Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bakal memperkenalkan satu inisiatif baharu dikenali sebagai Menu Kasih Siswa dalam masa terdekat, sebagai usaha untuk ringankan beban pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mendapatkan makanan pada harga yang lebih berpatutan.
Baca juga: Bangga! UTP, UM & UKM Tersenarai Top 250 Universiti Terbaik Dunia Versi Times Higher Education 2026
KPT PERKENALKAN MENU KASIH SISWA, RINGANKAN BEBAN PELAJAR

Foto: Gemini AI
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, inisiatif ini selari dengan pendekatan kebajikan yang telah lama dilaksanakan di kebanyakan universiti di negara ini. Ini merupakan langkah proaktif dalam menangani kos sara hidup pelajar yang semakin meningkat.
Pelaksanaan Menu Kasih Siswa memberi penekanan kepada keperluan asas pelajar, khususnya dari golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
KPT turut menasihatkan pengusaha kafeteria di kampus agar lebih peka terhadap kemampuan pelajar dalam menetapkan harga makanan.
Hal ini penting memandangkan terdapat pelbagai kategori IPT swasta (IPTS), termasuk universiti milik kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang majoriti pelajarnya datang daripada latar belakang ekonomi sederhana dan rendah.
Pemantauan Harga Makanan

Foto: Gemini AI
Dalam perkembangan sama, KPT turut memantau kemungkinan kenaikan harga makanan dan minuman di kafeteria IPT, khususnya di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Kenaikan harga bahan mentah dan bahan api akibat konflik di Asia Barat menjadi antara faktor yang diberi perhatian serius.
Perbincangan juga telah diadakan bersama pimpinan pelajar termasuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), yang membangkitkan isu kos makanan di beberapa kampus.
Bagi IPTA, pemantauan dilaksanakan secara berterusan oleh pihak pengurusan universiti, khususnya di peringkat Naib Canselor, bagi memastikan kebajikan pelajar terus terpelihara.
Manakala bagi IPTS, pihak kementerian telah menggesa agar pengurusan institusi mempertimbangkan situasi semasa dan mengelakkan kenaikan harga makanan.
Tindakan terhadap pengusaha atau institusi yang masih berdegil menaikkan harga, KPT menegaskan bahawa pendekatan rundingan dua hala akan terus digunakan.
Maklum balas akan disalurkan bagi memastikan semua pihak memahami tanggungjawab masing-masing dalam menjaga kebajikan pelajar.
Inisiatif Menu Kasih Siswa ini dijangka menjadi satu langkah yang berkesan dalam memastikan pelajar dapat makanan berkualiti dan mampu milik, serta dapat mengurangkan beban pelajar.
Baca juga: Budak Genius Usia 12 Tahun Daftar Masuk Universiti Malaya, Cipta Sejarah & Digelar ‘Young Sheldon’!
Sumber: Berita Harian
FT Images: Gemini AI
