Kadang-kadang detik paling sederhana boleh meninggalkan kesan yang mendalam dalam hidup seseorang. Kisah seorang pak cik orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang menerima al-Quran Braille ini bukan sahaja menyentuh hati, malah mengingatkan kita tentang betapa besarnya semangat untuk belajar agama walaupun dalam keadaan serba kekurangan.
Baca juga: “Saya Takut Ada Mangsa Dalam Kereta”– Aksi Hero & Berani Pemandu Treler Padam Kebakaran Raih Pujian!
KISAH SEORANG PAK CIK OKU YANG SEBAK TERIMA AL-QURAN BRAILLE DALAM TERJEMAHAN INGGERIS

Gambar: Muhammad Roger Arnold
Perkongsian tersebut dimuat naik oleh pendakwah bebas, Muhammad Roger Arnold di Facebook yang memaparkan usaha beliau dan rakan-rakan membantu saudara baharu tersebut mendapatkan naskhah al-Quran Braille dalam terjemahan bahasa Inggeris.
Menurut Muhammad Roger, naskhah khas itu diperoleh hasil bantuan seorang sahabat dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai yang berusaha mendapatkan al-Quran tersebut khusus untuk diberikan kepada pak cik berkenaan.
“Dah beberapa hari kami dapat al-Quran Braille dari sahabat kami di USIM. Beliau mengusahakan untuk mencari dan mendapatkan untuk pak cik kita. Alhamdulillah.
“Gembira sangat pak cik bila dapat al-Quran terjemahan bahasa Inggeris, Alhamdulillah,” kongsinya.
Pak cik sanggup berjaga malam tunggu al-Quran Braille sampai
Lebih menyentuh hati, mereka yang tiba sekitar jam 10 malam, mendapati warga emas tersebut masih belum tidur dan setia menunggu dengan penuh harapan.
“Walaupun kami sampai sekitar jam 10 malam, dia masih belum tidur dan tunggu kami. Siap pesan macam seorang ayah, suruh hati-hati di jalan raya,” ujarnya yang juga Pengerusi Persatuan Inspirasi Mualaf (PIM).
Detik pertemuan itu menjadi lebih bermakna apabila mereka terus memulakan bimbingan asas agama di rumah pak cik berkenaan. Dalam keadaan penglihatan yang terhad dan pergerakan yang tidak begitu kuat, pak cik tetap berusaha untuk belajar.
Mereka membantu pak cik mengambil wuduk sebelum bersama-sama menunaikan solat Isyak secara berjemaah di rumah tersebut.

Gambar: Muhammad Roger Arnold
Momen pak cik yang pertama kali solat selepas menjadi Muslim
Momen paling menyentuh hati berlaku selepas selesai menunaikan solat Isyak, apabila pak cik tersebut meluahkan rasa syukur kerana akhirnya dapat menunaikan solat pertamanya sebagai seorang Muslim.
“My first solat after being a Muslim, thank you,” katanya ringkas namun penuh makna.
Biarpun pertama kali menunaikan solat dan dalam keadaan masih belajar, pak cik hanya mengikuti pergerakan semampunya dengan penuh kesungguhan. Sikap tidak mudah berputus asa itu jelas menunjukkan keinginan yang kuat untuk memahami dan mengamalkan ajaran Islam.
Baca juga: Setiap Hari Gantung 10 Biji Telur Di Tepi Jalan, Cara Infaq ‘Simple’ Wanita Ini Buat Ramai Tersentuh
Menurut Muhammad Roger, pihaknya tidak akan meninggalkan saudara baharu selepas mereka memeluk Islam. Sebaliknya, mereka akan terus membimbing dan memastikan golongan tersebut mendapat sokongan serta ilmu agama dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan PIM yang mencukupi.
Dalam masa terdekat, mereka merancang untuk membawa pak cik berkenaan mendapatkan bantuan daripada Baitulmal serta mendaftarkannya ke kelas agama di Kuala Lumpur.
Usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen mereka dalam memastikan saudara baharu tidak bersendirian dalam perjalanan mengenali Islam, sebaliknya dibimbing secara berterusan dengan sokongan masyarakat.
Kisah ini menjadi peringatan kepada kita semua bahawa hidayah boleh datang kepada sesiapa sahaja, dan semangat untuk belajar agama tidak pernah mengenal usia atau kekurangan fizikal.
Sumber: Facebook Muhammad Roger Arnold
FT Image: Muhammad Roger Arnold
