Euforia Bola 2026
Famili

“Sunyi Dalam Kegelapan Laut…” Apa Sebenarnya Berlaku? Ini Kronologi Tragedi Maut Selam Skuba Maldives Jadi Perhatian Dunia

selam skuba

Aktiviti selam skuba yang sepatutnya menjadi pengalaman indah bertukar menjadi tragedi antarabangsa apabila lima pelancong Itali dilaporkan maut ketika meneroka sebuah gua bawah laut di Maldives pada Khamis, 14 Mei lalu.

Lebih memilukan, tragedi itu terus meragut satu lagi nyawa apabila seorang penyelam penyelamat tentera Maldives turut meninggal dunia ketika operasi mencari mangsa dijalankan.

Baca juga: Airbus Kongsi Foto Malaysia Dari Angkasa Lepas, Netizen Terpukau Siap ‘Detective Mode’ Teka Lokasi!

FAKTA MENARIK & KRONOLOGI TRAGEDI SELAM SKUBA DI MALDIVES

selam skuba

Gambar: Monica Montefalcone, Giorgia Sommacal dan Gianluca Benedetti (atas dari kiri), Federico Gualtieri dan Muriel Oddenino (bawah dari kiri).

Kes tersebut kini menjadi perhatian dunia kerana ia bukan sekadar insiden lemas biasa, sebaliknya melibatkan selaman laut dalam, sistem gua bawah air yang sempit dan gelap, selain operasi menyelamat berisiko tinggi yang disifatkan antara paling mencabar pernah dihadapi Maldives.

Bermula dengan ekspedisi laut dalam

Menurut laporan media antarabangsa dan pihak berkuasa Maldives, kumpulan penyelam Itali itu dipercayai memasuki sistem gua bawah laut berhampiran Alimathaa Island di Vaavu Atoll sekitar jam 1.45 petang pada 14 Mei.

Mereka dilaporkan melakukan selaman sehingga kira-kira 50 hingga 60 meter, iaitu jauh melebihi had selaman rekreasi biasa Maldives yang hanya sekitar 30 meter.

Mangsa dikenal pasti sebagai Monica Montefalcone, anak perempuannya Giorgia Sommacal, Federico Gualtieri, Muriel Oddenino dan jurulatih selam Gianluca Benedetti. Kebanyakan mereka juga dilaporkan mempunyai kaitan dengan Universiti Genoa di Itali.

Namun selepas memasuki sistem gua tersebut, kumpulan itu gagal timbul semula ke permukaan.

Keadaan di lokasi dipercayai amat sukar kerana gua bawah laut itu mempunyai laluan sempit, ruang gelap dan penglihatan yang rendah. Malah laporan antarabangsa menyebut terdapat beberapa ruang besar yang saling bersambung melalui terowong kecil di dasar laut.

Tidak lama selepas kehilangan mereka disedari, Pengawal Pantai Maldives bersama Pasukan Pertahanan Kebangsaan Maldives (MNDF) terus melancarkan operasi mencari.

“Pengawal Pantai dan semua pihak berkuasa berkaitan sedang giat menjalankan operasi mencari dan membawa keluar mangsa,” kata Menteri Pelancongan Maldives, Mohamed Ameen menerusi platform X.

Mayat pertama ditemui dalam gua

Ketika operasi SAR dijalankan, pihak MNDF mengesahkan satu mayat ditemukan pada kedalaman kira-kira 60 meter berhampiran kawasan gua tersebut.

Mayat itu dipercayai milik jurulatih selam, Gianluca Benedetti. Namun empat lagi mangsa dipercayai masih berada lebih jauh di dalam sistem gua bawah laut berkenaan.

Pasukan penyelamat kemudian menyifatkan operasi itu sebagai sangat berisiko kerana kedalaman melampau selain struktur gua yang berbahaya untuk dimasuki walaupun oleh penyelam berpengalaman.

Dalam masa sama, beberapa teori mula dibincangkan pakar selam antarabangsa mengenai kemungkinan punca tragedi itu.

Antara yang paling banyak diperkatakan ialah kemungkinan oxygen toxicity atau keracunan oksigen ketika melakukan selaman terlalu dalam. Dalam keadaan tertentu, tekanan separa oksigen yang terlalu tinggi boleh menyebabkan penyelam mengalami pening, kekeliruan, gangguan penglihatan malah sawan di bawah air.

Selain itu, pakar turut melihat kemungkinan berlakunya nitrogen narcosis, iaitu gangguan pemikiran akibat kesan nitrogen pada kedalaman tinggi.

Bagaimanapun sehingga kini, punca sebenar tragedi masih dalam siasatan dan laporan rasmi penuh belum dimuktamadkan pihak berkuasa Maldives.

Baca juga: NASA Lancar Projek Khas Hari Bumi, Kini Anda Boleh Jana Nama Sendiri Guna Imej Satelit! Ini Step Mudah Nak Cuba

selam skuba

Gambar: Staf Sarjan Pasukan Pertahanan Kebangsaan Maldives (MNDF), Mohamed Mahudhee (atas). Presiden Maldives, Mohamed Muizzu hadir menzahirkan penghormatan terakhir pada pengebumian penyelam tentera Mohamed Mahudhee (bawah).

Tragedi bertambah pilu apabila penyelam penyelamat turut maut

Ketika operasi mencari diteruskan pada Sabtu, satu lagi tragedi berlaku.

Seorang anggota penyelam penyelamat MNDF, Mohamed Mahudhee, 44, dilaporkan mengalami masalah kesihatan ketika menjalankan operasi bawah air sebelum meninggal dunia di hospital.

Beliau dipercayai mengalami penyakit penyahmampatan atau decompression sickness ketika menyertai misi berisiko tinggi tersebut.

Kematian anggota tentera itu mengejutkan rakyat Maldives dan mencetuskan gelombang kesedihan di negara berkenaan.

Presiden Maldives, Mohamed Muizzu menyifatkan kejadian itu sebagai sesuatu yang memilukan dan mengejutkan, malah beliau sendiri hadir ke majlis pengebumian Mahudhee pada Sabtu malam.

Kedutaan Arab Saudi di Maldives turut memberikan penghormatan terhadap keberanian penyelam itu.

“Keberanian dan pengorbanannya akan sentiasa dikenang dengan penuh penghormatan dan rasa hormat. Semoga Allah mengurniakan rahmat kepadanya, menerima beliau dalam kalangan para syuhada dan mengurniakan kesabaran serta kekuatan kepada keluarganya,” menurut hantaran kedutaan itu di platform X.

Susulan kematian Mahudhee, operasi pencarian sempat digantung sementara kerana risiko yang terlalu tinggi.

Pakar elit dunia tiba bantu operasi

Menjelang Isnin, operasi pencarian kembali mendapat perhatian dunia apabila beberapa penyelam elit antarabangsa dibawa masuk ke Maldives.

Menurut laporan AWANI dan media antarabangsa, tiga pakar selam gua dari Finland tiba bagi membantu operasi bersama Divers Alert Network (DAN) Europe dan Pengawal Pantai Maldives.

Antara yang disebut ialah penyelam terkenal Finland seperti Sami Paakkarinen dan Patrik Gronqvist yang pernah terlibat dalam operasi menyelamat pasukan bola sepak remaja Thailand pada 2018.

Ketua Pegawai Eksekutif DAN Europe, Laura Marroni berkata pasukan mereka bertekad membawa keluar semua mangsa.

“Kami akan membawa mereka pulang. Kami tidak boleh membiarkan mayat mereka menjadi mangsa jerung. Kami perlukan pakar untuk operasi ini,” katanya kepada akhbar Itali, La Stampa.

Menurut beliau, faktor masa sangat kritikal kerana keadaan laut panas meningkatkan risiko mayat diserang pemangsa laut termasuk jerung.

“Dalam operasi terdahulu, kejadian buruk pernah berlaku. Setiap jam amat penting,” katanya lagi.

Laporan turut menyebut Maldives sebenarnya tidak begitu terkenal dengan operasi selaman gua laut dalam, menyebabkan latihan dan sistem operasi teknikal untuk misi seperti itu agak terhad.

Dalam perkembangan sama, kerajaan Maldives turut menggantung lesen operasi kapal pelancong ‘MV Duke of York’ yang membawa kumpulan penyelam Itali itu kerana didakwa melanggar had kedalaman selaman rekreasi.

“Semua tindakan sewajarnya akan diambil bagi memastikan akauntabiliti penuh, dan perniagaan pelancongan serta penyedia perkhidmatan akan terus dikehendaki mematuhi piawaian yang ditetapkan,” menurut kenyataan bersama Kementerian Pelancongan dan Penerbangan Awam Maldives.

Sehingga hari ini, 19 Mei, tragedi tersebut masih menjadi perhatian masyarakat antarabangsa sementara operasi mencari baki mangsa diteruskan dalam keadaan laut yang mencabar serta penuh risiko.

Sumber: Berita Harian (1) (2) / AWANI / Sinar Harian / PHM / Italian Government

Image & FT Image: 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×