Bagi sesetengah orang, kekurangan fizikal mungkin menjadi halangan untuk mencari pasangan hidup. Namun kisah seorang wanita kudung tangan kiri dan kedua-dua kaki ini membuktikan bahawa cinta yang hadir dengan keikhlasan mampu menerima seseorang seadanya.
Lebih menyentuh hati, suami kepada Zaiton Ibrahim, 39, bukan sahaja menerima keadaan dirinya, malah sanggup menjadi “kaki dan tangan” buat wanita yang dicintainya itu sepanjang hidup.
LELAKI INI PILIH WANITA KUDUNG TANGAN KIRI & KEDUA KAKI SEBAGAI TEMAN HIDUP

Gambar Ihsan Haizul Yit: Haizul bersama isteri tercinta, Zaiton yang berstatus OKU fizikal.
Berkenalan dalam WhatsApp, terus ‘tangkap cintan’
Menurut laporan Harian Metro, Haizul Yit, 50, mendirikan rumah tangga bersama Zaiton pada 30 Oktober 2020 selepas berkenalan menerusi kumpulan mencari jodoh di WhatsApp.
Haizul yang juga seorang pembantu operasi berkata, pada awalnya dia sekadar mahu mencari kenalan baharu, namun perasaannya berubah selepas melihat gambar Zaiton.
“Tapi pertama kali tengok gambarnya, saya sudah terpikat dan ‘tangkap cintan’ (jatuh cinta) kerana memenuhi kriteria wanita idaman saya,” ujar Haizul.
Sepanjang dua bulan pertama perkenalan, mereka hanya berhubung menerusi WhatsApp dan tidak pernah bertemu secara berdepan.
Namun selepas Haizul meluahkan perasaan, Zaiton mengambil keputusan untuk berterus terang mengenai keadaan dirinya sebagai orang kurang upaya (OKU) fizikal.
“Bukan tak terima, cuma tak sangka kerana dia boleh buat macam-macam seperti orang normal,” ujar Haizul lagi.
Menurut Haizul, keserasian yang terjalin membuatkan dia yakin untuk menghalalkan hubungan mereka, malah keluarga termasuk anak perempuannya hasil perkahwinan terdahulu turut merestui keputusan itu.

Walaupun ada segelintir individu mempersoalkan pilihannya, Haizul yang sebelum ini menduda selama 9 tahun berkata, dia tidak pernah menyesal kerana perkahwinan tersebut adalah pilihannya sendiri.
Malah, dia melihat isterinya sebagai wanita yang tiada kekurangan di matanya.
“Bagi saya, isteri bukan hanya cantik malah tiada kekurangan pada pandangan mata saya. Itu sebabnya saya memilihnya sebagai teman hidup.
“Saya sedia menjadi kaki, tangan dan segalanya buat isteri,” ujarnya.
Katanya lagi, dia nekad kerana keluarga terutama anak perempuan iaitu satu-satunya zuriat hasil perkahwinan pertama merestui niat baiknya.
Bahkan, kehadiran Zaiton banyak memberi motivasi dalam hidup selain menjadi individu yang matang dan sering memberi pandangan baik dalam rumah tangga.
“Saya banyak dosa dan kekurangan jadi harap isteri dapat tarik saya bersamanya ke syurga nanti,” ujarnya lagi.
Baca juga: “Dia Cakap Bujang…”- Wanita Ini Cerdik Cek Status Calon Suami & Kantoi Dah 2x Kahwin, Ini Caranya!
Pernah kecewa sebelum ditemukan jodoh tepat
Sementara itu, Zaiton mengakui dia pernah berkenalan dengan lelaki lain sebelum ini, namun hubungan tersebut tidak berakhir dengan perkahwinan selepas mendapat tentangan keluarga pihak lelaki.
Disebabkan pengalaman lalu, dia mengakui agak terkejut apabila Haizul meluahkan hasrat untuk menjadikannya isteri.
“Apabila suami berterus terang yang dia sukakan saya, saya fikir macam tak logik dan beritahu jangan cepat jatuh cinta,” kongsi Zaiton.
Zaiton berkata, dia sengaja berterus terang mengenai keadaan fizikalnya kerana tidak mahu sesiapa berkawan dengannya atas dasar simpati.
“Cuma selepas berterus terang, suami tak mesej dan telefon hingga fikir dia sudah berubah hati,” kongsinya lagi.
Namun beberapa hari kemudian, Haizul kembali menghubunginya dan menyatakan dia menerima dirinya seadanya.
“Dalam doa dan solat, saya minta kepada Allah SWT untuk beri jodoh tepat dan permudahkan,” ujar Zaiton yang berkongsi video rutin di TikTok bagi memaparkan insan istimewa juga mampu berdikari.
Sumber: Harian Metro
