Demi kasih terhadap ibu bapa di kampung halaman, seorang wanita sanggup meredah perjalanan hampir 140KM dengan menunggang motosikal bersama dua anak kecilnya semata-mata untuk pulang beraya.
Kisah menyentuh hati ini dikongsikan oleh wanita dikenali sebagai Nadhira, 40, yang melakukan perjalanan dari Hulu Langat, Selangor ke Teluk Intan, Perak dengan menaiki motosikal jenis Honda Vario 125. Perkongsian tersebut tular di media sosial dan menerima pelbagai reaksi positif daripada warganet.
Baca juga: Ini Checklist Barang Yang Wajib Anda Bawa Pulang Masa Raya. Nombor 4 Tu Paling Penting!
WANITA PULANG BERAYA NAIK MOTOR SEJAUH 140KM BERSAMA DUA ANAK

Foto: Harian Metro
Menurut Nadhira, keputusan menggunakan motosikal bukanlah pilihan mudah, namun dibuat kerana faktor kewangan serta kemudahan untuk bergerak.
Katanya, kos menaiki pengangkutan awam iaitu bas untuk tiga orang boleh mencecah RM150 hingga RM170 termasuk perbelanjaan tambahan, berbanding kurang daripada RM50 jika menggunakan motosikal.
“Dengan motosikal, saya boleh jimat banyak dan lebih mudah untuk bergerak terutama ke kawasan kampung yang agak pedalaman,” jelasnya.
Perjalanan Berjam-Jam Demi Orang Tersayang
Perjalanan sejauh itu biasanya mengambil masa antara empat setengah hingga tujuh jam bergantung kepada keadaan trafik dan kekerapan berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R).
Sepanjang perjalanan, Nadhira akan memastikan anak-anaknya sentiasa dalam keadaan selesa dengan berhenti berehat serta berinteraksi agar mereka tidak keletihan atau tertekan.
“Apa yang penting bagi saya adalah ibu dan ayah. Selagi mereka masih ada, saya akan tetap pulang walau dengan apa cara sekali pun,” katanya.
Cabaran Pulang Beraya

Foto: Gemini AI
Namun, perjalanan tersebut tidak terlepas daripada cabaran. Antara yang paling mencabar ialah keadaan cuaca yang tidak menentu, terutama apabila hujan turun ketika berada di lebuh raya tanpa tempat berteduh.
Malah, Nadhira pernah melalui pengalaman mencemaskan apabila motosikalnya rosak di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) tahun lalu.
“Saya pernah menangis di tepi jalan sebab buntu dan duit pun tak banyak masa itu. Tapi pengalaman itu banyak mengajar saya untuk lebih bersedia,” kongsinya.
Sentiasa Utamakan Keselamatan Anak
Bagi memastikan perjalanan berjalan lancar, Nadhira biasanya menyediakan bekalan makanan dari rumah serta membawa minuman untuk anak-anak.
Dalam masa sama, beliau turut berpesan kepada ibu bapa lain agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sekiranya ingin melakukan perjalanan jauh dengan motosikal bersama anak.
“Keselamatan anak-anak paling utama. Selain itu, mental dan fizikal juga perlu kuat kerana perjalanan jauh perlukan fokus yang tinggi,” katanya.
Kisah ini jelas membuktikan bahawa kasih seorang anak kepada ibu bapanya tidak mengenal penat lelah, malah sanggup berkorban demi memastikan dapat bersama keluarga tercinta setiap kali musim perayaan.
Baca juga: “Bukan Dosa Kecil Tapi Dosa Besar”- Balik Kampung Jangan Per’hamba’kan Ibu Bapa
Sumber: Harian Metro
FT Images: Harian Metro dan Gemini AI
