Bermula 1 Jun 2026, pengguna media sosial di Malaysia bakal melihat perubahan besar apabila proses pengesahan umur diwajibkan untuk platform media sosial berlesen.
Langkah tersebut dilaksanakan susulan penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code, CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code, RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Siapa yang terlibat?
Keperluan ini melibatkan platform media sosial utama seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
Melalui pelaksanaan baharu ini, hanya individu berumur 16 tahun dan ke atas dibenarkan mendaftar akaun baharu.
Pengesahan umur perlu dilakukan menggunakan dokumen rasmi yang dikeluarkan Kerajaan Malaysia atau dokumen setara yang diiktiraf.
Apa akan jadi kepada akaun sedia ada?
MCMC memaklumkan proses pengesahan umur bagi pengguna sedia ada akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan.
Sekiranya pengguna didapati berumur bawah 16 tahun, mereka akan diberikan tempoh selama sebulan untuk memuat turun atau memindahkan data seperti gambar dan video sebelum tindakan lanjut diambil oleh platform berkenaan.
Tujuan utama: Lindungi kanak-kanak
Selain mewajibkan pengesahan umur, CPC turut menggariskan keperluan kepada platform untuk menyediakan perlindungan yang sesuai mengikut umur serta mengamalkan konsep “safety by design”.
Pada masa yang sama, RMC pula mewajibkan penyedia perkhidmatan menjalankan penilaian risiko, meningkatkan penyederhanaan kandungan dan memperkukuh ciri keselamatan pengguna.
Langkah ini dilihat sebagai usaha memperkukuh perlindungan kanak-kanak dalam dunia digital yang semakin kompleks dan mencabar.
Untuk maklumat lanjut mengenai Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code, CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code, RMC), sila rujuk Soalan-soalan Lazim https://mcmc.gov.my/en/onsa/
