Baru-baru ini, satu perkongsian menyentuh hati tular di Threads apabila seorang wanita dikenali sebagai Ashinity berkongsi pengalaman seorang ‘Head Nurse’ menjaga dan dodoi bayi perempuannya yang dimasukkan ke Wad 10A, Hospital Tunku Azizah (HTA), Kuala Lumpur.
“Saya Betul-Betul Tak Berdaya…”- Head Nurse Bantu Dodoi Bayi Macam Anak Sendiri

Sebagai ibu yang pertama kali melahirkan anak, Ashinity mengakui emosinya benar-benar terganggu apabila melihat bayinya kerap dicucuk dan menangis tanpa henti. Akibat kesan cucuk dan ketidakselesaan, bayi kecil itu sukar untuk tidur dan sering meraung sepanjang malam.
“Malam tu dia menangis tak henti-henti, tak nak tidur. Mungkin sebab kahak atau sakit lepas cucuk. Saya rasa betul-betul tak berdaya. Penat dari segi mental dan fizikal,” luahnya.
Keadaan itu membuatkan Ashinity panik dan buntu, tidak tahu apa lagi yang boleh dilakukan untuk menenangkan bayinya. Namun di saat ibu ini hampir kehabisan tenaga dan emosi, hadir seorang jururawat yang mencuri perhatian ramai.
Menurut Ashinity, seorang jururawat kanan atau ‘Head Nurse’ bernama Syuhada dengan penuh empati mengambil bayinya, menyapu minyak di perut dan mendodoikan si kecil dengan penuh kelembutan. Tidak lama selepas itu, bayi tersebut akhirnya berhenti menangis dan tertidur dengan lena.
“Terima kasih banyak sebab datang selamatkan keadaan. Semoga murah rezeki selalu,” tulis Ashinity penuh rasa syukur.
Netizen Puji Jururawat, Layak Diberi Penghargaan

Foto: freepik
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen tampil memuji sikap jururawat berkenaan yang disifatkan sangat penyayang dan profesional.
“Kebanyakan staf HTA memang baik-baik. Rasa selamat bila anak dalam jagaan mereka,” tulis seorang pengguna.
“Mereka ni ibarat ibu kedua. Sangat diperlukan walaupun kerja mereka mencabar,” komen seorang lagi netizen.
Malah, ada juga yang berkongsi pengalaman pernah dijaga oleh jururawat sama dan mengakui layanan yang diberikan sangat istimewa.
“Saya kenal nurse ni. Anak-anak saya dulu pun dia jaga macam anak sendiri,” kata seorang pengguna Threads.
Susulan perkongsian itu, ramai mencadangkan agar Ashinity meninggalkan maklum balas positif tentang jururawat tersebut di Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) sebagai tanda penghargaan.
“SISPAA dia, tolong. Jururawat macam ni memang layak dapat pengiktirafan,” ujar seorang netizen.
Kisah ini sekali lagi mengingatkan kita bahawa di sebalik kepenatan tugas dan tekanan kerja, masih ramai petugas kesihatan yang bekerja dengan penuh empati dan kasih sayang, bukan sekadar menjalankan tanggungjawab, tetapi menyentuh hati pesakit dan keluarga mereka.
View on Threads
Baca juga: 10 Jenis Doktor Pakar Dapat Gaji Lumayan Di Malaysia, No.3 Boleh Cecah RM60K Sebulan!
Sumber: Threads
