Dalam era serba digital hari ini, ramai menyangka urusan mengisi borang dan dokumentasi rasmi sudah semakin mudah kerana kebanyakannya boleh dilakukan secara dalam talian. Namun, sebuah perkongsian tular baru-baru ini membuktikan masih ada individu yang bergantung kepada penulis borang untuk memahami prosedur dan menguruskan dokumen kerajaan.
Baca juga: Pelajar Tingkatan 4 & 5 Dari Keluarga B40 Bakal Nikmati Lesen Motosikal Percuma Menerusi MyB2S
PENULIS BORANG KDN JALAN DUTA RAIH PERHATIAN

Seorang warga emas yang menawarkan khidmat membantu mengisi borang di luar pejabat kerajaan berhampiran Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Jalan Duta mencuri perhatian netizen selepas kisahnya dikongsi di media sosial.
Menerusi hantaran oleh pengguna Threads, @Dianaosman83, lelaki berusia itu dikatakan mengenakan caj sekitar RM5 hingga RM10 mengikut jenis borang yang diisi untuk pelanggan.
“Masih wujud penulis borang. Uncle ini mengenakan caj RM5 mengikut jenis borang, malah ada juga yang hanya RM10.
“Sesiapa yang kurang arif atau keliru untuk mengisi borang boleh mendapatkan bantuan uncle ini,” tulisnya.
Perkongsian tersebut turut memaparkan warga emas berkenaan duduk di sebuah meja kecil sambil membantu orang ramai menguruskan dokumen dipercayai melibatkan urusan rasmi kerajaan.
Warganet kagum dengan pengetahuan dimiliki
Hantaran itu menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya kagum dengan pengalaman serta pengetahuan dimiliki lelaki tersebut.
Menurut seorang perkongsian pengguna Threads, warga emas berkenaan bukan sekadar membantu mengisi borang, malah memahami pelbagai prosedur berkaitan dokumentasi kerajaan.
“Jika tidak silap, pak cik ini menguasai beberapa bahasa selain mempunyai pengetahuan berkaitan undang-undang.
“Dia juga mengetahui pelbagai urusan kerajaan termasuk dokumen yang diperlukan bagi setiap permohonan. Cara penerangannya pula sangat jelas dan perlahan supaya mudah difahami,” katanya.
Ramai berpendapat kemahiran seperti itu bukan sesuatu yang mudah kerana tidak semua individu memahami prosedur rasmi atau keperluan dokumen bagi setiap urusan kerajaan.
Penulis Borang Pernah Popular Suatu Ketika Dahulu

Foto: Threads @Dianaosman83
Dalam pada itu, seorang lagi penggun berkata, perkhidmatan penulis borang sebenarnya pernah popular suatu ketika dahulu terutama di kawasan pejabat kerajaan.
“Dahulu ramai menawarkan perkhidmatan seperti ini dengan membantu orang ramai mengisi borang di luar pejabat kerajaan.
“Namun sekarang semakin jarang ditemui kerana kebanyakan urusan sudah dilakukan secara moden dan dalam talian,” ujarnya.
Perkongsian tersebut turut mengundang rasa nostalgia dalam kalangan netizen yang pernah melihat situasi sama sekitar tahun 1990-an dan awal 2000-an sebelum urusan digital menjadi kebiasaan.
Masih Relevan Untuk Golongan Tertentu
Walaupun kebanyakan proses kini sudah beralih ke platform digital, ramai berpendapat khidmat seperti itu masih relevan khususnya untuk warga emas, warga asing atau individu yang kurang mahir membaca serta memahami dokumen rasmi.
Seorang pengguna berkongsi bahawa kawasan sekitar KDN sememangnya sering dikunjungi warga asing yang mungkin memerlukan bantuan untuk menguruskan borang dan dokumen tertentu.
“Kalau di kawasan KDN, mungkin ramai warga asing yang tidak tahu cara mengisi borang dan memerlukan bantuan,” katanya.
Tidak kurang juga yang menganggap perkhidmatan seperti ini sebagai contoh pekerjaan kecil yang masih memberi manfaat besar kepada masyarakat, terutama kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan secara bersemuka.
Sumber: Threads @Dianaosman83
FT Images: Threads @Dianaosman83
