Tidak semua orang berpeluang berkongsi kejayaan terbesar dalam hidup bersama insan tersayang di atas satu pentas konvokesyen yang sama.
Namun itulah kenangan manis yang dilalui bekas Pengetua MRSM Transkrian, Nibong Tebal, Pulau Pinang, Dr Jafni Ghazali apabila menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) bersama anak sulungnya, Dr Nurul Huda Jafni pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-104.
Baca juga: Keluarga Reda, Organ Allahyarham Muhammad Syukri Diderma Agar Beri Sinar Baharu Kepada Insan Lain
BAPA & ANAK KONGSI PENTAS KONVOKESYEN GENGGAM PhD BERSAMA

Gambar NSTP / Faiz Anuar: Dr Jafni Ghazali (dua dari kanan) bersama anaknya, Dr Nurul Huda Jafni (tengah) meraikan kejayaan bersama keluarga selepas Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA ke-104 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam
Mereka berkongsi pentas sama menerima Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Perniagaan pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-104 di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) semalam.
Momen istimewa itu bukan sahaja mencuri perhatian ramai, malah turut menyentuh hati apabila kedua-duanya melalui perjalanan akademik yang panjang sebelum akhirnya berjaya berdiri bersama sebagai graduan doktor falsafah.
Bermula sebagai ‘rakan kuliah’ anak beranak
Menurut Dr Jafni, 60, keputusan untuk menyambung pengajian dibuat bersama anaknya sekitar tahun 2021 dan mereka saling menjadi pembakar semangat sepanjang tempoh pengajian.
“Ijazah, Ijazah Sarjana, Doktor Falsafah ini berbeza, bagi saya ini satu perjalanan kita tidak pasti pengakhirannya tetapi saya kena lalui.
“Saya kata pada anak, kita boleh daftar sama-sama (pada tahun 2021), tetapi akhir pengajian saya tidak tahu, tetapi hasrat saya sentiasa berada dalam disiplin ilmu,” katanya ketika ditemui wartawan selepas majlis berkenaan.
Beliau turut mengakui perjalanan menamatkan pengajian PhD bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi ketika masih berkhidmat sebagai pendidik di MRSM Transkrian sebelum bersara pada tahun 2023.
“Separuh tempoh pengajian ini saya masih berkhidmat sebelum berpencen pada tahun 2023. Ketika masih berkhidmat, kita bergelut dengan waktu kerja.
“Selepas pencen, memang ada masa tetapi cabaran lagi besar sebab saya bergelut dengan perasaan sendiri sama ada hendak teruskan pengajian ini atau tidak, tambahan pula dengan pembayaran sendiri,” katanya.
Menurutnya, apa yang menjadikan detik konvokesyen itu sangat bermakna apabila mereka bukan sahaja mendaftar pengajian bersama, malah menghantar VIVA dalam tempoh berdekatan sebelum diraikan pada sidang yang sama.
“Hari ini, saya rasa ini satu anugerah yang Allah SWT bagi sebab kami (bersama anak) boleh daftar (pengajian) sama, kami hantar VIVA beza seminggu dan akhirnya berada bersama-sama dengan anak dalam sesi (konvokesyen UiTM) ke 104 ini,” katanya lagi.

Gambar BERNAMA.
Anak terharu akhirnya dapat rasa suasana konvokesyen
Bagi Dr Nurul Huda pula, pengalaman itu menjadi lebih emosional kerana ia merupakan kali pertama dirinya benar-benar dapat meraikan hari konvokesyen selepas terlepas dua majlis terdahulu.
Sebelum ini, beliau pernah mengikuti pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dan seterusnya menyambung pengajian Linguistik di University of Manchester, United Kingdom.
Namun, beberapa kekangan menyebabkan beliau tidak dapat menghadiri konvokesyen terdahulu termasuk ketika pandemik COVID-19.
“Saya sangat bersyukur sebab dapat habis pengajian bersama dengan ayah, terharu sebab ayah ada duduk sebelah saya sebagai graduan di dalam DATC, kami sama-sama ambil skrol,” kongsi wanita berusia 29 tahun itu.
Menurutnya lagi, detik itu menjadi memori yang sangat bermakna selepas sekian lama menunggu peluang untuk merasai pengalaman sebenar konvokesyen.
“Ini kali pertama saya konvokesyen sebab sebelum ini, pada tarikh konvokesyen Ijazah Sarjana Muda Pusat Pengajian Bahasa, Literasi dan Terjemahan, saya sudah terbang ke Universiti Manchester untuk pengajian Linguistik itu,” kongsinya lagi.
Baca juga: Airbus Kongsi Foto Malaysia Dari Angkasa Lepas, Netizen Terpukau Siap ‘Detective Mode’ Teka Lokasi!
Kisah keluarga ini buat ramai tersentuh
Perkongsian kisah Dr Jafni dan anaknya ini nyata memberi inspirasi kepada ramai terutama golongan ibu bapa yang tidak pernah berhenti menuntut ilmu walaupun usia semakin meningkat.
Dalam dunia yang sering mengejar pencapaian individu, hubungan akrab anak beranak ini membuktikan sokongan keluarga mampu menjadi kekuatan terbesar untuk mengharungi cabaran pendidikan hingga ke peringkat tertinggi.
Lebih manis, kedua-duanya akhirnya diraikan bersama di pentas sama selepas melalui perjalanan penuh pengorbanan, tekanan dan ketabahan selama beberapa tahun.
Pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA ke-104 kali ini, seramai 25,336 graduan menerima diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana, doktor falsafah meliputi 23,646 orang, Sabah (612) dan Sarawak (1,078) bermula hari ini sehingga 23 Mei depan.
Sumber: Berita Harian
FT image: NSTP / Faiz Anuar
