Menjelang pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) yang akan bermula esok, ramai penjawat awam mungkin sudah membuat pelbagai persediaan termasuk merancang rutin harian, namun penggunaan media sosial ketika waktu bekerja tetap perlu diberi perhatian.
Penjawat awam diingatkan supaya tidak memuat naik gambar atau kandungan yang boleh menimbulkan persepsi negatif sepanjang tempoh bekerja dari rumah, khususnya jika ia menunjukkan aktiviti santai ketika waktu bekerja.
Baca juga: Bank Negara Malaysia Buka Tempahan Syiling UNESCO, Koleksi Eksklusif Ini Dijangka ‘Sold Out’ Pantas!
PENJAWAT AWAM ELAK KONGSI AKTIVITI SANTAI DALAM WAKTU BEKERJA

Gambar Mohd Fadli Hamzah: Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman berucap ketika Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya.
Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Awang Alik Jeman menegaskan bahawa tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pegawai yang didapati menyalahgunakan kemudahan BDR sehingga menjejaskan imej perkhidmatan awam.
Menurut beliau, antara contoh kandungan yang perlu dielakkan ialah gambar melakukan aktiviti riadah, bersiar-siar atau berada di lokasi yang tidak berkaitan dengan tugas rasmi pada waktu bekerja.
“Semasa BDR, jangan muat naik gambar atau hantaran di media sosial yang boleh disifatkan sebagai kita tidak menjalankan tugas. Contohnya, memuat naik gambar sedang bermain badminton, berjalan di kompleks beli-belah dan sebagainya.
“Saya beritahu awal, perkara seperti ini perlu dielakkan. Jika berlaku, tindakan tetap akan diambil tanpa pengecualian. Jangan ambil perkara yang boleh memudaratkan diri sendiri,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KDN semalam.
Baca juga: Yang Dipertuan Muda Terengganu Dilantik Sebagai Pemangku Raja, Bermula Rabu Ini!

Gambar hiasan: Gemini AI
Produktiviti tetap perlu dijaga walaupun BDR
Dalam masa sama, beliau turut menegaskan bahawa kemudahan bekerja dari rumah bukan alasan untuk penjawat awam gagal mencapai sasaran kerja yang telah ditetapkan.
Setiap pegawai perlu memastikan produktiviti serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat terus berjalan lancar walaupun tidak berada di pejabat secara fizikal.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Mesyuarat Kabinet pada 1 April lalu telah bersetuju melaksanakan dasar BDR yang akan bermula pada 15 April.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik berkata, pelaksanaan tersebut melibatkan kementerian, agensi kerajaan, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Justeru, penjawat awam disarankan supaya sentiasa menjaga etika dan profesionalisme, termasuk dalam penggunaan media sosial, agar kepercayaan masyarakat terhadap perkhidmatan awam terus terpelihara.
Baca juga: Jangan Panik Jika Resit Hilang Atau Tak Cukup, Ini 3 Cara ‘Selamat’ Bila Sampai Masa Audit LHDN
Sumber: Buletin TV3
FT Image: Gemini AI
