Baru-baru ini, tular satu perkongsian menyentuh hati di media sosial apabila seorang lelaki berdepan situasi kereta kena langgar ketika diparkir di sebuah pasar.
Menerusi perkongsian di Threads, lelaki dikenali sebagai Mubin menceritakan pengalaman apabila Perodua Myvi miliknya dilanggar ketika diletakkan di Pasar Manir, Kuala Terengganu pada Jumaat lalu.
Baca juga: Ramai Ingat Pelik… Rupanya Tidur Tanpa Seluar Dalam Ini Lebih Selesa & Ada Manfaat Untuk Wanita!
KERETA KENA LANGGAR KETIKA DIPARKIR, NENEK SIAP TINGGALKAN DUIT

Apa yang mengejutkan, dia hanya menyedari kejadian tersebut selepas menemui sekeping nota yang ditinggalkan pada cermin hadapan keretanya.
Lebih mencuri perhatian, nota tersebut bukan sahaja mengandungi permohonan maaf, malah turut disertakan wang tunai sebanyak RM206 sebagai ganti rugi.
“Saya ada satu cerita menarik, pagi jumaat lepas saya pergi pasar beli barang. Balik tengok ada surat, saya tak perasan bumper tu terbuka, baca surat tu baru nampak bumper clip patah, ada calar sikit.
“Ada pakcik mari tegur kata ada makcik dengan anak dia langgar naik kereta kelisa, dia pesan suruh whatsapp nombor dekat kertas tu. Dia tinggal duit RM206, sebab sebut makcik kan jadi saya rasa kesian sebab orang tua, abah saya pun orang tua jadi saya rasa mesti dia tak perasan kan,” jelas Mubin.
Menurut kandungan nota itu, cucu kepada pemandu wanita berkenaan turut meninggalkan nombor telefon untuk dihubungi sekiranya jumlah tersebut tidak mencukupi.
Difahamkan, wanita warga emas tersebut bersama cucunya tidak dapat menunggu lama di lokasi kejadian kerana mempunyai urusan lain yang perlu diselesaikan.
Mubin turut berkongsi bahawa kerosakan pada keretanya hanyalah kecil melibatkan klip bumper yang patah serta sedikit calar.

Tidak berhenti setakat itu, Mubin mengambil inisiatif untuk menghubungi nombor yang diberikan sebelum meminta alamat bagi bertemu sendiri dengan individu terbabit.
Menurutnya, cucu wanita berkenaan memaklumkan dia hanya tinggal berdua bersama neneknya yang sudah berusia sekitar 70 tahun selepas kehilangan ibu bapa.
Tersentuh dengan keadaan keluarga tersebut, Mubin membuat keputusan untuk memulangkan semula wang RM206 yang diberikan.
Malah, dia turut menambah sedikit wang sebagai tanda bantuan selepas mengetahui itu sahaja simpanan yang mereka ada.
“Rumah pun sederhana, kereta tu sahaja yang mereka guna. Saya rasa tak sampai hati nak ambil duit tu, jadi saya pulangkan semula dan tambah sikit. Kadang-kadang kita rasa susah, tapi ada lagi yang lebih memerlukan. Moga kita semua dimurahkan rezeki,” ujarnya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai dan dibanjiri komen positif daripada pengguna media sosial.
Rata-rata memuji sikap kejujuran warga emas yang bertanggungjawab, serta keikhlasan Mubin yang memilih untuk membantu daripada menyalahkan. Malah, ramai turut mendoakan agar kebaikan yang ditunjukkan dibalas dengan ganjaran yang lebih baik.
Sumber: Threads Mubinnz
