Isu kesukaran mendapatkan zuriat bukan lagi perkara asing dalam kalangan pasangan suami isteri di Malaysia. Ada yang menunggu bertahun-tahun, mencuba pelbagai ikhtiar dan rawatan kesuburan, namun masih belum dikurniakan cahaya mata.
Prihatin dengan cabaran tersebut, kerajaan menerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) meneruskan usaha membantu pasangan yang berdepan masalah ketidaksuburan melalui Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI).
BANTUAN RAWATAN KESUBURAN LPPKN BANTU PASANGAN TTC

Foto: Gemini AI
Program ini dijangka memberi manfaat kepada sekitar 47,000 pasangan di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, program dengan slogan “Lebih Awal, Lebih Baik” itu menawarkan pembiayaan rawatan permanian beradas atau Intrauterine Insemination(IUI) sehingga dua kitaran kepada pasangan yang layak.
Menurut beliau, inisiatif tersebut merupakan antara langkah kerajaan dalam menyediakan bantuan kepakaran, rawatan kesuburan serta sokongan kepada pasangan yang menghadapi masalah infertiliti.
“Di kementerian dan LPPKN, kita ada pelbagai inisiatif untuk membantu pasangan di luar sana yang berhadapan dengan kesukaran mendapatkan zuriat antaranya IVF dan sekarang BuAI.
Cuma untuk menentukan rawatan mana yang bersesuaian, mereka perlu menjalani saringan,” katanya.
Keutamaan Bantuan Rawatan Kesuburan Kepada Golongan B40

Foto: Gemini AI
Beliau juga menjelaskan bahawa program bantuan ini memberi keutamaan kepada pasangan daripada golongan B40.
Selain faktor pendapatan, pasangan juga perlu menjalani penilaian dan pemeriksaan doktor bagi menentukan jenis rawatan yang paling sesuai mengikut tahap kesuburan masing-masing.
Pendekatan ini dilihat mampu membantu lebih ramai pasangan mendapatkan akses kepada rawatan kesuburan yang sebelum ini mungkin dianggap mahal dan sukar dicapai.
Lebih 6,500 Kehamilan Berjaya Direalisasikan
Dalam ucapannya sempena Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2026, bekiau turut memaklumkan bahawa sejak tahun 1979, LPPKN memainkan peranan penting sebagai agensi dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan reproduktif dan rawatan kesuburan berkualiti di Malaysia.
Menurut beliau juga, melalui rawatan kesuburan komprehensif pada harga berpatutan serta subsidi yang disediakan, ribuan wanita telah berjaya merealisasikan impian untuk bergelar ibu.
“Sehingga kini, lebih 373,000 kes subfertiliti telah dikendalikan dengan 6,513 kehamilan berjaya direalisasikan,” katanya.
Pusat Subfertiliti Negara Bakal Dibangunkan Di Shah Alam
Dalam perkembangan sama, kerajaan turut merancang membangunkan Data Registri Subfertiliti Kebangsaan mengikut piawaian antarabangsa bermula tahun ini.
Usaha tersebut akan menyokong penubuhan Pusat Subfertiliti Negara (PSN) di Shah Alam, Selangor yang dijadual mula beroperasi pada tahun 2030.
Pembangunan data registri itu dijangka dapat membantu kerajaan merancang, memantau serta meningkatkan mutu perkhidmatan rawatan kesuburan secara lebih sistematik dan berkesan pada masa akan datang.
Terdahulu, beliau hadir merasmikan Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2026 yang disempurnakan oleh Tuanku Zara Salim dengan tema “Seteguh KASIH Ibu”.
Menurutnya, tema tersebut dipilih bagi meraikan ketabahan luar biasa golongan ibu dalam memelihara keharmonian serta kebahagiaan keluarga.
Katanya lagi, ibu bukan sekadar pengurus rumah tangga, malah menjadi tunjang utama dalam membentuk jiwa dan jati diri anak-anak.
Selaras dengan Dasar KASIH Keluarga Negara, kerajaan akan terus memperkukuh sokongan terhadap wanita dan institusi keluarga melalui pendekatan yang lebih menyeluruh dan inklusif.
Baca juga: Tujuh Lif Kondo Rosak Kerana Hujan Lebat, Ibu Gigih Dukung Anak Naik Tangga Hingga Tingkat 36!
Sumber: Bernama
FT Images: Gemini AI
