Menjelang 9 Zulhijjah, ramai mula mencari doa-doa dan zikir Hari Arafah yang boleh diamalkan kerana hari tersebut merupakan antara waktu paling istimewa dalam Islam untuk memohon keampunan, rezeki dan hajat daripada Allah SWT.
Hari Arafah merupakan hari yang cukup besar maknanya dalam kalendar Islam kerana ia jatuh pada hari kedua ibadah Haji, iaitu ketika jutaan jemaah berhimpun di Padang Arafah bagi melaksanakan wukuf.
HIMPUNAN DOA & ZIKIR HARI ARAFAH

Gambar BERNAMA: Hari ini lebih sejuta jemaah haji akan berwukuf di Arafah menandakan bermulanya ibadah haji tahun ini.
Menurut ketetapan yang diputuskan Jabatan Falak, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melalui kaedah rukyah dan hisab, Hari Arafah di Malaysia bagi tahun 2026 jatuh pada Selasa, 26 Mei 2026 bersamaan 9 Zulhijjah 1447 Hijrah.
Bagi umat Islam yang tidak menunaikan haji pula, Hari Arafah menjadi peluang terbaik untuk memperbanyakkan ibadah seperti berpuasa sunat, berzikir, membaca al-Quran serta memanjatkan doa kerana ia termasuk dalam waktu mustajab.
“Kita memang sentiasa digalakkan berdoa pada bila-bila masa. Namun, berdoa pada waktu makbul doa adalah satu kelebihan. Justeru, umat Islam di negara ini (jangan keliru), kita berdoa waktu mustajab hari Arafah berdasarkan (ketetapan) di Malaysia,” katanya.
Hari Arafah 2026: Bila waktu mustajab doa di Malaysia?
Ramai yang masih keliru sama ada waktu mustajab doa perlu mengikut waktu jemaah haji di Mekah atau berdasarkan tarikh di Malaysia.
Menurut Timbalan Mufti Selangor, bagi mereka yang tidak berada di padang Arafah, waktu mustajab doa adalah pada 9 Zulhijjah iaitu sepanjang hari Arafah (bermula pada waktu Maghrib 9 Zulhijjah hingga masuk waktu Maghrib malam raya) tanpa dikhususkan waktu tertentu seperti sewaktu jemaah haji berwukuf di padang Arafah.
Baca juga: 12 Doa Mustajab Untuk Anak Tersayang, Senjata Terhebat Ibu Ayah Boleh Baca Di Hari Arafah
Baca juga: Rindu Yang Tak Akan Pernah Hilang…Ini Koleksi Doa Indah Buat Arwah Ibu Tercinta Sempena Hari Ibu

Gambar hiasan: Gemini AI
10 DOA & ZIKIR BOLEH DIBACA PADA HARI ARAFAH
Sementara itu, menurut perkongsian Jabatan Mufti Negeri Pahang, umat Islam dibolehkan untuk berdoa dengan apa sahaja doa, begitu juga membacakan doa orang lain yang telah ditulis sebagaimana difatwakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’.
Selain itu, Imam Abu ‘Isa al-Tirmizi ada meriwayatkan di dalam al-Jami’ menerusi sanadnya daripada ‘Amr b. Syu’aib daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah. Dan sebaik-baik (zikir) yang dilafazkan oleh aku dan para Nabi sebelumku ialah (Kalimah Tauhid):
لا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ وحده لا شَريكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ، وَلَهُ الحَمْدُ، وَهُوَ على كُلّ شئ قَدِيرٌ
Maksud: Tiada Tuhan selain Allah, satu-satunya Dia sahaja tiada sekutu bagi-Nya. Hanya milik-Nya segala Kerajaan, dan hanya milik-Nya jua segala puja, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Antara zikir dan doa pilihan yang boleh dibaca ialah seperti berikut:
1. Zikir Nabi SAW semasa Hari Arafah
Daripada Abdullah bin ‘Amr, Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari ‘Arafah dan sebaik-baik apa yang aku dan para nabi sebelumku katakan adalah
لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Maksudnya: Tiada Tuhan melainkan Allah semata dan tiada sekutu bagi-Nya, milik-Nya lah segala kerajaan dan pujian dan Dialah Maha Menguasai atas segala sesuatu.
(HR Tirmizi, hadis hasan)
2. Doa penyerahan diri kepada Allah
Daripada Ali Bin Abi Thalib beliau berkata: Kebanyakan doa yang diucapkan Rasulullah SAW pada hari Arafah di tempat wuquf adalah:
اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ كَالَّذِي نَقُولُ وَخَيْرًا مِمَّا نَقُولُ اللَّهُمَّ لَكَ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي وَإِلَيْكَ مَآبِي وَلَكَ رَبِّ تُرَاثِي اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَوَسْوَسَةِ الصَّدْرِ وَشَتَاتِ الْأَمْرِ اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا تَجِيءُ بِهِ الرِّيحُ
Maksudnya: Ya Allah, segala puji bagi-Mu seperti yang kami ucapkan, dan lebih baik daripada apa yang kami ucapkan. Ya Allah, untuk-Mu solatku, ibadah hajiku, hidupku dan matiku. Kepada-Mu aku akan kembali, dan milik-Mu wahai Tuhanku kekayaanku. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada seksaan kubur, keraguan hati, serta kekacauan urusanku. Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kejahatan yang dibawa oleh angin.
(HR Tirmidzi, hadis gharib)
3. Sayyidul Istighfar (Penghulu Istighfar)
Daripada Syaddad bin Aus r.a., Rasulullah SAW bersabda:
سَيِّدُ الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Maksudnya: Sayyidul Istighfar hendaklah kamu mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau.
(HR Bukhari, hadis sahih)
4. Doa memohon keampunan daripada Allah SWT
Abu Bakar as-Siddiq r.a. pernah meminta Nabi Muhammad SAW mengajarkan satu doa kepadanya. Lalu baginda SAW bersabda:
اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Maksudnya: Ya Allah, sungguh aku telah menzalimi diriku dengan banyak kezaliman dan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah aku dengan sebuah pengampunan dari sisi-Mu dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
(HR Bukhari, hadis sahih)
5. Doa memohon keampunan bagi kedua ibu bapa
Firman Allah SWT:
رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.
(Surah Ibrahim 14: 41)
6. Doa memohon rahmat daripada Allah SWT
Firman Allah SWT:
رَبَّنَآ ءَامَنَّا فَٱغْفِرْ لَنَا وَٱرْحَمْنَا وَأَنتَ خَيْرُ ٱلرَّٰحِمِينَ
Maksudnya: Ya Tuhan kami, kami telah beriman, maka ampunilah kami dan berilah kami rahmat dan Engkau adalah Pemberi rahmat Yang Paling Baik.
(Surah al-Mukminun 23:109)
7. Doa agar ditetapkan hati dalam ketaatan
Firman Allah SWT:
رَبَّنَا لاَ تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ
Maksudnya: Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami condong kepada kesesatan sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan berilah kepada kami rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi.
(Surah Ali ‘Imran 3: 8 )
8. Doa agar dikurniakan keturunan yang menyejukkan mata
Firman Allah SWT:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ اَزْوَاجِنَا وَذُرِّيّٰتِنَا قُرَّةَ اَعْيُنٍ وَّاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِيْنَ اِمَامًا
Maksudnya: Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyejuk mata (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang yang bertakwa.
(Surah al-Furqan 25: 74)
9. Doa agar menjadi hamba-Nya yang sentiasa bersyukur
Firman Allah SWT:
رَبِّ أَوْزِعْنِىٓ أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ ٱلَّتِىٓ أَنْعَمْتَ عَلَىَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَىَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَٰلِحًا تَرْضَىٰهُ وَأَدْخِلْنِى بِرَحْمَتِكَ فِى عِبَادِكَ ٱلصَّلِحِينَ
Maksudnya: Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu ke dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.
(Surah al-Naml 27: 19)
10. Doa dijauhi rasa hasad dengki
Firman Allah SWT:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: Ya Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dahulu daripada kami, dan janganlah Engkau tanamkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Ya Tuhan kami, Sungguh, Engkau Maha Penyantun, Maha Penyayang.
(Surah al-Hasyr 59:10)
*Selamat beramal dan semoga dimakbulkan segala doa anda. Aamin…
Sumber: Portal e-Central / Jabatan Mufti Negeri Pahang
FT Image: Gemini AI / Reuters
