Seorang jururawat yang baru sahaja tamat waktu bekerja membuktikan bahawa tanggungjawab menyelamatkan nyawa tidak terhenti, apabila dia segera bertindak memberikan pertolongan kecemasan kepada seorang wanita yang tiba-tiba tercekik.
Kejadian berlaku pada pagi 4 Mei 2026 ketika jururawat berkenaan, Siti Maisyura, baru sahaja selesai syif malam dan sedang menunggu janji temu anaknya di sebuah cafe dalam kawasan Hospital Pantai Ipoh.
JURURAWAT ‘OFF DUTY’ BERI PERTOLONGAN KECEMASAN PADA WANITA TERCEKIK

Gambar: Facebook Pantai Hospital Ipoh
Walaupun ketika itu Siti Maisyura berada dalam keadaan off duty, situasi cemas yang berlaku di hadapan mata mengubah segalanya.
Pantai Hospital Ipoh di Facebook menjelaskan, keadaan menjadi panik apabila seorang wanita di kawasan berhampiran secara tiba-tiba mengalami kesukaran bernafas selepas dipercayai tercekik.
Ahli keluarga yang berada di lokasi dilihat panik dan meminta bantuan apabila situasi menjadi semakin genting.
Tanpa berlengah, Siti Maisyura segera berlari ke arah mangsa dan memberikan bantuan menggunakan teknik Heimlich manoeuvre, satu kaedah asas dalam pertolongan kecemasan untuk kes tercekik.
Dengan tenang dan berasaskan latihan profesional, dia berjaya mengeluarkan objek yang menghalang saluran pernafasan wanita berkenaan.
Tidak lama selepas itu, wanita tersebut kembali boleh bernafas seperti biasa, sekali gus mengelakkan kejadian lebih buruk daripada berlaku.
Baca juga: Keluarga Reda, Organ Allahyarham Muhammad Syukri Diderma Agar Beri Sinar Baharu Kepada Insan Lain

Gambar: Facebook Pantai Hospital Ipoh
Bukan sekadar jururawat, tetapi penyelamat nyawa
Tindakan berani dan pantas itu menjadikan Siti Maisyura bukan sekadar seorang jururawat pada hari kejadian, tetapi seorang penyelamat nyawa dalam detik paling genting.
Perkongsian Pantai Hospital Ipoh turut menyifatkan tindakan tersebut sebagai cerminan kepada tema Hari Jururawat Antarabangsa 2026 iaitu “Our Nurses. Our Future. Empowered Nurses Save Lives.”
Kejadian ini sekali lagi mengingatkan bahawa pengetahuan pertolongan kecemasan boleh menjadi perbezaan besar antara hidup dan mati, walaupun di luar waktu bertugas.
Syabas wira yang tak didendang!
Sumber: Facebook Pantai Hospital Ipoh
FT Image: Facebook Pantai Hospital Ipoh
