Baru-baru ini, tular satu rakaman video memaparkan dua kanak-kanak didakwa menyeksa dan dera kucing dalam satu kejadian yang berlaku di Dungun, Terengganu. Insiden tersebut mencetuskan kemarahan orang ramai selepas video berkenaan tersebar luas di media sosial.
2 KANAK KANAK DERA KUCING, IBU MOHON MAAF..KUCING LEMAH

Foto: Instagram @shimaaris
Menurut perkongsian oleh penyelamat haiwan, Shima Aris di Instagram, kejadian itu dipercayai berlaku beberapa hari sebelum ia menjadi tular.
Rakaman asal dikatakan dimuat naik dalam kumpulan komuniti penduduk sebelum dikongsi semula menerusi aplikasi WhatsApp.
Menerusi video tersebut, kelihatan seekor kucing diikat menggunakan tali dan diperlakukan secara kasar oleh dua kanak-kanak.
Salah seorang daripadanya dilihat menendang serta membaling selipar ke arah haiwan tersebut, manakala seorang lagi bertindak menyeret kucing berkenaan.
Lebih membimbangkan, kejadian itu dipercayai dirakam oleh seorang individu dewasa yang berada berhampiran lokasi, namun tiada sebarang tindakan diambil untuk menghentikan perbuatan tersebut ketika itu.
Menurut maklumat yang dikongsikan, kucing tersebut dimiliki oleh seorang individu dan sering berada di kawasan rumah jiran.
Penduduk tempatan memaklumkan bahawa haiwan itu mengalami kecederaan, termasuk luka dan kaki yang bengkak, sebelum ditinggalkan dalam keadaan lemah sehingga ada yang menyangka ia telah mati.
Usaha untuk membuat laporan oleh penduduk setempat juga dikatakan telah menimbulkan ketegangan dan pertelingkahan dalam komuniti berkenaan.
Reaksi Ibu Cetus Perhatian, Pada Awalnya Tidak Gentar

Foto: Instagram @shimaaris
Dalam masa sama, ibu kepada kanak-kanak terbabit pada awalnya menunjukkan reaksi marah dan seolah-olah tidak gentar dengan kemungkinan laporan polis dibuat.
Malah, wanita tersebut didakwa menyatakan bahawa ahli keluarganya merupakan anggota polis.
Namun begitu, dalam satu perkembangan lain, ibu berkenaan tampil memohon maaf menerusi mesej WhatsApp yang dikongsi oleh satu pengguna Instagram yang dikenali sebagai Shima.
Dalam mesej tersebut, beliau menyatakan tidak mengetahui tindakan anak-anaknya sebelum video itu tular dan berjanji akan memantau serta mendidik mereka agar perkara sama tidak berulang.
“Saya tak tahu anak saya yang buat. Saya tahu semalam video tu. Saya minta maaf banyak sangat-sangat atas kesilapan saya,” katanya.
Sehingga kini, keadaan dan keberadaan kucing tersebut masih belum dapat dipastikan, dan usaha pencarian oleh kumpulan penyelamat haiwan masih diteruskan.
Dera Haiwan Adalah Kesalahan Jenayah
Perlu ditegaskan bahawa sebarang bentuk penderaan terhadap haiwan merupakan satu kesalahan serius di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2017.
Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda antara RM20,000 hingga RM100,000, atau hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali. Kesalahan bukan sahaja melibatkan penderaan fizikal, malah turut merangkumi:
- Mengurung haiwan secara berlebihan
- Meracun haiwan
- Menggunakan haiwan untuk tujuan pertarungan
Selain itu, kesalahan pengabaian haiwan juga boleh dikenakan denda antara RM15,000 hingga RM75,000 atau hukuman penjara sehingga tiga tahun.
Insiden ini sekali lagi membuka ruang perbincangan mengenai kepentingan pendidikan awal terhadap nilai empati dan kasih sayang terhadap haiwan.
Peranan ibu bapa dan masyarakat amat penting dalam membentuk sikap serta tingkah laku kanak-kanak agar lebih berperikemanusiaan dan bertanggungjawab.
Baca juga: 8 Tanda Kucing Sakit & Demam Yang Kita Kena ‘Alert’. Mungkinkah Ia Akan Meninggalkan Kita?
Sumber: Instagram @shimaaris
FT Images: Instagram @shimaaris
