Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya melonjak dalam penarafan QS World University Rankings by Subject 2026 bagi bidang Perakaunan dan Kewangan.
Kalau sebelum ini berada di kedudukan 151-200, kini UUM naik ke tangga 101-150 dunia — satu lonjakan yang cukup signifikan dan membanggakan!
Baca juga: Keputusan SPM Tahun 2025 Diumum Pada 31 Mac (Selasa), Pelajar Boleh Mula Semak Jam 10 Pagi
UUM NOMBOR SATU DALAM BIDANG PERAKAUNAN, KEWANGAN

Foto: Universiti Utara Malaysia
Menurut Naib Canselor, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, pencapaian ini bukan sekadar angka, tetapi bukti usaha berterusan seluruh warga UUM dalam memperkukuh kualiti akademik dan penyelidikan.
Lebih membanggakan, UUM turut menduduki tempat pertama dalam Malaysia bagi indikator sitasi dan H-indeks, serta muncul sebagai kedua terbaik keseluruhan dalam negara bagi bidang ini. Antara penyumbang utama kejayaan ini ialah kecemerlangan dua pusat pengajian utama:
- Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Safinaz (TISSA)
- Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB)
Kedua-dua pusat ini memainkan peranan besar dalam menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi, penerbitan akademik berkualiti, serta menjalinkan kerjasama industri dan antarabangsa.
Tak hairanlah program seperti Perakaunan, Percukaian, Kewangan, Perbankan dan Pengurusan Risiko semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar tempatan dan antarabangsa.
BANYAK LAGI JURUSAN YANG MENINGKAT KEDUDUKAN

Foto janaan AI
Bukan itu sahaja, bidang lain di UUM juga menunjukkan peningkatan memberangsangkan. Subjek Perniagaan & Pengurusan serta Ekonomi & Ekonometrik kini berada di kedudukan 201–250 dunia, naik daripada 251–300 sebelum ini.
Lebih menarik, buat pertama kalinya bidang Undang-Undang UUM berjaya tersenarai dalam ranking global, dengan kedudukan 351–400. Ini menandakan perkembangan positif dan kepelbagaian kekuatan akademik universiti ini.
Secara keseluruhan, kejayaan ini dipacu oleh beberapa faktor utama seperti:
- Reputasi akademik yang semakin kukuh
- Kepercayaan majikan terhadap graduan
- Impak penyelidikan dan penerbitan
- Jaringan kolaborasi antarabangsa
Untuk rekod, QS World University Rankings by Subject 2026 menilai universiti di seluruh dunia berdasarkan 55 bidang khusus merangkumi lima kluster utama.
Jelas sekali, UUM kini semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai antara institusi pendidikan tinggi yang perlu diberi perhatian, bukan saja di Malaysia, malah di peringkat global.
Baca penuh: Ibu Bapa Alert! Mulai Tahun Ini, Prasekolah WAJIB Untuk Kanak-Kanak Usia 5 Tahun –TPM
