Bagi ibu bapa yang mempunyai anak bakal memasuki Tahun 1 pada tahun 2027, berita ini pastinya penting untuk anda. Bahagian Pelajaran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memaklumkan bahawa permohonan kemasukan murid Tahun 1 Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) bagi sesi 2027 akan dibuka sepanjang bulan Jun 2026.
Memandangkan tempat yang ditawarkan adalah terhad, ibu bapa disarankan membuat permohonan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan di saat akhir.
Baca juga: Jangan Tunggu Tahun 6! Dr Sheikh Dedah ‘Roadmap’ Ke MRSM & SBP, Kena Siapkan Anak Dari Tahun 4
Permohonan Tahun 1 Sekolah Rendah Agama JAWI & KAFA Sesi 2027

Foto: Ai
Permohonan kemasukan murid Tahun 1 SRA dan KAFA bagi sesi persekolahan 2027 boleh dibuat secara dalam talian mengikut tempoh yang telah ditetapkan.
Tarikh permohonan:
– 1 Jun 2026 hingga 30 Jun 2026
Kaedah pendaftaran:
– Secara atas talian
Pautan dan kod QR permohonan akan mula disediakan bermula 1 Jun 2026 melalui saluran berikut:
Laman web rasmi JAWI
Facebook JAWI
Facebook sekolah berkenaan
Kain rentang yang dipasang di sekolah
Syarat Permohonan
Bagi memastikan permohonan diterima, ibu bapa perlu memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh pihak JAWI.
Antara syarat permohonan adalah:
- Anak merupakan warganegara Malaysia
- Berumur 6 tahun (lahir antara 2 Januari 2021 hingga 1 Januari 2022), atau
- Berumur 7 tahun (lahir antara 2 Januari 2020 hingga 1 Januari 2021)
- Telah membuat permohonan kemasukan ke Sekolah Kebangsaan (SK)
Kenapa Penting Daftar SRA dan KAFA?

Foto: JAWI
SRA dan KAFA berperanan melengkapkan pendidikan anak-anak dengan ilmu agama Islam yang merangkumi:
Pembelajaran Al-Quran
Fardu Ain
Akidah
Ibadah
Sirah
Jawi
Akhlak Islamiah
Melalui pendidikan ini, anak-anak bukan sahaja mendapat pendidikan akademik di sekolah kebangsaan, malah turut memperoleh asas agama yang kukuh sebagai panduan dalam kehidupan seharian.
Pihak JAWI turut mengingatkan bahawa tempat kemasukan adalah terhad dan tertakluk kepada kapasiti sekolah masing-masing.
Justeru, ibu bapa yang berminat dinasihatkan supaya membuat permohonan dalam tempoh yang ditetapkan dan memastikan semua maklumat diisi dengan lengkap bagi melancarkan proses pendaftaran.
Semoga urusan permohonan anak-anak ke Tahun 1 SRA dan KAFA sesi 2027 dipermudahkan serta menjadi langkah awal dalam membentuk generasi yang berilmu dan berakhlak mulia.
Sumber: JAWI
