Euforia Bola 2026
Famili

Tragedi Selam Skuba Maldives: Pernah Gagal, Ini Kronologi Misi Kedua Berisiko Tinggi Berjaya Bawa Keluar 4 Mayat Penyelam Itali

selam skuba

Tragedi aktiviti selam skuba yang meragut lima nyawa warga Itali di Maldives baru-baru ini mengundang perhatian ramai, terutama selepas operasi menyelamat dilaporkan cukup rumit dan berisiko tinggi.

Dari isyarat kecemasan yang dihantar, penemuan mayat dalam gua sedalam 60 meter hinggalah misi membawa mereka keluar ke darat, ini kronologi penuh yang berlaku.

Baca juga: “Sunyi Dalam Kegelapan Laut…” Apa Sebenarnya Berlaku? Ini Kronologi Tragedi Maut Selam Skuba Maldives Jadi Perhatian Dunia

TRAGEDI SELAM SKUBA DI MALDIVES: KRONOLOGI MISI BAWA MAYAT KELUAR

selam skuba

Gambar: Monica Montefalcone, Giorgia Sommacal dan Gianluca Benedetti (atas dari kiri), Federico Gualtieri dan Muriel Oddenino (bawah dari kiri).

Isyarat kecemasan dihantar sebelum semua gagal timbul ke permukaan

Menurut laporan media antarabangsa, kumpulan penyelam terbabit dipercayai memasuki sistem gua bawah air di Atol Vaavu pada Khamis sebelum menghantar isyarat kecemasan sekitar jam 1.45 tengah hari.

Bagaimanapun, kesemua mereka gagal timbul ke permukaan selepas itu sebelum pihak berkuasa Maldives melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pada hari kejadian, mayat seorang mangsa berjaya ditemukan berhampiran mulut gua, manakala empat lagi dipercayai terperangkap lebih jauh di dalam sistem gua kompleks tersebut.

Difahamkan, gua bawah air berkenaan mempunyai tiga ruang besar yang saling bersambung melalui laluan sempit, terowong dan lubang di bawah terumbu karang, dengan kedalaman mencecah sekitar 50 hingga 60 meter.

Di mana, ia jauh melebihi had selaman rekreasi Maldives iaitu 30 meter.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Profesor Madya Ekologi di Universiti Genoa, Monica Montefalcone; anak perempuannya, Giorgia Sommacal; ahli biologi marin Federico Gualtieri; penyelidik Muriel Oddenino; dan pengajar selam Gianluca Benedetti.

Akhbar Itali melaporkan aktiviti selaman ketika kejadian bukan sebahagian daripada misi penyelidikan rasmi universiti, sebaliknya dilakukan atas urusan peribadi.

Penemuan empat mayat pada isnin

Pada Isnin, pihak berkuasa Maldives berjaya mengesan baki empat mayat di dalam gua berkenaan selepas operasi SAR dijalankan secara intensif.

Namun, operasi membawa keluar mayat bukan sesuatu yang mudah kerana keadaan di dalam gua dianggap sangat berisiko untuk penyelam penyelamat.

Situasi menjadi lebih tragik apabila seorang anggota Pasukan Pertahanan Nasional Maldives (MNDF), Staf Sarjan Mohamed Mahudhy, dilaporkan meninggal dunia pada Sabtu akibat komplikasi perubahan tekanan ketika terbabit dalam operasi menyelamat.

Susulan kejadian itu, operasi SAR sempat dihentikan sementara atas faktor keselamatan sebelum Itali menyelaras bantuan antarabangsa bagi membantu usaha membawa keluar mayat mangsa.

Media antarabangsa melaporkan sepasukan tiga penyelam pakar dari Finland yang berpengalaman dalam selaman gua dan kedalaman tinggi tiba di Maldives pada Isnin bagi membantu merangka strategi baharu bersama pengawal pantai Maldives.

Pasukan penyelamat dilaporkan hanya mampu meneroka dua daripada tiga ruang besar dalam gua terbabit pada peringkat awal berikutan faktor keselamatan gas oksigen dan risiko penglihatan sifar.

Baca juga: Airbus Kongsi Foto Malaysia Dari Angkasa Lepas, Netizen Terpukau Siap ‘Detective Mode’ Teka Lokasi!

selam skuba

Gambar: Staf Sarjan Pasukan Pertahanan Kebangsaan Maldives (MNDF), Mohamed Mahudhee (atas), Presiden Maldives, Mohamed Muizzu hadir menzahirkan penghormatan terakhir pada pengebumian penyelam tentera Mohamed Mahudhee (bawah).

Dua mayat terakhir berjaya dibawa naik ke darat

Operasi pemulihan akhirnya membuahkan hasil apabila dua lagi mayat penyelam Itali berjaya ditemukan semalam, sekali gus melengkapkan penemuan kesemua lima mangsa tragedi itu.

Sumber Kementerian Luar Itali memaklumkan mayat pertama berjaya dibawa naik ke bot sokongan, manakala mayat kedua sedang dibawa ke permukaan oleh seorang penyelam ketika operasi berlangsung.

Jurucakap kerajaan Maldives, Mohamed Hussain Shareef turut mengesahkan kedua-dua mayat berkenaan berjaya ditemukan dan dibawa ke permukaan.

Sebelum ini, satu mayat ditemukan pada hari kejadian, manakala dua lagi berjaya dibawa keluar pada Selasa kelmarin dari sebuah gua pada kedalaman kira-kira 60 meter.

Operasi membawa keluar mayat juga bukan dilakukan secara biasa. Media antarabangsa melaporkan penyelam pakar dari Finland terlebih dahulu turun ke kedalaman sekitar 60 meter untuk mengakses lokasi mangsa, sebelum mayat dibawa naik secara berperingkat ke paras kira-kira 30 meter.

Dari situ, pasukan penyelam Maldives dan polis marin mengambil alih untuk membawa mayat ke permukaan sebelum dihantar ke darat. Operasi rumit itu dilakukan bagi mengurangkan risiko keselamatan pada kedalaman melampau.

Beberapa faktor kemungkinan menyumbang kepada tragedi

Pakar selam antarabangsa percaya beberapa faktor mungkin menyumbang kepada tragedi itu termasuk komplikasi ketoksikan oksigen (hiperoksia), penggunaan campuran gas tidak sesuai pada kedalaman melampau, arus kuat serta keadaan penglihatan yang terlalu terhad.

Pakar selam, Maurizio Uras berkata, keadaan laut bergelora pada hari kejadian berpotensi menyebabkan mendapan lumpur naik ke permukaan hingga mengurangkan jarak penglihatan hampir ke tahap sifar.

Presiden Persatuan Perubatan Bawah Air dan Hiperbarik Itali, Alfonso Bolognini pula menjelaskan serangan panik seorang penyelam dalam ruang sempit pada kedalaman sekitar 50 meter juga boleh mencetuskan keadaan cemas yang membawa maut.

Insiden itu kini masih dalam siasatan pihak berkuasa Maldives, termasuk dakwaan kumpulan terbabit menyelam melebihi had kedalaman dibenarkan. Lesen operasi bot selam yang digunakan kumpulan berkenaan juga dilaporkan digantung sementara.

Baca juga: NASA Lancar Projek Khas Hari Bumi, Kini Anda Boleh Jana Nama Sendiri Guna Imej Satelit! Ini Step Mudah Nak Cuba

Sumber: Berita Harian / Harian Metro / NewsSky

FT Image: REUTERS (1) (2)

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×