nilai yang besar dalam kehidupan berkeluarga.
Sumber: Threads Dr Izzat Awang
